Loading...

Friday, September 13, 2013

Ringgit Jatuh? Pelabur Khuatir


KUALA LUMPUR - Kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) dilihat kekhuatiran pelabur luar untuk masuk negara ini akibat kegagalan Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan 2/3 majoriti pada pilihanraya umum yang lalu.

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Lajim Ukin menjelaskan pelabur melihat beberapa dasar serta keputusan yang dibuat oleh kerajaan mendapat tentangan daripada Pakatan Rakyat, antaranya kenaikan harga minyak.

Tindakan tersebut membuatkan mereka (pelabur) tidak yakin dengan kekuatan BN terutamanya perkara yang mempunyai kaitan dengan rakyat.

"Faktor utama kejatuhan RM adalah disebabkan ketidakstabilan kerajaan BN yang dilihat pelabur banyak kelemahan.

"Mereka melihat dasar mahupun apa jua keputusan yang dibuat oleh kerajaan mendapat tentang dari pembangkang terutamanya jika melibatkan masalah rakyat," jelasnya.

Beliau berkata setiap tentangan Pakatan Rakyat mempunyai sebab tertentu dan tidak semua yang diputuskan oleh kerajaan itu tidak dipersetujui.

"Isu minyak kenapa kita tentang, walaupun kenaikan hanya 20 sen tetapi ia memberi kesan yang teruk kepada rakyat dan paling ketara adalah mereka berpendapatan rendah.

"Apa yang boleh dilakukan oleh mereka yang bergaji bawah RM2,000 pendapatan tersebut tidak menjamin mereka untuk hidup selesa apatah lagi jika hidup di kawasan bandar," tegasnya.

Lajim yang turut mempersoalkan walaupun kerajaan memberi amaran agar harga tidak dinaikkan tetapi sejauh mana mereka dapat mengawalnya.

"Dulu bayaran pengangkutan dari Beaufort ke Kota Kinabalu hanya RM30 untuk dua hala tetapi sekarang meningkat RM10 menjadikan RM40 untuk dua hala.

"Apakah pengawalan yang diambil kerajaan, kos tambahan menyebabkan penguasa terpaksa menaikan tambang tersebut," sambung beliau.

Beliau berharap setiap pendekatan yang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ekonomi negara memerlukan jalan penyelesaian terbaik dan bukannya membebankan rakyat.

Harakahdaily


No comments: