Thursday, September 26, 2013

TPPA Berat Sebelah , Negara Berpontensi Disaman


SHAH ALAM –  Kerajaan Malaysia berpotensi untuk disaman jika menandatangani perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) namun pada masa yang sama, cuba untuk mengekalkan dasar-dasar sedia ada yang memberi perlindungan kepada usahawan tempatan.
      
Sekutu Kanan Polisi dan Kluster, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Mohd Rizal Jaapar berkata, tindakan boleh diambil jika syarikat asing gagal mendapat kontrak kerajaan menerusi TPP setelah perjanjian ditandatangani.

"Menerusi TPP, syarikat-syarikat besar tajaan Amerika Syarikat (AS) akan memastikan kepentingan mereka didahului dan adanya undang-undang memihak kepada mereka.

Saya yakin mereka akan mendesak supaya diberi kebebasan membawa keluar masuk modal dan keuntungan perniagaan mereka di Malaysia serta mahu layanan sama rata dengan usahawan tempatan.

“Mereka juga mahu pastikan bahawa teknologi dicipta dilindungi selama-lamanya di bawah peruntukan undang-undang,” katanya.

“Mereka juga mahu pastikan bahawa teknologi dicipta dilindungi selama-lamanya di bawah peruntukan undang-undang,” katanya.

Mohd Rizal berkata, jika AS mendapati Malaysia cuba mengurangkan keuntungan mereka dengan melaksanakan program berkepentingan awam seperti mendahulukan usahawan tempatan atau melindungi usahawan Bumiputera, beliau yakin negara kita akan dikenakan tindakan kerana mencabuli perjanjian.

“Jika kerajaan disaman, kemungkinan besar kita akan kalah. Malah kita bakal disaman dengan jumlah yang amat banyak hingga membebankan rakyat dan negara. Saya mengatakan perkara ini, sekiranya kita merujuk kepada kesan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara AS dan negara lain,” katanya.

Beliau berkata, TPP yang sedang dirunding dilihat banyak merugikan negara dan bukan satu usaha membantu negara menjadi lebih kaya.

“TPP lebih kepada usaha memaksa kerajaan berdagang mengikut telunjuk AS dan jika ingkar, mereka mahu kita dihukum menggunakan undang-undang mereka.

“Perkara ini diakui pelbagai pihak di peringkat antarabangsa dan dipersetujui pemimpin negara yang rata-rata berpendapat TPP adalah usaha mengekal monopoli AS,” katanya.

Mohd Rizal mengakui bimbang lawatan Presiden AS, Barack Obama yang akan menghadiri Persidangan Keusahawanan Global (GES) bulan depan akan mendorong kerajaan bersetuju menandatangani TPP.

“Justeru rakyat Malaysia harus lebih prihatin dan segera menyuarakan bantahan mereka sekiranya mereka mahu negara ini terus kekal merdeka dan berdaulat,” katanya.

sinarharian

No comments: