Kebangkitan rakyat yang benar-benar menjiwai semangat 'Merdeka' pada perhimpunan gergasi ini menyaksikan lebih dari 300,000 rakyat Malaysia bersatu tanpa mengira kaum dan latar belakang, adalah sesuatu yang amat dibanggakan. ini menunjukkan tahap sokongan rakyat yang sangat tinggi kepada agenda pilihanraya adil dan bersih supaya segala tuntutan kepada SPR dan pemerintah yang menguasai SPR dipenuhi segera.
Saya ingin memetik sabda Nabi Muhammad Rasulullah SAW yang mafhumnya: "Jihad yang paling afdhal ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim" HR Tirmizi no. 2174, Abu Daud no. 4344 dan Al-Nasa'ie no. 7834) dinilai Sahih oleh Imam Nasiruddin al-Albani.
Dan;
Rasulullah SAW juga bersabda: "Penghulu orang-orang yang mati syahid ialah Hamzah bin Abdul Muttalib dan juga seorang pemuda yang bangkit menegur dan menasihati pemerintah yang zalim, sehingga ia dibunuh oleh pemerintah tersebut". (HR Al-Hakim, no. 4884)
Saya juga ingin sebutkan apa yang pernah di ucap oleh Mantan Presiden yang ke-16 Amerika Syarikat, Abraham Lincoln berkata: "To sin by silence when they should protest makes cowards of men" atau "Dosa mendiamkan diri apabila perlu membantah menjadikan manusia itu dayus".
Dan;
Martin Luther King Junior pula pernah menyatakan: "The hottest part of hell is reserved for those who are neutral in times of moral decay" atau "Bahagian neraka yang paling panas adalah diluangkan untuk mereka yang bersifat tidak berpihak dikala runtuh nilai moral".
Kemungkinan besar intipati kesemua petikan diatas inilah telah menggerakkan hati dan anggota rakyat yang sedar akan kezaliman UMNO/BN agar turut sama berjihad memerangi mereka yang munafik dan mengampu.
Pemberian skim rasuah seperti BR1M, KR1M dan yang sewaktu dengannya tidak berfungsi malah berita keganasan pada perhimpunan BERSIH 2.0 tidak melunturkan semangat Rakyat yang mahukan kebebasan, keadilan dan kesaksamaan dalam ertikata yang sebenarnya.
KEADILAN Selangor berbangga dengan tahap disiplin peserta dan penyokong BERSIH 3.0 yang dengan jelas dan nyata menghormati keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang apabila dapat berhimpun aman bermula seawal malam 27hb hinggalah ke akhir perhimpunan pada 28hb April 2012.
Cuma yang dikesalkan adalah tindakan PDRM dalam menangani peserta perhimpunan aman ini yang bukan sahaja dihadiri oleh warga tua, malah anak-anak kecil dengan tindakan pengecut dan bacul membedil gas pemedih mata dan menembak air kimia ke arah mereka; mirip benar seperti yang dilakukan polis / tentera negara haram Israel.
Tembakan gas rambang yang tidak disasarkan ke udara, malah ditujukan agak mendatar terus ke arah para demonstran, menyaksikan ratusan kecederaan, yang malangnya tidak mahu dimuatkan dalam berita arus perdana. Tindakan pengecut ini telah menerima ulasan negatif daripada BBC, apabila siarannya ditapis dan keluhan Rakyat dibuang begitu sahaja.
Apa sebenarnya yang mahu disembunyikan oleh UMNO/BN/PDRM? Apakah Rakyat harus mendengar hanya cerita berat sebelah? Apakah UMNO/BN masih tidak mempelajari kesilapan lampau?
Apakah PDRM tidak sedar bahawa dalam kalangan peserta demonstrasi itu merupakan warga tua, golongan wanita dan anak-anak kecil? Apakah sudah tidak ada timbang rasa mengguna akal yang dikurnia Tuhan untuk berfikir sebelum bertindak semberono? Kalau dalam etika perang pun perkara yang dilakukan oleh PDRM semalam boleh dianggap keterlaluan dan zalim. Malah wakil antarabangsa yang dijemput Parlimen Malaysia termasuk daripada Pakistan dan Australia menganggap Malaysia 'jumud' dan 'keterbelakang' apabila melihat gerak gaya UMNO/BN dan media massa.
