Saturday, December 4, 2010
Demo diterus, perarakan bergantung keadaan
Kerajaan Selangor akan tetap meneruskan perhimpunan menentang kenaikan harga air di negeri itu di Kuala Lumpur Ahad ini walapun polis memberikan amaran hari ini, kata penyelaras kempennya. Badrul Amin Bahrom bagaimanapun berkata, perarakan dari Masjid Negara ke Istana Negara seperti yang dirancang sebelum ini bergantung kepada keadaan pada hari berkenaan. "Kalau diizinkan, kita berarak. Jika tidak diizinkan, kita mungkin guna cara lain. Ia bergantung kepada pelbagai faktor seperti cuaca, ketegangan pada hari itu, apa saja. "Lagi pun kita bukan orang jahat," kata Badrul Amin yang juga anggota majlis pimpinan pusat PKR. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah Polis hari ini memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan peserta perhimpunan anjuran kerajaan selangor dan satu lagi kumpulan pada Ahad ini. Bagaimanapun, menurut Zulkifli, polis tidak menghalang tindakan untuk menyerahkan memorandum tetapi bukan melalui perarakan dan perhimpunan. Selain penyokong kempen Air untuk Rakyat yang berbaju merah, satu lagi NGO antipenyelewengan kerajaan negeri (berbaju hitam) - Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) - turut mengadakan demonstrasi di tempat berdekatan pada masa yang sama. Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Badrul Amin juga menyatakan kesedihannya terhadap larangan polis itu kerana menurutnya rakyat berhak beribadat di dalam masjid serta berhimpun secara aman di situ. "Kecualilah kalau kita hendak merusuh. Saya tidak nampak apa masalahnya sehingga menjadi (perhimpunan) haram," kata bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu. Ditanya sama ada amaran polis itu akan menjejaskan kehadiran ke program itu, Badrul Amin berkata beliau tidak pasti berhubung perkara itu dan hanya menyerahkannya kepada kuasa Allah. "Tetapi berdasarkan (perhimpunan) yang lepas-lepas, lagi ditekan lagi ramai. Lagi hak rakyat dicabar, bertali arus mereka datang (berhimpun)," katanya. Badrul Amin juga berkata, setakat ini tiada seorang pun anggota jawatankuasa kempen itu dipanggil polis menjelaskan tentang rancangan mereka menghimpunkan 20,000 orang di masjid negara itu. Sementara itu, pada jam 3.30 petang tadi, sekretariat kempen itu mengadakan mesyuarat akhir mereka bagi memutuskan perancangan dan strategi terakhir mereka di Shah Alam hari ini. Sementara itu, selepas 'demo raptai' mereka di Shah Alam hari ini, Presiden Gaps Hamidzun Khairuddin memberitahu pemberita, perhimpunan mereka di Masjid Jamek Ahad ini diteruskan seperti biasa. Seperti Badrul Amin, beliau juga memberitahu, perarakan ke Istana Negara mungkin tidak diteruskan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment