Bantu individu berkemahiran
SRI MUDA - Individu yang berkemahiran namun tidak mempunyai sumber untuk mengembangkan kebolehan diminta segera berhubung dengan mana-mana pihak berkaitan khususnya di kawasan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie berkata, pihaknya komited membantu golongan kurang berkemampuan untuk mengembangkan kemahiran mereka bagi membolehkan individu terbabit berdikari pada masa akan datang.
Menurutnya, sepanjang tahun ini, pejabat ADUN telah menyumbangkan tujuh mesin jahit kepada wanita yang kurang berkemampuan bagi membolehkan mereka mengembangkan kemahiran yang ada sekali gus menjana pendapatan kelak.
“Bantuan yang diberikan ini adalah untuk membantu individu terlibat berdikari untuk menyara keluarga dengan kemahiran yang ada.
“Malah aktiviti turun padang seperti ini akan diteruskan dengan kerjasama pemimpin setempat di kawasan masing-masing,” katanya selepas menyampaikan mesin jahit berharga RM1,600 kepada seorang penduduk, Saravasthy, di sini.
Shuhaimi berkata, mereka yang mempunyai kemahiran menjahit seperti Saravasthy namun tidak mempunyai modal untuk memulakannya, boleh mendaftar atau memberikan maklumat kepada wakil pejabat ADUN, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan ahli majlis untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, selain bantuan, Kerajaan Negeri juga mempunyai banyak program untuk membantu golongan kurang berkemampuan memajukan diri mereka.
No comments:
Post a Comment