Loading...

Wednesday, September 4, 2013

Ops Cantas: Negara Jiran Sebagai Pelindung Sementara


KUALA LUMPUR:  Ops Cantas Khas yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak lebih dua minggu lepas, dilihat telah memberi
tekanan kepada anggota kongsi gelap apabila mereka cuba mencari perlindungan di negara jiran.
Berikutan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata operasi memburu kumpulan kongsi gelap kini tertumpu di kawasan sempadan negara termasuk di pintu-pintu masuk.
Untuk operasi dalam negeri, katanya PDRM menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Imigresen dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kita akan pantau semua pintu masuk sempadan supaya mereka tidak dapat keluar,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Pertauliahan Kor Sukses Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.
Khalid berkata anggota kongsi gelap melarikan diri ke luar negara berikutan penahanan ketua-ketua kongsi gelap serta kesukaran menjalankan aktiviti jenayah disebabkan operasi pihak berkuasa, selain mahu menghapuskan tatu kumpulan pada anggota badan supaya sukar dikesan polis.
Beliau berkata PDRM mungkin bekerjasama dengan pihak berkuasa negara-negara jiran bagi menahan mereka yang diburu.
Dalam Ops Cantas Khas yang bermula 17 Ogos lepas, di seluruh negara PDRM menangkap 4,777 orang dan merampas 136 kenderaan curi, lapan senjata api, sebuah bom tangan, 54 peluru dan 133 senjata berbahaya.
Kementerian Dalam Negeri turut mengumumkan senarai 49 kumpulan kongsi gelap di seluruh negara.
Dalam pada itu, Khalid berkata polis juga akan menyiasat warga asing yang  terlibat dalam kegiatan kongsi gelap setelah laporan Ops 6P Jabatan Imigresen Pulau Pinang semalam mendapati adanya pintu bilik penginapan atau rumah kongsi warga asing di Bayan Lepas, mempunyai lambang kongsi gelap.
“Jika benar ini berlaku kita akan ambil-alih kes supaya siasatan senang dilakukan dan semasa disiasat semua elemen-elemen penting juga akan dilihat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata pihaknya sedang menyiasat kes itu.
“Polis setakat ini tidak mengesan pembabitan warga asing dalam kumpulan kongsi gelap tetapi sedia siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama.
– BERNAMA

No comments: