Wednesday, September 11, 2013

Kerajaan Negeri Akan Membelanjakan Wang Untuk Melaksanakan Dasar


AMPANG, 10 SEPT: Kerajaan Negeri Selangor dijangka akan membelanjakan RM3 hingga RM4 bilion bagi melaksanakan dasar yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Rakyat (PR) Selangor yang diumumkan pada Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.
Anggaran itu bagaimanapun boleh meningkat sehingga RM6 bilion tertakluk kepada cadangan yang bakal dikemukakan pemimpin masyarakat tempatan di Majlis Dialog Manifesto Kerajaan Negeri Selangor 2013 Bersama Rakyat, yang kini giat diadakan di seluruh negeri.
Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Selangor, Iskandar Abdul Samad, anggaran itu meliputi peruntukkan untuk sepenggal bagi skim-skim yang dilaksanakan dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
“Pada 2008 kita belum bentuk kerajaan lagi, tetapi untuk 2013 hari ini kita sudah buat kriteria secara terperinci.
“Kita cuba habiskan dialog kita minggu ini dan selepas itu barisan exco akan bermesyuarat pada 18 hingga 20 September di mana kita akan bawakan segala maklum balas dari tuan-tuan dan puan-puan, Insya-Allah.
Demikian kata Iskandar dalam majlis dialog sama bagi peringkat kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Galeri MPAJ malam tadi.
Dialog tersebut diadakan bagi mendapatkan pandangan rakyat Selangor untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2014 Negeri Selangor sebelum dibentangkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sebelum hujung tahun ini.
Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Abdul Khalid sebelum ini mempraktikkan amalan mengambil kira pandangan masyarakat umum sebelum belanjawan tahunan negeri itu dirangka.
Amalan tersebut turut mengundang minat Kerajaan Persekutuan untuk mengikuti langkah sama dengan mengambil kira pandangan masyarakat awam sebelum Belanjawan 2014 dibentangkan.
Bagaimanapun langkah Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu menerima kritikan sinis dari masyarakat umum selepas kerajaan baru-baru ini menaikkan harga petrol Ron95, Ron97 dan diesel.
Keputusan menaikan harga bahan api itu dianggap sebagai tidak mencerminkan realiti di bawah khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

selangorku

No comments: