Saturday, May 12, 2012

Ibu Bapa DUN Seri Muda dan Sri Andalas Ucap Terima Kasih




KLANG, 12 MEI : Bekerja sendiri dan mempunyai tanggungan anak yang ramai, Mohd Noh Atam, 43, bantuan RM100 kepada anaknya memberi faedah yang cukup besar kepada diri serta keluarganya.

Penerima ‘Bonus Selangorku’ ini ternyata gembira kerana kerajaan negeri prihatin dan peka terhadap beban yang ditanggung rakyat dengan menyediakan pelbagai program bermanfaat.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya dapat membeli barang-barang keperluan anak memandangkan pendapatan saya tidak menentu,” katanya yang tinggal di Jalan Kebun, Klang.

Beliau dan hampir 145 penerima ‘Bonus Selangorku’ dibawah Fasa Ketiga Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) menerima baucer RM100 untuk membeli barang keperluan anak di Pasaraya Econsave, Kampung Jawa hari ini.

Skim TAWAS bermula tiga tahun lalu dan kerajaan negeri memperuntukkan RM7.5 juta di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk diagihkan kepada semua rakyat.

Dibawah TAWAS, Kerajaan Selangor menghadiahkan tabung simpanan RM100 bagi anak yang baru lahir di negeri ini dan apabila berusia 18 tahun, anak-anak ini berpeluang menerima RM1,500 seorang hasil daripada pelaburan tersebut.

Seorang lagi penerima, Zulhisham Mohd Ramli, 45, berkata Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran baru ini terbukti lebih baik kerana dengan peningkatan simpanan negeri dan rakyat turut mendapat faedahnya.

“Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana hasil negeri yang banyak dipulangkan semula kepada rakyat untuk menikmatinya,” katanya ketika ditemui disini hari ini.

Bonus Selangorku merupakan satu lagi usaha kerajaan negeri berkongsi hasil negeri untuk rakyat, pemberian bonus ini sebagai ganjaran kepada anak-anak yang didaftarkan oleh ibu bapa masing-masing dalam skim TAWAS sejak dilahirkan selepas Mac 2008.

Turut menemankan peserta ialah Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud

No comments: