PARTI KEADILAN RAKYAT (KEADILAN) SELANGOR AKAN MOBILISASI SERAMAI 80,000 AHLI DAN JENTERA PARTI KE BERSIH 3.0: DUDUK & BANTAH
KEADILAN Selangor memandang serius akan ketempangan yang semakin memberat sebelah dan cubaan putar belit oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) termasuk Pengerusinya baru baru ini yang mendakwa senarai pengundi negara ini sebagai yang 'terbersih' di dunia.
Sekian lama mengharap dan menunggu pembaharuan pasca BERSIH 2.0 didapati ia masih belum diselesaikan oleh SPR bahkan tindakannya semakin mengarut apabila pilihanraya semakin hampir.
KEADILAN Selangor melihat tindakan oleh SPR seperti 'Pengerusi Perhubungan UMNO negeri ke 15' dan apabila ditinjau penggubahan dan pemansuhan beberapa seksyen kritikal dalam Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 kami berpendapat bahawa SPR jelas tidak serius malah bertindak mengelirukan rakyat dalam usaha yang tidak diragukan lagi, memenangkan UMNO BN pada pilihanraya umum yang mendatang.
KEADILAN Selangor merasakan bahawa desakan lebih 80 NGO dibawah naungan BERSIH khususnya demi memastikan negeri Selangor mendapat pilihanraya yang bersih dan adil untuk rakyat Selangor tidak mungkin tercapai dengan tindakan terbaru SPR yang terkini.
Manakala UMNO dan BN dilihat sengaja menguji kesabaran dan daya juang rakyat apabila sengaja menerobosi kelulusan bil undang-undang di Parlimen tanpa mengambil peduli tempoh yang sesuai untuk memperdebatkannya. Pindaan terhadap akta tersebut dilakukan semberono, tanpa ditapisi hujahan intelek dan keputusan berdasarkan kajian, dan memperlihatkan perancangan lemah Menteri Undang-Undang Malaysia, Dato' Nazri Aziz, dalam mengurus perjalanan perdebatan bil di Parlimen.
Kami di KEADILAN Selangor, sesungguhnya dan dengan sejujurnya merasakan bahawa Rakyat Selangor perlu bangkit untuk turut serta mengambil bahagian dalam perhimpunan aman BERSIH 3.0: Duduk dan Bantah, berdasarkan hujah-hujah yang berikut:
1. Peningkatan pendaftaran undi yang mencurigakan di beberapa kawasan Parlimen dan DUN di negeri Selangor, khususnya yang diwakili wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR);
2. Pemberian kad pengenalan untuk mengundi kepada warganegara asing sepertimana yang berlaku dalam insiden di Sepang baru-baru ini adalah benar benar terjadi;
3. Pemindahan lebih daripada 31,294 bakal pengundi tanpa keizinan pengundi itu sendiri, bahkan ada yang didaftar sebagai pemilih tanpa pengetahuan mereka seperti kes yang barlaku pada individu dari Taman Sri Muda baru baru ini;
4. 42,000 pengundi ragu yang masih belum dibersihkan oleh SPR, bahkan alasan lemah dihujah bagi memesongkan minda rakyat;
5. Daftar pengundi yang masih penuh dengan senarai yang mencurigakan seperti satu alamat tetapi memiliki lebih dari 10 orang pengundi dan lebih 1000 bakal pengundi berumur 100 tahun ke atas termasuk yang lahir pada 1853;
Dan pelbagai lagi kelemahan yang telah dihantar sebagai Laporan Minoriti namun ditolak oleh UMNO dan BN di Parlimen.
KEADILAN Selangor amat kesal ribuan bantahan yang diadukan berkenaan senarai nama daftar pengundi, namun sehingga kini, masih belum dapat dilihat sebarang reaksi positif daripada SPR untuk memastikan Suruhanjaya ini dilihat bebas dan adil dari kongkongan parti pemerintah.
Ini ditambah dengan beberapa kenyataan dari Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Dato Seri Najib Razak yang telah mengistiharkan untuk BN Selangor merampas Selangor dengan "apa cara sekalipun". Kami menduga, inilah 'cara haram' yang akan digunakan!
Berdasarkan kepada penemuan-penemuan perkara jelek diatas, maka tidak salah sekiranya saya membuat telahan bahawa penipuan yang dasyat dalam daftar undi dan perjalanan proses pilihanraya merupakan salah satu cara jahat utama dan tidak beretika yang bakal dilakukan oleh UMNO dan BN demi meraih kemenangan haram.
Kejayaan pemerintahan Pakatan Rakyat Selangor dalam mencatat rizab wang negeri melebihi RM 1.9 billion dan keuntungan memberangsangkan anak-anak syarikat kerajaan negeri menjadikan negeri Selangor ini sebagai lubuk emas yang diidami oleh BN Selangor dan konco-konconya.
Setelah PR bersusah-payah mengumpulkan kekayaan untuk dinikmati rakyat, kini UMNO dan para kroni mereka 'terliur' melihat prospek kekayaan jutaan yang bakal dibolot, disonglap dan digunakan untuk kegiatan 'joli katak' dan pembelian banglo ala Bali.
Kalau dilihat pada sentimen rakyat Selangor, ternyata Pakatan Rakyat Selangor telah mendapat tempat dihati rakyat kerana kejayaan program Merakyatkan Ekonomi Selangor yang telah berjaya dimanfaatkan oleh jutaan rakyat Selangor.
Melihat kepada sejarah pilihanraya di Malaysia ini, parti yang mendapat tempat dihati rakyat belum tentu lagi akan dapat mempertahankan negeri yang dikuasai; sebagai contoh Terengganu di bawah pemerintahan PAS akhirnya kecundang kerana 'Ops Terengganu' dan 'Gelombang Biru' dalam memanipulasi pendaftaran pengundi dan perjalanan proses pilihanraya termasuk tindakan haram pemberian 'wang ehsan' kepada ejen haram kerajaan pusat bernama UMNO tanpa menghiraukan Dewan Undangan Negeri yang dinaungi Sultan Terengganu.
Adakah tindakan pada waktu itu dilihat sebagai menjunjungi kedaulatan Sultan?
KEADILAN Selangor turut juga memberikan sokongan dan solidariti bersama adik-adik Mahasiswa dan Mahasiswi di menara gading yang menuntut pemansuhan PTPTN; juga bersama bersatu hati dengan rakan-rakan pergerakan Anti-Lynas dan pergerakan Asal Bukan UMNO (ABU), ayuh kita bersama-sama berganding bahu, yang tua dengan yang muda; yang miskin mahupun yang kaya, bersama-sama ke medan perjuangan menuntut keadilan yang dilupuskan oleh UMNO dan BN!
Ahli parti dan jentera KEADILAN Selangor sedar akan hal ini, maka dengan penuh rasa tanggungjawab KEADILAN Selangor akan mengerahkan seluruh ahli parti berada di barisan hadapan mengemudi kemaraan rakyat Malaysia yang bakal turun pada 28 April ini di Dataran Merdeka.
Jesteru, seramai 80,000 anggota KEADILAN dan jentera parti dari Selangor diseru hadir ke BERSIH 3.0: Duduk & Bantah.
Sebagaimana kejayaan KEADILAN Selangor berjaya menghimpunkan hampir keseluruhan ahli parti pada himpunan aman BERSIH 2.0 dan himpunan BEBAS ANWAR 901, saya berasa amat yakin tahap disiplin dan prinsip perjuangan yang jitu akan menjadikan BERSIH 3.0 sebagai satu lagi medan kepada jentera dan ahli parti untuk berhimpun dalam menghadapi PRU 13 yang berbaki beberapa bulan sahaja lagi.
KEADILAN Selangor menyahut seruan ke arah pilihanraya yang bersih dan adil, akan menggerakkan seluruh kekuatan jentera dan ahli parti negeri ini untuk turun dengan aman bagi memastikan segala tuntutan BERSIH 3.0 akan dipenuhi oleh SPR sebelum PRU 13.
KEADILAN Selangor bertegas, jika cara aman; Duduk dan Bantah sudah tidak mahu dilayani secara adil oleh SPR, mungkin telah tiba masanya agar 'buku bertemu ruas' digunakan supaya maruah rakyat dikembalikan. Jangan sampai SPR di humban ke dalam api kemarahan rakyat di jalanraya! Waktu itu 'jalanraya' yang banyak 'mengajar pimpinan kukubesi dalam sejarah dunia' wajar dipertimbangkan sebagai pilihan akhir.
SHUHAIMI HAJI SHAFIEI
KETUA PENERANGAN KEADILAN SELANGOR /
ADUN SRI MUDA
Pejabat ADUN Sri Muda,
Pusat Khidmat Rakyat,
No 6, Tingkat 2,
Jalan Anggerik Vanilla R31/R,
40460 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.
Telefon: 03-5122 0050,
Faks: 03-5122 1550;
Pautan :-
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.