Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini menitahkan kerajaan negeri Johor
menubuhkan pasukan khas mengkaji untuk membuat rayuan terhadap
keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan Pulau Batu
Puteh.
Sultan Ibrahim bertitah, langkah itu sejajar dengan pesanan ayahanda
baginda, almarhum Sultan Iskandar Pulau Batu Puteh adalah milik Johor
dan pulau berkenaan mesti kekal menjadi sebahagian daripada negeri
Johor.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan penggal
persidangan kedua Dewan Undangan Negeri Johor ke-13, di Bukit Timbalan,
Johor Baru, hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah baginda mahu kontraktor
tempatan turut mendapat faedah daripada pelaksanaan pembangunan kompleks
petroleum Pengerang dekat Kota Tinggi.
Baginda bertitah, pembangunan itu yang akan memberikan impak besar
terhadap ekonomi Johor sepatutnya turut memberi faedah kepada rakyat
Johor.
Mengenai kebanjiran pelabur dari China terutamanya dalam sektor
hartanah di negeri ini, Sultan Ibrahim bertitah pelaburan seumpama itu
amat diperlukan bagi mengekalkan pembangunan ekonomi kerana Johor tidak
boleh hanya bergantung kepada pelabur tempatan sahaja.
"Kebetulan pada masa ini hanya pelabur dari China yang dilihat lebih
berminat untuk datang ke Johor kerana mereka percaya dengan potensi yang
dimiliki negeri ini serta dasar kerajaan yang mesra pelabur," titah
baginda.
Sultan Ibrahim dalam pada itu mahu sebuah Perbadanan Alam Sekitar
Negeri Johor diwujudkan di bawah Enakmen Negeri Johor seperti yang sudah
ditubuhkan di Melaka, Sabah dan Sarawak bagi menjaga dan memelihara
alam sekitar negeri Johor.
Mengenai cuti mingguan negeri ini, Sultan Ibrahim mahu kerajaan negeri
Johor menyelaraskan cuti mingguan bagi semua sektor di negeri ini kepada
hari Jumaat dan Sabtu seperti yang diisytiharkan.
Baginda bertitah terdapat rungutan ibu bapa yang bekerja di sektor
swasta mereka tidak dapat meluangkan masa bersama anak disebabkan
terpaksa bekerja pada Jumaat.
Sambil melafazkan syukur kerana negeri Johor bertambah makmur, Sultan
Ibrahim mengingatkan semua anggota Dewan Undangan Negeri (DUN)
mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan politik
masing-masing.
Baginda juga mahu semua anggota DUN supaya memelihara kesopanan dan kesusilaan semasa berbahas.
"Saya ingatkan pikul amanah yang diberikan rakyat dengan penuh
tanggungjawab tanpa mengira latar belakang agama, bangsa atau parti
politik," titah baginda. – Bernama, 29 Mei, 2014.