Sunday, September 1, 2013

4 Bekalan Air Loji Rawatan Di Paras Berlebihan


SHAH ALAM 1 SEPT: Bekalan air di empat loji rawatan air yang terjejas sebelum ini, mencukupi bahkan ada kalanya melebihi paras yang ditetapkan, kata Elizabeth Wong Keat Ping.
Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar itu, berkata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tiada alasan lambat menyalurkan bekalan air kepada pengguna.
“Alasan Syabas masalah itu akan diatasi dalam tempoh hampir lima hari sukar diterima kerana tiada masalah air dihadapi di Sungai Selangor.
“Semua keempat-empat loji dalam kapasiti penuh,” katanya kepada TV Selangor sambil menyatakan bekalan air di Lembah Klang dijangka diatasi dalam masa terdekat.
Jumaat lalu, sebahagian penduduk Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air apabila Sungai Selangor dicemari tumpahan diesel yang menyebabkan empat loji rawatan air terpaksa ditutup.
Beliau berkata, laporan menunjukkan tiga loji rawatan air di Sungai Selangor dan satu di Rantau Panjang yang bermasalah sebelum ini sudah pulih dan beroperasi sepenuhnya.
“Ia berikutan kerja membaik pulih berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Segalanya bagus kecuali kolam air Hicom di Glenmarie.
“Kita akan tengok apa masalah di kolam itu yang keadaannya dikatakan tidak seimbang tetapi saya yakin dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya.
Kolam itu menyalur bekalan air ke Petaling Jaya di SS2, SS3 dan SS4 serta sebahagian Kelana Jaya, sebahagian Subang Jaya dan Seksyen 23 dan 24 di Shah Alam.
Mengulas lanjut, Elizabeth berkata, semua bukti untuk tindakan saman mahkamah terhadap syarikat minyak yang menjadi punca pencemaran Sungai Selangor, sedang dikumpul selepas premisnya disita Jumaat lalu.
“Kita juga akan merampas tanah digunakan syarikat itu. Saya harap mahkamah akan beri hukuman berat walaupun kes alam sekitar biasanya hukumannya ringan,” katanya.

selangorku

No comments: