SHAH ALAM,5 APRIL: ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei mendakwa masalah
pencurian pasir di Selangor didalangi tauke dari sebuah parti komponen
gagasan Umno-BN.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persepsi yang dihebahkan sebuah
akhbar milikan parti komponen Umno-BN bahawa Kerajaan Selangor cuba
menutup masalah kecurian pasir.
“Kita ada bukti dan surat menyurat yang menunjukkan dan mengesahkan
bahawa dalang-dalang daripada parti … Mereka inilah yang menggalakkan
kecurian pasir.
“Ini adalah hakikat yang tidak boleh ditolak,” tegasnya ketika dihubungi.
Pada hari Selasa, Pejabat Daerah Hulu Langat, Jabatan Alam Sekitar
Selangor, Jabatan Parit dan Saliran, polis dan beberapa agensi lain
menyerbu sebuah operasi perlombongan pasir haram di Batu 14, Cheras.
Alat dan jentera berat operasi itu dirampas dan pondok-pondok yang didirikan di lokasi tersebut diroboh.
Akan tetapi, akhbar Bahasa Inggeris The Star melaporkan yang beberapa
ADUN Umno-BN mengkritik operasi tersebut kerana penguatkuasa tidak
menangkap seorang pun pencuri pasir yang berada di situ.
Shuhaimi hari ini menyangkal dakwaan yang Kerajaan Selangor cuba melindungi pencuri pasir.
“Kecurian pasir ini adalah jenayah, dan jangan cuba kaitkan bahawa
kerajaan negeri melindungi apa yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar
tertentu yang cuba menggambarkan wujudnya perlindungan dan kerajaan
negeri cuba menutup kes kecurian pasir itu,” katanya.