Thursday, September 5, 2013

Kenyataan Akhbar: Selangor Beku Semua Aktiviti Di Rezab Sungai



KENYATAAN AKHBAR

4 SEPTEMBER 2013

SELANGOR BEKU SEMUA AKTIVITI DI REZAB SUNGAI

Kerajaan Negeri memandang serius kejadian pencemaran diesel di Sungai Selangor yang menyebabkan Loji Sungai Selangor  1, 2 dan 3 serta Loji Rantau Panjang dihentikan tugas untuk sementara.

Kejadian ini telah menyusahkan rakyat terutama mereka yang berkeluarga apabila bekalan air terputus di beberapa daerah di Selangor.

Bagi memastikan kejadian sebegini tidak berulang, kerajaan negeri telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan membekukan semua permohonan menjalankan sebarang bentuk aktiviti di kawasan rezab sungai berkuatkuasa serta merta.

Semua PBT juga diarahkan menjalankan kerja-kerja pemantauan semua aktiviti di kawasan rezab sungai terutama aktiviti tidak berlesen.

Kerajaan Negeri berpendapat penguatkuasaan undang-undang alam sekitar di negara ini perlu dipertingkatkan memandangkan kes-kes pencemaran yang disebabkan kecuaian semakin kerap berlaku.

Justeru, kita menyarankan kerajaan Pusat khususnya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menguatkuasakan prinsip pencemar membayar dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974  di mana kos kerosakan dan kos membaiki kerosakan akibat pencemaran itu ditanggung sepenuhnya oleh individu atau syarikat yang menyebabkan pencemaran berlaku.

Kerajaan negeri bersama agensi kerajaan seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar serta semua PBT di Selangor akan terus bekerjasama untuk memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan kes-kes pencemaran sungai dapat dielakkan agar tidak berlaku gangguan bekalan air yang menyusahkan rakyat.

YAB TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM 

No comments: