Kerajaan Persekutuan mesti mereformasi dasar fiskal dan menyekat defisit kewangan dari terus merosot dan bertambah buruk, cepat dan segera.
Langkah terkini yang kita nampak kerajaan sedang mereformasi dasar fiskalnya ialah dengan merasionalisasi subsidi atau lebih tepat ‘memotong’ subsidi petrol dengan menaikkan harga minyak petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter.
Kenaikan harga ini boleh membantu kerajaan menjimatkan sebanyak RM1.1 bilion tahun ini dan sebanyak RM3.3 bilion untuk tahun 2014. Ini merupakan satu langkah awal untuk kerajaan mengurangkan fiskal defisit negara kepada 3% menjelang tahun 2015.
Kini rakyat mula gelisah kerana kesan kenaikan petrol dan diesel akan berantaian, akan menyebabkan segala jenis barangan akan naik dan inflasi dijangka akan meningkat pada kadar 3% tahun ini dan 4% pada 2014.
Bukti rakyat semakin gelisah ialah apabila berlaku ‘flashmob’ berskala kecil di Jalan Seremban-Tampin dekat Seremban yang menarik perhatian para pengguna jalanraya seperti mana yang dilaporkan FMT semalam.
Dengan disertai hanya 10 ahli Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Sembilan, ‘flashmob’ atau protes kenaikan harga minyak telah menghantar mesej yang jelas kepada kerajaan tentang kebimbangan rakyat berhubung isu ini.
Kain-kain rentang telah menarik perhatian orang ramai kerana mesej-mesejnya begitu sinis. Di antaranya, terdapat kain rentang yang membawa mesej, “Terima kasih (kepada Perdana Menteri Datuk Seri) Najib Razak kerana naikkan harga minyak’ dan ‘Tahniah penyokong BN, kerana BN menang, harga minyak naik’.
Lebih mencuit hati apabila ada kain rentang yang membawa mesej dalam loghat Negeri Sembilan; ‘Harga minyak naik, takpoo…BR1M kan adoo…duit kami botingkek-tingkek’. Slogan tersebut bermaksud ‘Harga minyak naik, tidak mengapa…BR1M kan ada…duit kami bertingkat-tingkat’ (duit banyak menimbun-nimbun).
Mantapkan ekonomi
Di Kota Baharu semalam, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, langkah kerajaan mengurangkan subsidi harga minyak petrol RON95 dan diesel adalah langkah jangka panjang yang perlu diambil bagi memantapkan ekonomi negara.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata rakyat perlu memahami kesan-kesan yang lebih besar jika kerajaan berterusan memberikan subsidi kerana ia boleh menyebabkan negara menjadi muflis dan rakyat akan menanggung kesan yang lebih buruk jika keadaan itu berlaku.
Namun langkah pengurangan subsidi dengan menaikkan harga petrol RON95 dan diesel masih tidak mencukupi untuk jangka panjang kerana kedudukan fiskal defisit masih melebar.
Rakyat pasti tertanya-tanya apa lagi yang kerajaan akan lakukan selepas ini. Apatah lagi apabila kerajaan bercadang untuk menambah jumlah pemberian BR1M pada masa akan datang.
Untuk mereformasi dasar fiskal ini, dua lagi jenis cukai yang disebut-sebut yang akan dilaksanakan oleh kerajaan ialah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST – Goods and Services Tax) dan Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT – Real Property Gains Tax).
GST telah ditangguhkan pelaksanaannya sejak diumumkan dalam Belanjawan 2005 untuk dilaksanakan pada tahun 2007. Tetapi kali ini, diyakini GST akan dimasukkan ke dalam Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini untuk dilaksanakan pada tahun 2015.
Kesan GST
Kesan yang ditakuti rakyat ialah sejauh mana GST mempengaruhi harga barang. Tidak ada sesiapa yang terkecuali dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Sejauh mana kenaikan harga barang adalah bergantung kepada kadar cukai yang hendak dilaksanakan.
Ura-ura kerajaan untuk memperkenalkan GST pada kadar 7% amat membimbangkan rakyat terbanyak, terutama mereka yang terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Jika kerajaan melaksanakannya pada kadar 4% atau lebih rendah dari itu maka kemarahan rakyat tidaklah begitu meluap-luap sebelum para pengguna dapat menyesuaikan diri dengan harga baru.
Selain dari GST, kerajaan dijangka memperkenalkan semula RPGT dengan memasukkan dalam Belanjawan 2014 yang dibentangkan di Parlimen bulan depan sebagai satu lagi sumber cukai untuk mengisi tabung kerajaan yang semakin kering itu.
Langkah memperkenalkan semula RPGT ini juga boleh membendung dan menyekat aktiviti spekulasi yang berleluasa hingga menyebabkan harga rumah dan hartanah lain, terutama di Lembah Klang, melambung tinggi sehingga tidak terkawal.
Untuk menyekat kegiatan spekulasi, kerajaan boleh menghapuskan satu skim faedah yang ditanggung oleh para pemaju (DIBS – Developers’ Interest Bearing Scheme) di mana para pembeli hanya perlu mengeluarkan sebanyak 5% atau 10% sahaja wang pendahuluan untuk membeli hartanah.
Selepas itu, para pembeli tidak perlu membuat apa-apa bayaran lagi sehingga hartanah itu siap. Kegiatan ini menggalakkan unsur spekulasi kerana kos masuk (entry cost) yang rendah dan mereka akan menjual hartanah itu selepas ianya siap dalam tempoh dua atau tiga tahun.
Kerajaan pernah memperkenalkan RPGT dahulu, ketika harga hartanah melambung tinggi iaitu dengan mengenakan kadar peratus yang berbeza mengikut usia hartanah itu. Mana-mana hartanah yang dijual sebelum cukup tempoh lima tahun, penjual terpaksa membayar kadar cukai RPGT yang berbeza kepada kerajaan.
RPGT ini juga merupakan satu langkah untuk menyekat aktiviti spekulasi, cuma kali ini besar kemungkinan kerajaan akan mengenakan kadar cukai yang lebih tinggi jika kerajaan mahu mendapatkan hasil cukai yang lebih.
Bank-bank yang hanya membiayai setakat 70% dari harga hartanah kepada para peminjam untuk membeli hartanah yang ketiga juga merupakan satu lagi langkah untuk menghalang spekulasi dan langkah ini telah menunjukkan kesan yang positif.
Contohi Kelantan
Barangkali kerajaan persekutuan baru sedar bahawa selama ini kerajaan terlalu boros berbelanja sehingga menyebabkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed menggesa agar kerajaan berjimat cermat apabila berbelanja seperti mana yang dilaporkan Sinar Harian bertarikh 5 September lalu.
Barangkali pemimpin kerajaan sekarang ini baru sedar bahawa setelah penilaian Agensi Penarafan Kewangan Antarabangsa (FITCH) mendedahkan kemerosotan prospek ekonomi negara kepada negatif.
Namun sekiranya langkah-langkah untuk mereformasikan dasar fiskal ini masih gagal dan negara sedang menuju ke ambang kebangkrapan maka kerajaan persekutuan dinasihatkan supaya merujuk kepada kerajaan negeri Kelantan dalam hal soal berjimat cermat.
Bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh menjadi penasihat yang baik tentang bagaimana hendak melaksanakan langkah berjimat cermat seperti mana beliau mentadbir negeri Cik Siti Wan Kembang sejak lebih 22 tahun itu.
Ataupun rujuk juga kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tentang bagaimana beliau mampu berjimat cermat sehingga negeri itu mempunyai rezab kewangan sebanyak RM2.6 bilion dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menerusi dasar CAT (Competency, Accountability dan Transparency).
Selepas ini bolehlah kerajaan persekutuan menutup Pemandu (Unit Prestasi Pengurusan dan Penyampaian) di Jabatan Perdana Menteri itu seperti mana yang dicadangkan oleh Presiden Perkasa, Dato’ Ibrahim Ali. Menterinya Datuk Seri Idris Jala boleh ditukarkan ke tempat lain.
fmt
No comments:
Post a Comment