Apabila terdesak maka Umno beralih kepada kepakaran sebenar
mereka iaitu mencipta fitnah.
PETALING JAYA: PKR mengutuk keras tindakan terbaru Umno
dan para pengendali laman-laman blog upahan mereka yang menjadikan Timbalan
Presiden Mohamed Azmin Ali sebagai mangsa fitnah mereka.
Setiausaha Agung Dato’ Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR menggesa
Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak tampil mengambil tanggungjawab dan
tidak lagi bersikap ‘baling batu sembunyi tangan’.
“Hakikat bahawa media kawalan Umno seperti Utusan Malaysia dan TV3 yang
begitu bernafsu menyambung fitnah terhadap Azmin sekadar mengesahkan peranan
Najib yang memberikan laluan lampu hijau.
“Budaya politik kotor yang di luar batas adab dan akhlaq ini sewajarnya
dihentikan,” kata Ahli Parlimen Machang dalam satu kenyataan media hari ini.
Ujar beliau, budaya fitnah ini amat jauh dari pendekatan wasatiyyah yang
dilaungkan oleh Najib dalam pemaknaan dan pengertian dididik dan diteladankan
oleh Nabi Muhamad saw melalui rentetan sirah.
“Apabila Umno terdesak menghadapi kebangkitan dan penolakan rakyat terhadap
mereka sepertimana peristiwa Bersih 3.0 maka Umno,
beralih kepada kepakaran sebenar mereka iaitu mencipta fitnah,” jelasnya.
Rakyat mampu beza hak dan batil
Saifuddin menerangkan bahawa harapan Umno agar rakyat dapat melupakan
perbuatan ganas polis ke atas rakyat, SPR yang terus memanipulasikan pilihanraya
dan propaganda media kawalan Umno yang membuta tuli mempertahankan fitnah dan
kezaliman mereka.
“PKR lantas mengajak rakyat mengambil pengajaran daripada peristiwa fitnah
yang menimpa isteri kesayangan Nabi Muhamad saw Ummul Mukminin Aisyah ra yang
difitnah berbuat jahat dengan seorang sahabat yang terkenal wara’ dan
kebaikannya.
“Peristiwa ini mendedahkan peranan golongan munafik yang mencipta dan menjaja
fitnah ini. Golongan ini wajib ditolak dan ditentang habis-habisan.
“Peristiwa ini juga memberi pengajaran bahawa membanteras perbuatan fitnah
menjadi tugas dan kewajipan sesama Muslim demi melindungi dan memelihara maruah
saudara seagama,” tegas beliau.
Justeru itu katanya, PKR mengajak rakyat seluruhnya menolak dan meninggalkan
Umno yang terus mengamalkan politik fitnah pada Pilihan Raya Umum ke 13
nanti.
“Rakyat semakin matang dan jika Umno beranggapan mereka terus boleh kekal
berkuasa dengan politik fitnah ini ternyata Umno silap besar. Rakyat mampu
membezakan di antara haq-batil, adil-zalim dan mahmudah-mazmumah,” ujar
beliau.
No comments:
Post a Comment