Segala paparan yang cuba ditonjolkan oleh media milik UMNO yang kononnya peserta BERSIH bertindak ganas tidak lain hanyalah satu provokasi yang dipercayai dimulakan sendiri oleh ejen provokator upahan yang dengan jelas bukan cerminan utama keseluruhan ratusan ribu peserta BERSIH lain yang berdisiplin tinggi dan menghormati undang-undang. Perlu diingatkan bahawa perhimpunan berlalu aman sehingga detik-detik akhir. Apakah PDRM menerima arahan terdesak diakhir perhimpunan apabila sedar Rakyat tidak memakan umpan? Atau sememangnya telah 'diarah' agar peserta 'masuk perangkap'?
Saya sendiri mendapat maklumat di awal pagi 28hb April bahawa terdapat beberapa trak PDRM yang membawa 'rakyat awam' ke dalam kawasan perhimpunan. Siapa dia 'rakyat awam' ini ? Adakah satu taktik biasa yang diguna sewaktu Reformasi 1998 dahulu yang dengan jelas menggunakan Special Branch (SB) warisan zaman colonial British sebagai provokator untuk mencetus huru-hara dan menyalahkan rakyat awam yang berhimpun aman?. Hasil pemantauan seluruh ahli KEADILAN Selangor yang turut bersama rakyat pada perhimpunan BERSIH 3.0 telah menghantar laporan bahawa kebanyakan provokator yang mencetus huru-hara tersebut bertindak di luar kebiasaan peserta BERSIH 3.0 yang lain.
Kezaliman yang dilakukan oleh PDRM dalam BERSIH 2.0 rupanya diteruskan juga pada BERSIH 3.0 kalaupun Menteri Dalam Negeri sudah mengisyaratkan agar PDRM dapat bertindak sewajarnya berlandas kepada peraturan. Maka saya tidak hairan kalau ada anak muda bangun melawan kezaliman ini demi menyatakan rasa marah kepada tindakan semberono PDRM yang mengakibatkan ramai peserta perhimpunan aman ini cedera dipukul dan memangsakan peserta warga tua, wanita dan anak-anak kecil sepertimana yang berlaku di kawasan Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman apabila kenderaan Polis memecut kononnya untuk menakutkan para demonstran.
KEADILAN Selangor juga sedang dan akan terus menganalisa segala video dan gambar daripada pelbagai sumber untuk membuktikan kepada Rakyat bahawa BERSIH 3.0 adalah aman. Namun, 'amarah rakyat' dilihat sudah tidak dapat dibendung lagi. Sudah sampai masanya apabila kezaliman dan keganasan PDRM terhadap rakyat Malaysia berleluasa dan dibela oleh sang penguasa, rakyat PASTI menghukum UMNO/BN dalam PRU 13 yang akan datang.
Najib Razak dan UMNO Barisan Nasional seharusnya berjiwa besar untuk memenuhi tuntutan BERSIH 3.0 kerana apa guna kemenangan pilihanraya oleh UMNO Barisan Nasional kalau rakyat Malaysia tahu bahawa itu adalah kemenangan yang haram dan menipu!
Sekali lagi KEADILAN Selangor ingin mengucapkan setinggi-tinggi TAHNIAH dan SYABAS kepada para Pejuang Rakyat, terutama mereka yang ditahan di PULAPOL. Ucapan tahniah juga kepada mereka yang dipukul, disepak, dilontar gas pemedih mata, kerana air mata dan mengalirnya darahmu itu adalah penyaksian kepada Tuhan bahawa saudara/saudari telah melaksanakan AMANAH memperjuangkan nasib Rakyat yang tidak berupaya membela nasib diri.
Analisa awal KEADILAN Selangor menunjukkan adanya campurtangan berlebihan dan terancang ejen provokasi UMNO / BN / PDRM dalam himpinan kali ini. Sesungguhnya kebenaran akhirnya akan tiba dan bersabar hingga ia memunculkan dirinya. Ketika itu sudah terlambat bagi UMNO / BN / PDRM dan mereka yang bersekongkol dengan kezaliman untuk memohon maaf. Kuasa rakyat, kuasa keramat!
SHUHAIMI HAJI SHAFIEI
KETUA PENERANGAN KEADILAN SELANGOR /
AHLI MPP KEADILAN PUSAT /
ADUN SRI MUDA
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment