Wednesday, December 1, 2010

Ketuanan Melayu Sama Taraf Nazi Hitler, Apartheid, Klu Klux Klan, National Front
Oleh Dzulkarnain Taib

DRSKUALA LUMPUR 1 Dis - Konsep 'Ketuanan Melayu' yang sering dilaungkan oleh pemimpin Umno kononnya untuk mempertahankan hak dan kedudukan istimewa orang Melayu sebenarnya mirip dan hampir sama dengan fahaman mengagungkan bangsa yang dipelopori oleh Hitler di Jerman, sistem Apartheid di Afrika Selatan, Klu Klux Klan di Amerika Syarikat serta National Front (Barisan Nasional atau BN) di United Kingdom.

Menurut pakar perlembagaan dan peguam terkenal, Dr Samarudin Md Rejab, Hitler cuba membawa konsep 'Ketuanan Bangsa Aryan' melalui Parti Nazi yang menganggap bangsa Jerman adalah bangsa paling agung dan mulia - 'superace'.

Fahaman ekstrem ini akhirnya menyebab berlakunya tragedi amat dahsyat yang disebut dalam sejarah sebagai 'Holocaust' apabila dipercayai lebih enam juta bangsa Yahudi di bunuh di Jerman dan seluruh Eropah atas nama 'Ketuanan Aryan' dan Nazi.

"Begitu juga dengan Kerajaan Apartheid di Afrika Selatan satu ketika dahulu dimana dasar pemerintahannya adalah berdasarkan kepada ketuanan bangsa kulit putih.

"Masyarakat yang bukan berkulit putih seperti orang Afrika berkulit hitam, India malah masyarakat Melayu (Cape Malays) mengalami nasib yang amat pedih dan menyayat hati apabila mereka disegregasi dan didiskriminasi dalam setiap sudut kehidupan seperti ekonomi, pendidikan, sosial dan politik. Mereka semua dipaksa tunduk kepada ketuanan bangsa kulit putih di negara itu.Mahukah kita orang Melayu, tidak kira rakyat biasa atau kerabat diRaja, yang bermaruah tunduk kepada gulungan ketuanan Melayu ala Apartheid dan Hitler ini?

"Hari ini konsep ketuanan ini masih wujud sebagai garis perjuangan parti politik bukan sahaja oleh Umno di Malaysia malah di UK pun ada parti sedemikian yang dinamakan 'National Front' atau Barisan Nasional UK," jelas Dr Samarudin kepada Suara Keadilan.

BN (UK) merupakan parti berhaluan kanan yang hanya dianggotai oleh rakyat kulit putih dan dianggap sebagai parti rasis malah Jabatan Penjara serta Perkhidmatan Polis UK mengharamkan kakitangannya menyertai pertubuhan politik tersebut.

Slogan BN (UK ) adalah "Kita mesti menjamin kewujudan bangsa kulit putih dan masa depan bagi anak-anak bangsa berkulit putih kita".

"Dalam setiap pilihan raya sehingga kini BN (UK) tidak mendapat kerusi dan semua calonnya juga hilang deposit.

"Ini kerana rakyat di UK dan juga institusi Raja di negara itu tidak pernah menyokong BN (UK) yang memperjuangkan ketuanan Inggeris.Mengapa pula kita diMalaysia , samaada rakyat biasa atau institusi Raja , perlu menyokong ketuanan Melayu UMNO dan BN ? Tetap tiada.Bujur lalu melintang patah!

"Malah sistem monarki di UK tidak pernah mengaitkan Raja-Raja Inggeris (English rulers) dengan BN (UK) atau dengan konsep ketuanan Inggeris," tegas beliau.

Tambah beliau, pemerintah Amerika Syarikat telah mengharamkan malah mengkategorikan sebagai organisasi teroris pertubuhan atau kumpulan politik yang memperjuangan ketuanan warna kulit atau ketuanan bangsa seperti Klu Klux Klan yang berpegang kepada prinsip ketuanan kulit putih (white supremacy).

"Sekiranya Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) adalah sebuah pertubuhan di Amerika Syarikat besar kemungkinan ia juga akan senasib dengan Klu Klux Klan," ujarnya.

Dr Samarudin membidas kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang mengkritik Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail apabila beliau rakyat 'membangkul sampahkan konsep Ketuanan Melayu' kerana ia hanya menjadi alasan segelintir kelompok elit Melayu untuk memperkayakan diri, kaum keluarga serta kroni mereka.

Sebenarnya apa yang dilaungkan oleh Dr Wan Azizah berkenaan Ketuanan Melayu dan memperjuangkan Ketuanan Rakyat adalah penentangan beliau terhadap segala yang diperjuangkan oleh Hitler, Apartheid, Klu Klux Klan dan BN (UK).

"Tindakan Nazri menggaitkan Ketuanan Melayu dengan raja-raja Melayu adalah satu tindakan yang paling biadap oleh kerana Dr Wan Azizah dan KEADILAN mempertahankan kedaulatan Raja-Raja dan kesultanan Melayu dan BUKAN melalui prinsip ketuanan atau supremasi bangsa Melayu yang diagung-agung oleh pemimpin Umno di dalam setiap perjumpaan Umno tahunan termasuk oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri yang asal usul kemelayuannya juga boleh dipertikaikan.

"Sebenarnya tahi lembu (cow dung) yang disebut berulang kali oleh Nazri tertempek dimukanya sendiri dan juga di dalam otaknya," hujah beliau.

Beliau dengan tegas menerangkan bahawa konsep 'Ketuanan Melayu' sebagai 'Ketuanan Raja-Raja Melayu' yang cuba dihebohkan oleh Nazri tidak wujud dalam mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia langsung.

"Konsep ketuanan apa bangsa pun tidak wujud di dalam perlembagaan mana-mana negara. Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pun menolak ketuanan mana-mana bangsa. Malah semasa Apartheid di Afrika Selatan PBB dan seluruh mayarakat antarabangsa mengenakan sekatan terhadap negara itu.

"Perlembagaan Malaysia pada hakikatnya berlandaskan kepada sistem demokrasi berparlimen dan bukan perlembagaan pemerintahan Nazi di bawah Hitler ataupun seperti sistem Apartheid di Afrika Selatan dimana konsep ketuanan itu dengan jelas dinyatakan di dalam perlembagaan masing-masing.

"Jadi konsep "'Ketuanan Melayu' tidak ada dalam Perlembagaan dan saya mencabar mana-mana pakar Perlembagaan Malaysia ataupun mana-mana pemimpin di Malaysia termasuk Nazri sebagai Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang yang boleh menunjukkan mana-mana perkataan, ayat atau peruntukan Perlembagaan kita berasaskan kepada 'Ketuanan Melayu'," cabar beliau lagi.

Tegasnya apa yg tercatit di dalam Perlembagaan adalah hak kewarganegaraan setiap rakyat Malaysia yang adil dan saksama tanpa mengira kaum dan bangsa.

Ini kata beliau selari dengan prinsip Islam yang berlandaskan kepada hakikat bahawa semua manusia adalah keturunan Nabi Adam (as) dan Hawa (as) yang berbilang bangsa dan kaum.

"Dalam erti kata lain konsep ketuanan atau 'superace' ini tidak ada dan tidak wujud malah konsep 'Ketuanan Melayu' pun sepatutnya tidak ada dan tidak wujud.

"Sekiranya ada pihak yang memperjuangkan dan mempertahankan konsep 'Ketuanan Melayu', golongan ini merupakan kumpulan supremasis yg melebihi batasan merupakan kumpulan perkauman yang melampaui batasan agama dan kemanusiaan sejagat.

Dr Samarudin berkata apa yang termaktub di dalam Perlembagaan telah dipersetujui oleh Pakatan Rakyat selaku gabungan parti pembangkang melalui 'Common Policy Platform' yang ditandatangani oleh ketua-ketua KEADILAN, PAS dan DAP iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Antara lain, pertama, Pakatan Rakyat bersetuju kedudukan dan martabat Raja-Raja Melayu akan dipertahankan. Kedua, Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, ketiga Islam adalah agama rasmi, keempat semua bangsa dan etnik mempunyai hak yang sama sebagai warganegara, dan kelima kedudukan istimewa orang-orang Melayu di dalam Artikel 153 hendaklah kekal.

"Oleh yang demikian hapuskanlah ketuanan mana-mana bangsa termasuk 'Ketuanan Melayu'," jelas beliau.


Sumber: Suara Keadilan

No comments: