Friday, December 24, 2010

Kerajaan negeri minta siasat PTDHL
Oleh Sarah Sulaiman

2010/12/20
SPRM diminta buka kertas siasatan kegiatan curi pasir di Bukit Enggang

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri akan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat mana-mana bahagian di Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat (PTDHL) yang dikhuatiri wujud amalan rasuah sehingga menyebabkan kegiatan mencuri pasir di tanah rizab perkuburan Islam di Bukit Enggang, Hulu Langat dekat sini, sukar dibendung.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari, berkata pihaknya akan menghantar surat kepada SPRM supaya dapat membuka kertas siasatan itu.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang meminta bantuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengenal pasti sempadan tanah rizab perkuburan Islam Bukit Enggang sebelum tindakan susulan diambil.
“Apabila pengusaha melombong pasir mendakwa terdapat ‘orang dalam’ PTDHL yang memberi kebenaran menjalankan kegiatan mengorek dan mengangkut pasir di kawasan itu, kita akan menghantar surat kepada SPRM supaya menjalankan siasatan bagi membantu kita menyelesaikan isu ini.

“Bagi dakwaan pencerobohan tanah rizab perkuburan Islam di Bukit Enggang, kita meminta tempoh untuk beberapa hari bagi mengkaji sempadan tanah rizab milik JAIS itu,” katanya ketika pada sidang media di sini.

Khamis lalu Sentral melaporkan penyangak pasir terus mengorek dan mengangkut pasir di tanah rizab perkuburan Islam di Bukit Enggang dekat sini, selepas seminggu dikenakan tindakan pegawai penguat kuasa PTDHL.

Tindakan pada 8 Disember lalu oleh PTDHL termasuk menyita sebuah jengkaut pengorek pasir dalam usaha menghalang penyangak terbabit meneruskan kegiatan berkenaan, tidak menakutkan mereka.
Tinjauan Sentral Selasa lalu di kawasan terbabit mendapati empat lori sedang menunggu giliran untuk mengangkut pasir manakala dua jengkaut digunakan bagi mengorek dan mengaut pasir ke dalam lori terbabit.

Yang menghairankan, walaupun kegiatan jentera pengorek pasir dan lori terbabit dapat dilihat dengan jelas, PTDHL seolah-olah membiarkannya.

Wakil akhbar ini yang cuba merakamkan gambar jentera dan lori terbabit dihalang dua lelaki dipercayai pekerja penyangak pasir di kawasan terbabit.

Tidak cukup dengan itu, seorang daripada lelaki terbabit mendakwa beliau tidak takut dengan tindakan pihak berkuasa kerana sudah mendapat kebenaran.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Mat Shuhaimi Shafie, berkata kegiatan mencuri pasir di kawasan terbabit adalah serius yang memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membanterasnya.

“Tanpa kerja sama daripada pelbagai pihak terbabit adalah agak sukar membanteras kegiatan itu, selain pekerja penyangak pasir akan memperlekehkan anggota penguat kuasaan yang melaksanakan tindakan undang-undang di kawasan itu,” katanya.

No comments: