Tuesday, September 11, 2012

TANAH YANG DIBERI UNTUK PERKHIDMATAN KTMB TETAPI TIDAK DIGUNAKAN ADALAH MILIK KERAJAAN NEGERI

KENYATAAN AKHBAR
11 SEPTEMBER 2012

 
Kerajaan Selangor memandang berat terhadap cadangan kerajaan Pusat untuk menswastakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada sebuah syarikat swasta.
 
Tambahan pula rancangan ini akan mengakibatkan aset dan pegangan tanah milik KTMB yang dianggarkan bernilai RM50 billion akan jatuh kepada syarikat berkenaan iaitu Malaysian Mining Corporation Berhad (MMC) yang dimiliki Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
 
Justeru, ia bertentangan dengan hasrat awal kerajaan negeri menyerahkan hartanah tersebut kepada KTMB memandangkan KTMB adalah syarikat utiliti milik penuh kerajaan Pusat. Penyerahan harta telah dibuat atas semangat federalisme antara kerajaan negeri dan Pusat.
 
Maka kerajaan negeri bimbang tindakan menswastakan KTMB apatah lagi keputusan tersebut dibuat melalui runding terus akan menjadikan aset-aset milik rakyat jatuh ke tangan pihak swasta.
 
Sehubungan itu, kerajaan negeri mengingatkan mana-mana tanah negeri yang pernah digunakan untuk perkhidmatan keretapi tetapi tidak dirizabkan atau diberi milik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan atau diletakkan kepada Perbadanan Aset Keretapi dan kini tidak diduduki atau digunakan bagi tujuan perkhidmatan keretapi adalah tanah negeri.
 
Mana-mana pihak tidak boleh membuat sebarang urusniaga atau sebarang urusan ke atas tanah tersebut.
 
Kerajaan negeri berpendirian bahawa peringatan ini perlu dibuat agar hak dan kepentingan rakyat terhadap aset ini terjamin.
 
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments: