Loading...

Friday, April 27, 2012

PKR dakwa Umno Selangor berpecah

NURULFATIHA MUAH
27 April 2012
Shuhaimi Shafiei
Shuhaimi Shafiei
 
PETALING JAYA - PKR yakin bahawa Pakatan Rakyat (PR) mampu mengekalkan pemerintahan mereka di Selangor kerana pimpinan Umno di negeri ini didakwa telah berpecah kepada beberapa kelompok.

Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafiei mendakwa, Umno Selangor kini sudah tidak kuat lagi kerana beberapa bahagian parti itu didakwa ‘bermasalah’ antaranya kawasan Sabak Bernam, Selayang, Ampang, Puchong, Sepang dan Kota Raja.

Beliau berkata, masalah itu jelas sehingga menyebabkan kedudukan ‘orang nombor satu’ sebagai jentera penggerak Barisan Nasional (BN) di Selangor yang sebelum ini dipegang Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar, diserahkan kepada bekas menteri, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed.

Mengulas mengenai pandangannya berhubung keyakinan BN untuk merampas Selangor berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Shuhaimi berkata, kenyataan itu disifatkan sebagai ‘perang saraf’ untuk melemahkan pimpinan PR di negeri ini.

“Kalau Tengku Adnan yakin Selangor dalam genggaman mereka, kenapa sebelum ini beliau sendiri terpaksa turun di Ampang untuk selesaikan masalah dalaman Umno. Jika benar Selangor dalam genggaman BN, kenapa beliau perlu risau Umno bahagian yang bermasalah?,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat PKR Selangor, di sini, semalam.

Shuhaimi turut mempersoalkan asas yang digunakan Tengku Adnan sehingga meletakkan keyakinan tinggi untuk menawan Selangor, sedangkan Ahli Parlimen Putrajaya itu dikatakan tidak mempunyai bukti yang menyatakan bahawa sokongan rakyat telah kembali kepada BN.

“Saya setuju kenyataan beliau bahawa Selangor dalam genggaman mereka, namun ia merujuk kepada genggaman angin dalam tangan kerana mereka hanya punya harapan kosong. Dakwaan yang menyatakan penghijrahan sokongan rakyat kepada BN tidak berasaskan fakta,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan kepada tiga kajian sokongan yang diterima PKR antaranya daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak mempunyai kepentingan politik, Merdeka Centre, menunjukkan sokongan rakyat kepada PR adalah tinggi, iaitu kira-kira 62 peratus.

Sumber: Sinar Harian
 

No comments: