Loading...

Sunday, September 2, 2012

'Undang-undang lindungi pemberi maklumat 'ibarat tin kosong'

Eric Paulsen
1:50PM Ogos 30 2012
 
ULASAN Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA) tidak membawa apa-apa erti kerana akta ini adalah salah satu daripada undang-undang yang progresif tetapi tidak membawa apa-apa faedah sama seperti Akta Perhimpunan Aman dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas).

Kerajaan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak hanya pandai menggubal tanpa penelitian yang lebih terperinci, penjenamaan semula yang gagal tanpa isi dan manfaatnya.

Akta ini juga tidak membawa apa-apa makna dan tidak memberi kesan kepada sekurang-kurangnya tiga peruntukan utama yang lari daripada matlamat asal penggubalannya, iaitu untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan mempermudahkan pendedahan tersebut dibuat dan juga untuk melindungi si pemberi maklumat.

Pertama, menurut peruntukan Seksyen 6(1) di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA), pendedahan yang dibuat tidak akan dilindungi undang-undang sekiranya pendedahan tersebut dilarang mana-mana undang-undang bertulis. 

Di dalam kes Rafizi Ramli, pengarah strategi PKR dan Johari Osman, bekas kerani Public Bank, Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) melarang pendedahan yang tidak disahkan, dan dalam kebanyakan kes, halangan kepada si pemberi maklumat adalah Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang memperuntukkan perlindungan kepada pihak berkuasa untuk menjadikan dokumen rasmi sebagai 'rahsia rasmi' yang mana tidak boleh dipertikaikan di mahkamah walaupun ia tidak boleh menjadi rahsia atau risiko keselamatan dan juga pendedahan tersebut adalah untuk kebaikan umum.

Kedua, Seksyen 11(1) (d) dibawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA) menyatakan bahawa perlindungan kepada si pemberi maklumat boleh terbatal sekiranya pendedahan tersebut mengenai kesalahan yang mempersoalkan merit polisi kerajaan termasuk polisi badan awam. 

Peruntukan yang tidak masuk akal dan tidak jelas dari konsepnya ini, seperti dalam kebanyakan kes yang melibatkan ketempangan dalam badan-badan awam, dan ini tidak dapat tidak dalam mempersoalkan polisi kerajaan dan badan awam.

Ketiga, Seksyen 8 di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat juga telah menganiaya si pemberi maklumat, sebagai contoh sekiranya dia mendedahkan kesalahan pihak yang lain (termasuk akhbar dan ahli Parlimen) bila mana dia telah menggunakan 'perlindungan' di bawah akta ini – kesalahan yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Merujuk kepada peruntukan yang menindas ini kepada  Rafizi dan Johari, adakah kita sejenak terfikir akan skandal NFC yang mana telah mendedahkan Pengerusi NFC, Datuk Seri Mohd Salleh Ismail, suami kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat, didakwa atas kesalahan pecah amanah?

Jika mereka berdua rujuk kepada SPRM dan menggunakan prosedur WPA, adakah kita benar-benar memikirkan SPRM dan Jabatan Peguam Negara tiba-tiba menjadi bebas, berkelayakan dan juga akan menyiasat dan mendakwa NFC? Akankah budaya kerahsiaan, kurang ketelusan dan kebertanggungjawaban, melindungi orang-orang kaya dan berkuasa tiba-tiba tidak lagi wujud? Jawapannya pastilah tidak…

Si Pemberi Maklumat dalam dilema

Rafizi dan Johari masih akan ditekan sepertimana pembawa mesej tidak baik yang lain, sama seperti sebelumnya yang mana telah mendedahkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan kerajaan.

Bagaimana lagi untuk rasuah, pecah amanah, penggelapan wang dan pengelakan cukai dapat didedahkan jika tidak dengan kenyataan bank? Pendakwaan mereka membuktikan Jabatan Peguam Negara berat sebelah dan dipolitikkan yang mana pendedahan tersebut telah mendedahkan kesalahan jenayah yang serius yang mana apa-apa peruntukan mengenai kerahsiaan patut ditolak termasuk Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA).

Mari kita fahamkan, tanpa sebarang tekanan media dan umum, skandal NFC dengan mudah dapat diredakan.

Pihak penyiasatan dan pendakwaan telah menutup isu NFC, seterusnya akan mengatakan pendedahan tersebut telah bertentangan dengan BAFIA dan pendedahan itu juga tidak boleh dikategorikan di bawah WPA.

Jika kedua-dua mereka menentang, pihak berkuasa akan mengancam mereka dengan pendakwaan jenayah, dan akhirnya, pendedahan yang dibuat oleh mereka tidak membawa apa-apa makna.

Atau jikapun, pendedahan itu di bawah WPA, pihak berkuasa akan memutuskan untuk membatalkan perlindungan itu kerana pendedahan tersebut telah melibatkan pertikaian merit polisi kerajaan dan kedua-dua mereka boleh dikenakan tindakan sivil dan jenayah.

Dan akhir sekali, mereka akan terperangkap bila mana menggunakan perlindungan di bawah WPA, mereka tidak boleh bercakap kepada akhbar atau ahli Parlimen walaupun dengan niat yang baik, dan mereka boleh dipenjarakan atau didenda kerana melanggar peruntukan berkenaan 'maklumat sulit' di bawah WPA yang mana mereka telah dedahkan.

Jelas sekali bahawa Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA) bukanlah undang-undang yang berkhidmat untuk kepentingan umum dan melawan rasuah. Ia digubal untuk meletakkan pemberi maklumat dalam dilema, menekan mereka dengan melalui prosedur WPA yang salah, dan yang paling penting sekali, untuk menghalang mereka daripada membuat sidang akhbar dan rujuk kepada ahli politik pembangkang.

ERIC PAULSEN adalah pengasas bersama dan penasihat Lawyers For Liberty, Organisasi Hak Asasi Manusia. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmiMalaysiakini.
http://www.malaysiakini.com/news/207511

--
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments: