Loading...

Wednesday, September 5, 2012

PEMULIHAN HUTANG OLEH KERAJAAN SELANGOR ADALAH KEPUTUSAN KOMERSIL YANG BAIK: FIRMA AUDIT

KENYATAAN AKHBAR
5 SEPT 2012
 
Pada Julai 2012, Kerajaan Selangor telah melantik KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd (KPMG) untuk menjalankan semakan bebas terhadap kaedah kutipan hutang tertunggak berjumlah RM392 juta daripada Talam Corporation.
 
Kerajaan negeri sukacita mengumumkan bahawa laporan ini telah siap sepenuhnya dan akan dibentangkan dalam Dewan Negeri Selangor yang dijadualkan bersidang pada November ini dan kemudian akan diedarkan kepada orang awam.
 
Kami berpuas hati dengan semakan yang dibuat oleh akauntan bebas dari KPMG yang telah membuat kesimpulan bahawa:
 
"Kerajaan Negeri Selangor mengadakan dua perjanjian penyelesaian dengan Talam bertujuan mengutip semula hutang RM392 juta yang dihutang kepada kerajaan negeri dan anak-anak syarikatnya.
 
 "Penyelesaian hutang ini dilaksanakan menerusi penyelesaian aset melibatkan 9 plot tanah, dua hartanah, 60 peratus saham dalam anak syarikat Talam serta tunai. Perjanjian penyelesaian dengan Talam ini adalah semata-mata bertujuan mengutip hutang.
 
 "Daripada semakan ini, KPMG berpandangan bahawa kerajaan negeri telah membuat keputusan komersil yang baik mengikut keadaan ketika itu untuk menyusun hutang-hutang ini.
 
 
"Proses penyelesaian hutang ini masih berterusan dan berdasarkan maklumat yang ada, anggaran nilai kasar mencukupi untuk Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) – sebagai pihak yang bertanggungjawab mengutip hutang bagi pihak kerajaan negeri dan anak-anak syarikat – mendapatkan semua hutang daripada Talam tanpa memberi sebarang pengecualian."
 
Kesimpulan tersebut menunjukkan bahawa usaha Kerajaan Negeri mengutip hutang RM392 juta daripada Talam telah dilaksanakan dengan tertib, mengikut undang-undang, beretika serta menjaga kepentingan negeri, anak-anak syarikat dan rakyat Selangor.
 
Kerajaan Negeri juga telah menyediakan soalan-soalan lazim bagi membantu pihak media dan orang awam lebih memahami isu ini. Usaha ini juga dibuat dibawah selian KPMG untuk mengesahkan kebenaran fakta.
 
Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Kuala Selangor, YB Dr Dzukefli Ahmad, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, YB Tony Pua, Ahli Parlimen Selayang, YB William Leong dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin sebagai jurucakap rasmi bagi kerajaan Selangor berhubung perkara ini.
 
Mereka ini berkelayakan untuk berbincang dan berdebat berhubung isu Talam dengan mana-mana individu atau organisasi yang bersesuaian. Saya amat yakin mereka mampu mengendalikan perbincangan secara sihat dan berfaedah mengenai isu ini.
 
Kerajaan Negeri juga mengucapkan terima kasih kepada bekas Ketua Audit Negara, Dato' Mohd Salleh Mahmud kerana membantu kerajaan negeri memantau keseluruhan proses semakan ini.
 
Kerajaan Negeri komited untuk mengurus ekonomi dan kewangan negeri secara profesional dan berhemah serta sentiasa memberi keutamaan kepada rakyat.
 
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO MENTERI BESAR  SELANGOR
 

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments: