Kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Dato' Seri Noh Omar dalam Sinar Harian 23 April 2012 yang mengatakan Pakatan Rakyat takut kepada 'angin perubahan' yang kononnya sudah memihak kepada BN Selangor sebenarnya menandakan BN hampir lemas dilanda taufan tsunami kedua pada PRU 13 akan datang.
Saya sedia menerima pandangan beliau sekiranya Dato' Seri Noh Omar dapat mengukuhkan kenyataannya dengan statistik dan angka, ataupun sebarang isu berbangkit yang gagal diselesaikan oleh Pakatan Rakyat Selangor, sebaliknya yang dimegahkan adalah apabila program beliau di Taman Sentosa, dihadiri 5,000 orang.
Apakah seorang Timbalan Pengerusi BN Selangor meletakkan harapan BN Selangor hanya kerana program beliau dihadiri 5,000 hadirin? Kalau itulah dijadikan ukuran, bagaimana pula dengan puluhan ribu rakyat Selangor yang hadir memberikan sokongan padu di setiap kali program Pakatan Rakyat di seluruh Selangor diadakan? Terbaru Karnival Terima Kasih Rakyat di Kuala Selangor bersama Dato' Menteri Besar dihadiri lebih 50,000 rakyat! Rakan media boleh mengesahkan angkanya.
Jelas ungkapan beliau menunjukkan akan kegagalan beliau mengemudi jentera BN Selangor dan saya amat bersimpata, akibat beberapa kelemahan kepimpinannya, Setiausaha UMNO Selangor Dato' Ir Zin Mohamed pula yang diberi tugas dan tanggungjawab untuk menjadi koordinator BN Selangor. Apakan Pengerusi Perhubungan Negeri UMNO Selangor, Dato Seri Najib Razak lebih percayakan prestasi kerja Dato' Ir Zin Mohamed yang jauh lebih baik berbanding Noh Omar yang dikenali lebih suka bercakap dari buat kerja? Sayang sekali oleh kerana Dato' Zin 'lebih lajak dari laju' maka stesen Keretapi Tanah Melayu yang merupakan tempat awam pun dipenuhi bendera BN. Suhu prestasi BN yang cuba dinaikkan oleh Dato' Zin menurun akibat salah perkiraan!
Saya tidak mahu membuat telahan dalam masalah politik dalaman BN Selangor yang kian meruncing, cuma saya hanya ingin berpesan kepada Noh Omar bahawa angin perubahan yang melanda pada PRU 12 dahulu saya yakin telah bertiup lebih kencang menjelang PRU 13 ini. Cuma angin perubahan itu bakal mengundang taufan tsunami kedua buat BN Selangor yang masih dilihat gagal dan terkial-kial mencari rentak untuk memenangi hati dan minda rakyat Selangor.
Pendedahan pengambilan tanah secara rakus dan salah guna kuasa semasa UMNO memerintah di Tg Karang, Puchong mahupun Kota Raja telah melenyapkan terus keyakinan rakyat pada BN Selangor. Langkah sumbang BN memperalatkan 'samseng belia' bertopengkan NGO menyerang secara ganas bagi menakutkan rakyat seperti berlaku di Jalan Kebun, Pelabuhan Klang, Ampang dan yang terbaru di Dataran Merdeka adalah tektik lapok yang sudah ketinggalan zaman. Tektik itu sama seperti dilakukan Pemuda UMNO di zaman 'Gerak Gempur' dahulu.
Negara di masa hadapan di bentuk dengan penyertaan anak muda yang bijaksana, bukan ditentukan oleh anak muda higusan yang berlagak samseng di taja BN.
Suka untuk saya ingatkan pada Noh Omar, agar dapat menumpukan perhatian di kawasan beliau di Tanjong Karang kerana melihat gerak kerja Pakatan Rakyat Selangor di Tanjong Karang semalam, tidak mustahil kita akan ada Menteri dari Selangor yang terpaksa dilantik menjadi Senator terlebih dahulu - itupun jika Putrajaya bernasib baik tidak di badai tsunami dari Selangor.
Angin perubahan yang Noh Omar dan BN harapkan berlaku di Selangor, rupanya ribut taufan melenyapkan terus BN di Putrajaya.
SHUHAIMI HAJI SHAFIEI
KETUA PENERANGAN KEADILAN SELANGOR /
ADUN SRI MUDA
ADUN SRI MUDA
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment