Loading...

Monday, September 30, 2013

Pasukan Selangor Mempertahankan Piala Sultan Selangor Edisi Ke-12

Piala Sultan Selangor 3

SHAH ALAM 29 SEPT: Di sebalik kegagalan mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia, pasukan Pilihan Selangor berjaya mempertahankan Piala Sultan Selangor edisi ke-12 selepas menumpaskan Pilihan Singapura 3-2 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Piala Sultan Selangor 2
Pemain penyerang import Pilihan Selangor, Francis Forkey Doe menjadi wira apabila menjaringkan dua gol pada pertembungan sengit yang disaksikan lebih 50,000 penyokong bola sepak tempatan itu.
Bagaimanapun, pasukan negara jiran itu terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain tengah, Firdaus Idrus pada minit kelimayang menewaskan penjaga gawang Selangor, Norazlan Razali.
Piala Sultan Selangor
Tersentak dengan jaringan itu, Selangor menggandakan asakan bertali-arus ke gawang Singapura dan akhirnya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-40 menerusi tandukan pemain import pertahanan, Adam Griffith.
Pada babak kedua perlawanan, Pilihan Selangor yang dibarisi keseluruhan pemain pada saingan Liga Malaysia musim ini berusaha untuk tidak menghampakan ribuan penyokong yang memberi sokongan kepada juara Piala Malaysia 32 kali itu.
Hasilnya, pada minit ke -54, Forkey Doe merembat masuk bola menewaskan penjaga gawang Singapura, Hassan Sunny.
Singapura kembali bangkit dengan berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Kamel Ramdani pada minit ke-70 permainan.
Tidak menunggu lama, Selangor kembali di hadapan menerusi sepakan cantik Forkey Doe pada minit ke-73, sekaligus menjadikan keputusan menjadi 3-2 hingga akhir permainan.
DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli untuk menyaksikan perlawanan itu dan menyampaikan piala pertandingan kepada pasukan Pilihan Selangor yang turut membawa pulang wang tunai RM50,000.
Turut mengiringi baginda, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi serta Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Khairi.
Piala Sultan Selangor 4
Dalam pada itu, penyokong bola sepak Selangor disajikan perlawanan klasik diantara Veteran Selangor menentang Veteran Singapura sebelum perlawanan utama berlangsung.
Pasukan Veteran Singapura mengalahkan Veteran Selangor yang dibarisi bekas pemain antaranya Zainal Abidin Hasan, K Sanbagamaran, Dollah Salleh dengan keputusan 1-0 yang dijaringkan oleh Rafi Ali pada minit ke-16.
Seperti tahun lalu, Piala Sultan Selangor dipertanding dengan menemukan dua musuh tradisi iaitu Selangor dan Singapura bagi mengeratkan hubungan antara dua kuasa besar Liga Malaysia suatu ketika dahulu.
Pada edisi tahun lalu, Selangor merampas kembali piala berkenaan dengan kemenangan 3-1 menewaskan Singapura selepas kemarau selama tiga tahun berturut-turut.
Piala Sultan Selangor 1

selangorku

No comments: