Wednesday, September 25, 2013

Keharmonian Politik Negara Harus Di Semai


Pakatan Rakyat (PR) menuntut kerajaan Barisan Nasional (BN) menunjukkan keikhlasan mereka ketika berbincang soal perpaduan nasional.
Ahli Parlimen PR yang ditemui The Malaysian Insider berkata, hanya dengan cara itu idea perpaduan nasional antara kedua-dua parti politik berkenaan akan terlaksana.
"Perpaduan tidak akan wujud selagi keharmonian tidak diwujudkan. Bagi merealisasikan keharmonian nasional, yang lebih banyak dipersoalkan adalah iltizam politik kerajaan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar kepada The Malaysian Insider.
Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS itu berkata, kerajaan perlu tegas menunjukkan bagaimana mereka mahu bawa politik yang harmoni.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam berkata, BN sedia mengadakan perbincangan mengenai perpaduan nasional dengan PR, namun menggesa pembangkang itu mengamalkan "baik sangka" terhadap parti pemerintah itu.
"Itu tujuan tidak ikhlas. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bercakap mengenai perpaduan nasional selepas keputusan pilihan raya umum.
"Apa yang kita lihat selepas itu hanyalah politik balas dendam dalam tempoh sejak setengah tahun lalu," kata ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Naib Pengerusi DAP itu berkata, tindakan BN itu menyebabkan rakyat marah kepada kerajaan sedangkan rakyat sebenarnya mahu melihat mereka bekerjasama secara "gentleman".
"Ini yang rakyat marah dengan BN. Rakyat mahu lihat kita kerjasama secara gentlemen," katanya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar turut mengharapkan Shahidan ikhlas dalam kenyataannya, dan mengharapkan tawaran berkenaan akan kekal meskipun tamatnya pemilihan Umno pada Oktober depan.
"Saya harap beliau ikhlas, kita tunggu masa semeja, saya harap tawaran ini akan berjalan sehingga perhimpunan Umno.
"Saya harap Shahidan akan amalkan khusnuzon (sangka baik)," katanya.

Naib Presiden PKR itu berkata, pihaknya mengharapkan Shahidan berjaya meyakinkan anggota Kabinet berkenaan kenyataannya itu.
Nurul Izzah Anwar.Nurul Izzah Anwar."Saya harap dia berjaya yakinkan Kabinet, kami sentiasa bersedia untuk duduk semeja, namun pasti ada prasyarat yang perlu diganding dengan kenyataan tersebut," katanya.
Shahidan yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Parlimen berkata PR boleh membawa usul berkenaan ke Parlimen sekiranya mereka ikhlas dengan perkara itu.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Umno termasuk berdialog bagi membincangkan pelbagai isu jika parti itu dipelawa.
Abdul Hadi berkata, PAS boleh berbincang mengenai apa sahaja isu dan sejarah membuktikan pemimpin PAS dan Umno boleh bersama di atas satu pentas.
Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah bersama dalam satu forum suatu ketika dahulu. - 25 September, 2013.

themalaysianinsider

No comments: