Wednesday, September 12, 2012

Pusat berdegil teruskan Langat 2 untuk kayakan kroni Umno BN

Sep 11 2012 / Keadilan Daily
(Oleh Masdar Wahid)

KUALA LUMPUR 11 September: Kerajaan Persekutuan tetap berdegil mahu meneruskan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor), walaupun tanpa mendapat kelulusan Menteri Besar Selangor.

Ketua Penerangan KEADILAN Negeri, Suhaimi Shafie berkata, penerusan projek itu bertujuan untuk mengkayakan kroni Umno BN.

"Rancangan pembinaan loji Langat 2 telah membelakangi rakyat, dan menunjukkan kerajaan BN lebih mengutamakan syarikat korporat yang ada kaitan langsung dengan Umno.

"Walhal kroni yang mendapat projek itu kelak akan menyalurkan dana untuk kempen politik Umno menjelang pilihan raya umum akan datang," katanya ketika dihubungi Keadilan Daily.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mempengerusikan jawatankuasa kabinet mengenai isu itu pada Julai, telah mengarahkan Peguam Negara untuk mengkaji cara untuk meneruskan projek tersebut tanpa kelulusan Selangor.

Isnin lalu, China Press memetik sumber-sumber kerajaan sebagai berkata, Tan Sri Abdul Gani Patail sudah memberitahu jawatankuasa yang dipengerusikan Muhyiddin itu agar meneruskan tender projek tersebut walaupun mendapat tentangan Kerajaan Selangor.

"Pengurusan air ini tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan, malangnya ia bukan sahaja tidak dihormati Umno BN, malah menekan pula Peguam Negara untuk menghalalkan tindakan mereka," kata Suhaimi.

Sebelum ini, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli tidak menolak kemungkinan George Kent Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan projek sambungan LRT Ampang,  akan menyertai bidaan untuk projek rawatan air Loji Langat 2 ini.

Beliau merujuk laporan Star Biz bahawa  konsortium yang mempunyai pengalaman dalam perpaipan untuk menjalankan projek saluran air mentah Pahang-Selangor itu akan menyertai bidaan tersebut bersama kumpulan pembina infrastruktur terkemuka, Gamuda Bhd dan Loh & Loh Corporation Bhd.

Dokumen tender pembinaan Loji Langat 2 itu akan dikeluarkan bermula esok.

Selangor tetap tolak Langat 2

Sementara itu, Exco Dr Xavier Jayakumar menegaskan, Kerajaan Selangor tetap menolak Langat 2 dan mahu penstrukturan semula air diselesaikan secara holistik.

"Berhubung kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Kerajaan Persekutuan akan mengeluarkan tender projek pembinaan loji air Langat 2, saya kira itu keputusan dibuat Kerajaan Persekutuan.

"Tetapi bagaimanapun akhirnya mereka perlu kembali merujuk kepada Kerajaan Negeri bagi meluluskannya," katanya dipetik MediaSelangorku.

Projek Langat 2 dianggar menelan kos RM8.7 bilion dan jika projek itu diteruskan, harga air di Selangor akan melonjak sekaligus membebankan rakyat yang kini menikmati air percuma di bawah dasar Pakatan Rakyat.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments: