Demonstrasi tuntut hak Air ditembak meriam Air
Rakyat yang berdemonstrasi untuk "Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat" akhirnya terpaksa bersurai apabila dibalas dengan tembakan gas pemedih mata dan meriam air oleh polis dan FRU. Demonstrasi anjuran kerajaan negeri Pakatan Rakyat ini berakhir dengan penangkapan kira-kira 50 orang, sungguhpun Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim berjaya menyerah memorandum ke Istana Negara.
Khalid Ibrahim akhirnya berjaya masuk ke dalam bilik tetamu Istana Negara bersama beberapa orang EXCO-nya, setelah berunding dengan polis. Dalam satu sidang media yang singkat selepas menyerahkan dua kotak dokumen kepada pihak Istana, Khalid memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah menyatakan kesudiannya untuk berunding semula dalam isu berhubung penstrukturan air, semalam.
Sementara itu, gas pemedih mata dan meriam air terus dilepaskan ke atas peserta yang enggan bersurai setelah MB bersama EXCO-nya menyerah memorandum. Mereka terpaksa melarikan diri ke dalam Masjid Negara. Pada jam 2.59 petang, polis telah masuk ke dalam perkarangan Masjid untuk menangkap kira-kira 10 orang. Malah, tiga baris anggota polis, iaitu kira-kira 150 orang berkumpul di luar masjid pada ketika itu, menunggu arahan untuk tindakan selanjutnya.
Bagaimanapun, rundingan ahli parlimen Kuala Selangor-PAS, Dzulkefly Ahmad dengan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Amar Singh pada jam 3:30 petang berhasil, apabila Amar Singh berjanji untuk membebaskan kesemua tahanan, dengan syarat peserta demonstrasi bersurai secara aman.
Sebelum ini, Perhimpunan Gagasan Anti-Penyelewengan Selangor (GAPS) yang merupakan reaksi terhadap perhimpunan ini, telah bersurai apabila penganjurnya bersetuju untuk menghantar memorandum Istana Negara dengan dua buah kereta yang diiringi polis, tengahari tadi. Kira-kira 300 orang berpakaian hitam dilaporkan berkumpul di Stadium Merdeka pada pagi ini, merancang untuk menyerah memorandum kepada Yang Di-pertuan Agung berhubung 30 perkara penyelewengan yang berlaku di Selangor.
Namun, perhimpunan "Kembalikan Hak Air kepada Rakyat" yang diteruskan itu terpaksa berdepan dengan tangkapan polis. Antaranya, ADUN Kota Damansara Nasir Hashim, dua orang pemimpin PSM iaitu Arutchelvan dan Selvarajan, jurukamera TV Selangor dan beberapa orang ahli PAS telah ditangkap, sebelum perhimpunan bermula.
Yang berikut adalah perkembangan perhimpunan:
3:40pm Perhimpunan "Kembalikan Hak Air Untuk Rakyat" bersurai.
3:30pm Ahli parlimen Kuala Selangor-PAS, Dzulkefly Ahmad berunding dengan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Amar Singh supaya membebaskan semua tahanan. Amar Singh berjanji tiada tangkapan selanjutnya dan semua tahanan sebelum ini akan dibebaskan, dengan syarat peserta bersurai. Dzulkefly Ahmad dan ahli parlimen dan Shah Alam-PAS, Khalid Samad memastikan semua peserta beredar dari masjid.
2:59pm Polis telah masuk ke dalam perkarangan Masjid untuk menangkap kira-kira 10 orang.
2:28pm Sekumpulan lagi peserta yang diketuai Tian Chua disekat di Jalan Istana, mereka bersetuju untuk berjalan menyusur Jalan Scott selepas rundingan, dan kini mereka menuju ke Masjid Negara.
2:20pm Sekumpulan peserta berarak di sepanjang Jalan Tun Sambathan, melalui Gereja Holy Rosary Church dan tiba di Jalan Istana. Kelihatan sekumpulan FRU sedang menunggu di luar Istana Negara.
2:15pm Polis menyekat Jalan Syed Putra. Peserta perarakan menggunakan jalan pintasan dari stesen KTM.
2:03pm Polis hanya membenarkan empat kereta Menteri Besar dan EXCO untuk melepasi halangan, sambil diiringi polis ke Istana Negara. Namun, gas pemedih dan meriam air dilepaskan ke arah peserta perhimpunan berdekatan dengan bangunan KTM Bhd, dan mereka melarikan diri ke dalam stesen KTM.
1:59pm Gas pemedih mula dilepaskan oleh FRU untuk menghalang perarakan rakyat ke Istana Negara.
1:55pm Kira-kira 5,000 berarak, berdepan dengan polis yang menghalang di depan bangunan KTM Bhd.
1:50pm Perarakan bermula. Pemimpin PKR Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard memimpin peserta untuk melaungkan "Daulat Tuanku".
1:40pm Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim tiba di Masjid Negara dan mula berucap.
1:38pm Pengacara perhimpunan "Bantah Kenaikan Harga dan Penswastaan Air" mengumumkan bilangan peserta sebanyak 15 ribu dan pihaknya berjaya mengumpul 250 ribu tandatangan.
1:30pm Barisan EXCO Selangor kini berbaris di Masjid Negara, menunggu ketibaan Menteri Besar Khalid Ibrahim untuk mengetuai perarakan. Wakil rakyat yang turut hadir termasuklah ahli parlimen Kapar Manikavasagam, ahli parlimen Batu Tian Chua, ADUN Rawang Gan Pei Nee, ahli parlimen Selayang William Leong, ahli parlimen Klang Charles, ADUN Batu Caves Amirudin Shari, ahli parlimen Puchong Gobind Singh.
1:00pm Sekumpulan mahasiswa tiba di Masjid Negara dan melaungkan slogan "Hidup Rakyat". Satu kain rentang "Mahasiswa bersama rakyat" digantung pada bagunan Masjid Negara. Jumlah peserta perhimpunan menghampiri 1000 orang.
12:35pm Lima orang ahli PAS telah ditangkap di Muzium Negara, menurut twitter Ketua AMK, Shamsul Iskandar.
12:15pm Kira-kira 500 orang yang berpakaian merah (Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat) berada di kawasan sekitar Masjid Negara.
12:10pm Jurukamera TV Selangor Hanafi telah ditangkap polis.
12:01pm ADUN Kota Damansara Nasir Hashim, pemimpin PSM Arutchelvan dan Selvarajan telah ditangkap polis di KL Sentral.
11:40am Polis telah membuat beberapa halangan di tempat berdekatan dengan Masjid Negara, dan Lebuhraya Persekutuan yang menuju ke arah Kuala Lumpur mula sesak.
*Wong Shu Qi ialah Wartawan Senior MerdekaReview, edisi bahasa Cina.
Sumber: Merdeka Review
No comments:
Post a Comment