Tuesday, September 10, 2013

Langkah Penjimatan Untuk Kerajaan


jemputanrasmikerajaan

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli kesal kerana pemimpin Barisan Nasional yang tidak berani berdepan dalam forum atau debat terbuka mengenai kemelut kenaikan harga minyak yang menimbulkan kemarahan rakyat.
Katanya, reaksi  Menteri Belia dan Sukan,  Khairy Jamaluddin bahawa beliau tidak sudi berdebat kerana ia boleh dibahaskan di Parlimen adalah jalan mudah yang diambil untuk mengelak.
“Sebagai seorang Ahli Parlimen penggal kedua, sewajarnya beliau sedia maklum bahawa perbahasan di Parlimen mestilah mengikut urusan perjalanan Dewan yang ditetapkan oleh Kerajaan. Tambahan pula, masanya terhad dan terdedah kepada segala gangguan terutamanya dari Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional,”kata beliau dalam satu kenyataan media.
Oleh itu, tambahnya, sekiranya Ketua Pemuda Umno itu  ikhlas untuk berbahas mengenai permasalahan rakyat akibat kenaikan harga minyak,   wajiblah beliau sendiri yang mengemukakan usul tergempar untuk membahaskan tindakan BN menaikkan harga minyak dan kesannya kepada rakyat.
“Beliau juga wajib memastikan dan mengarahkan ahli-ahli Parlimen BN supaya menyokong usul itu dibahaskan di Parlimen untuk mengotakan janji beliau membahaskan isu itu di Parlimen,” katanya lagi.
Beliau yang juga Pengarah Strategik PKR berkata beliau  menunggu tindakan selanjutnya dari  Khairy Jamaluddin untuk mengemukakan usul di Parlimen untuk membuktikan bahawa tindakan beliau menolak jemputan berdebat bukanlah kerana beliau tidak berani berhadapan dengan suara rakyat.
“Jika tidak ada apa-apa tindakan di pihak beliau, ternyatalah bahawa beliau hanya memberi alasan kerana tidak berani untuk berdebat,” katanya lagi.
Rafizi juga masih menanti pengumuman oleh Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai langkah-langkah penjimatan khusus yang akan diambil oleh BN untuk mengurangkan keborosan kerajaan.
“Sewajarnya Barisan Nasional membentangkan perincian program-program yang akan dihentikan, perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak lagi dibenarkan serta amalan kerajaan yang ditukar untuk menjimatkan wang,” katanya.
Tambahnya lagi, setiap langkah ini perlulah diperincikan sasaran penjimatan yang akan dicapai dan penjimatannya dilapor di Parlimen setiap tiga bulan, seperti mana organisasi korporat menjalankan program penjimatan kos.
Sebagai permulaan, beliau mencadangkan Perdana Menteri mengeluarkan arahan-arahan penjimatan berikut:
1.      Belanja petrol bagi kereta rasmi Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai mereka dibayar sendiri oleh mereka seperti yang saya telah suarakan sebelum ini. Apatah lagi saranan ini turut disokong Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein
2.      Memotong peruntukan perjalanan dalam dan luar negeri Menteri, Timbalan Menteri, pegawai-pegawai mereka dan penjawat awam teratas sebanyak 25% berkuatkuasa serta merta untuk mengelakkan perjalanan yang tidak membawa hasil kepada kerajaan
3.      Menghentikan serta-merta amalan mencetak kad-kad jemputan yang mahal dan dihantar secara Poslaju kepada Ahli-ahli Parlimen, penjawat awam dan jemputan bagi setiap program kerajaan (seperti gambar kanan) kerana ini boleh dibuat secara percuma melalui email dan laman sosial.
“Ketiga-tiga langkah ini boleh menjimatkan jutaan wang rakyat setiap tahun jika dilaksanakan serta-merta,”ujarnya.
Beliau menunggu arahan-arahan ini dikeluarkan oleh Najib  jika benar beliau mengambil berat kepayahan yang ditanggung oleh rakyat akibat keputusannya menaikkan harga minyak.

fmt

No comments: