Monday, September 23, 2013

Hutang Isi Rumah Rakyat Malaysia Mengundang Padah


SHAH ALAM - Jumlah hutang isi rumah sebanyak 75.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nominal pada akhir Julai 2012 merupakan fakta yang membimbangkan.

Menurut Setiausaha Penasihat Syariah, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Mohd Nazri Bin Chik, sehingga Mac 2013, angka tersebut meningkat kepada 82.9 peratus dan merupakan yang tertinggi di rantau ini.

Beliau berkata, pinjaman terkumpul bagi pembelian harta kediaman dan kenderaan iaitu 64 peratus adalah bahagian terbesar pinjaman isi rumah.

"Peratusan ini menunjukkan kesan pembiayaan peribadi dalam menggiatkan industri perumahan dan automobil negara dengan membolehkan individu membeli rumah dan kenderaan," kata beliau sewaktu membentangkan kertas kerja bertajuk "Pembiayaan Peribadi Oleh Perbankan dan Kesannya KEpada Kuasa Beli Pengguna" di Seminar Kebangsaan Maqasid Syariah 2013 anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dekat sini, semalam.

Menurut beliau juga, penggunaan kad kredit kekal tinggi dengan urus niaga meningkat 6.7 peratus kepada RM53.6 billion (Januari hingga Julai 2011: 11.8 peratus, RM50.3 billion).

Jumlah baki tertunggak kad kredit adalah sebanyak RM32.9 billion (akhir tahun 2011: RM33.4 billion).

"Perbelanjaan kad kredit mewakili 3.1 peratus daripada jumlah pinjaman terkumpul sistem perbankan dan 5.6 peratus daripada jumlah pinjaman isi rumah pada akhir Julai 2012.

Jumlah pinjaman tidak berbayar bagi hutang kad kredit berkurang sebanyak RM491 juta dan nisbah pinjaman terjejas bertambah baik kepada 1.5 peratus daripada jumlah pinjaman terkumpul sistem perbankan pada akhir Juli 2012 (akhir tahun 2011: RM528 juta, 1.6 peratus.

Didik rakyat

Munurut Nazri, tiada statistik dan data khusus tentang tujuan pengambilan pembiayaan peribadi oleh pelanggan dalam sistem perbankan.

"Banyak kesan negatif dalam ekonomi apabila sekelopok rakyat gagal menguruskan perancangan kewangan individu termasuk memiliki timbunan hutang yang berlebihan," katanya.

Bagaimanapun katanya, sistem perbankan dengan kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) telah memainkan peranannya dalam membantu menggiatkan aktviti ekonomi negra melalui pendanaan dan pembiayaan bersumberkan dana daripada unit-unit lebihan dalam sektor ekonomi negara.

Beliau menyarankan agar usaha digiatkan untuk mendidik rakyat, umat Islam khususnya untuk memiliki ilmu perancangan kewangan peribadi.

"Umat Islam khususnya, perlu dididik untuk berurusan dengan sistem perbankan Islam  jika memerlukan kemudahan perbankan.

"Peranan sistem perbankan dalam ekonomi perlu diteruskan dengan urus tadbir yang baik, amalan pengurusan risiko yang berkesan dan pembiayaan yang bertanggungjawab untuk memastikan sistem ekonomi negara keseluruhannya teguh dan mampan dalam menempuh persekitaran ekonomi dunia yang semakin mencabar," katanya.

Antara pembentang kertas kerja ialah Pengarah Eksekutif, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (Isra), Prof Madya Dr Mohamad Akram Laldin;  Pengerusi Pembangunan Sosial Ikram, Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj; Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan Pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya (UM) Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail.

Harakahdily

No comments: