Loading...

Wednesday, September 18, 2013

Pencemaran Minyak Di Sungai Selangor Tempoh Hari, Suspek Dihadapkan Ke Mahkamah

Pencemar Sungau

SHAH ALAM 17 SEPT : Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Shah Alam, bagi menghadapi lima pertuduhan kerana pencemaran minyak di Sungai Selangor, yang dilakukan tertuduh pada 30 Ogos lalu.
Tertuduh, Eng Kim Bok, 55, didakwa melakukan 30 kesalahan manakala isterinya, H’ng Soo Chiew, 56, didakwa melakukan 20 kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
Eng merupakan pemilik tunggal bagi Ng Kim Bok Realty Sdn Bhd. dan pengarah bersama isterinya bagi Bengkel Muhibbah Mok dan Muhibbah Mok Sdn Bhd.
Bengkel Muhibbah Mok terletak di tempat di mana tumpahan berlaku manakala Muhibbah Mok Sdn Bhd merupakan syarikat induk bengkel dan Ng Kim Bok Realty syarikat yang memiliki tanah yang diduduki bengkel terbabit.
Setiap kesalahan dibacakan oleh Timbalan Pendakwaraya, Mohd Ashrof Adrin di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.
Lima pertuduhan itu melibatkan Seksyen 24 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 iaitu mencemarkan tanah tani dengan buangan terjadual dan Seksyen 25(1) akta yang sama iaitu meletakkan buangan terjadual SW311 (buangan minyak) tanpa lesen ke dalam mana-mana perairan daratan yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Kedua-dua tertuduh turut didakwa dibawah Seksyen 34(b) akta yang sama kerana melupuskan buangan secara haram. Jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun penjara dan denda tidak melebihi RM 500,000.
Pencemar Sungai
Selain itu, Kim Book dan Soo Chiew turut didakwa dibawah Seksyen 79(1)(d) Enakmen LUAS kerana melepaskan bahan buangan yang mengandungi minyak ke dalam sumber air tanpa lesen daripada Pengarah LUAS. Jika disabitkan kesalahan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh juga dikenakan Seksyen 41 Enakmen LUAS iaitu melepaskan bahan buangan melebihi had piawaian yang ditetapkan mengganggu aliran semulajadi air, jika disabitkan kesalahan denda tidak melebihi RM5,000.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu sekitar jam 9.50 hingga 11.40 pagi.
Keseluruhan jumlah denda dianggarkan lebih RM3 juta.
Hakim Mokhzani menetapkan semula kes pada 10 Oktober depan dan tertuduh diikat jamin RM150,000 bagi Kim Bok dan RM100,000 bagi Soo Chiew.
Dalam kejadian itu, hampir sejuta pengguna air di tujuh wilayah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bakal terjejas apabila empat loji dihentikan tugas selepas mengesan pencemaran air akibat tumpahan diesel di hulu Sungai Selangor kira-kira jam 8 pagi, 30 ogos lalu.

No comments: