321 views
SHAH ALAM 7 MEI : Bagi berjuta-juta ibu seperti perkerja kantin Umi
Kalsum Harun, tekanan kos hidup yang semakin meningkat menjadi
kekuatiran yang terpaksa dihadapi setiap bulan dengan suami.
Akan tetapi beban mereka diringankan apabila mereka dipilih untuk
menyertai program Skim Bantuan Asuhan Rakyat (Sikembar) Kerajaan
Selangor.
Umi Kalsum, 36, adalah antara peserta pertama ke dalam program
Sikembar yang memperuntukan RM100 bagi menghantar seorang anak ke Taska
yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Suami bekerja di kilang. Kami mempunyai tiga orang anak. Gaji kami
tidak banyak dan dalam masa yang sama kami sibuk bekerja jadi memang
akan menghantar anak ke taska.
“Jadi bantuan ini sekurang-kurangnya meringankan beban perbelanjaan
yang kami tanggung,” katanya yang merupakan ibu kepada Mohd Izuan
Shafiq, sembilan bulan yang menerima bantuan itu.
Setiap kanak-kanak dari keluarga yang layak akan menerima RM100
setiap bulan untuk kos menghantar anak ke Taska. Duit itu akan dibayar
terus kepada Taska yang terbabit di dalam program itu di Selangor.
Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi,
Rodziah Ismail berkata sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk bantuan itu
bagi tahun ini.
Katanya, kerajaan negeri menyasarkan seramai 2,500 anak-anak akan menerima manfaat itu untuk tahun pertama.
“Kerajaan negeri dengan kerjasama JKM sedang giat mengenal pasti
tempat penjagaan sama ada berbentuk di rumah atau institusi yang
berdaftar.
“Kami akan mengemas kini lesen mereka bagi mengenal pasti taska yang layak menyertai program ini
“Dalam masa yang sama taska terbabit dapat menambah pendapatan mereka
sekiranya ramai anak-anak yang mendapat bantuan ini untuk dihantar ke
taska itu,” katanya selepas Majlis Pelancaran program itu di sini
semalam.
Tambah Rodziah, bantuan itu diberikan kepada tiga kategori iaitu
ibubapa yang berpendapatan rendah, ibu tunggal dan bapa tunggal yang
bekerja.
“Bagi pendapatan rendah, ia melibatkan RM1,500 ke bawah yang
menanggung satu hingga tiga orang anak, RM2,500 ke bawah yang menanggung
empat hingga lima orang anak serta RM3,000 ke bawah yang menanggung
anak melebihi enam orang,” katanya.
Setiap keluarga terhad kepada dua orang anak yang berumur bawah 4 tahun 11 bulan.
Setakat ini, sebanyak 25,000 keluarga dikenal pasti layak menerima skim bantuan itu.
Diharapkan program bantuan itu dapat menolong mengeluarkan keluarga dari paras kemiskinan.
seorang lagi penerima, Abadi Mohd Said, 30, berkata beliau bersyukur
menjadi rakyat Selangor kerana kerajaan negeri menyediakan banyak
bantuan bagi meringankan bebannya.
Walaupun anaknya, Muhammad Adam Haikal, lima bulan, merupakan anak
pertama, tetapi beban kewangan yang ditanggung beliau dan isteri juga
dirasai berikutan kos hidup yang semakin tinggi.
“Dengan adanya bantuan ini sedikit sebanyak membantu keluarga saya,” kata pembantu tadbir itu ketika ditemui.
No comments:
Post a Comment