SHAH ALAM 1 Mei: Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei
kesal tindakan zalim polis terhadap peserta perhimpunan Bersih 3.0
‘Duduk Bantah’ 28 April lalu.
“Dikesalkan tindakan PDRM (Polis Diraja Malaysia) dalam menangani
peserta perhimpunan yang bukan sahaja dihadiri warga tua, malah
anak-anak kecil dengan tindakan pengecut dan bacul membedil gas pemedih
mata dan menembak air kimia ke arah mereka; mirip benar seperti
dilakukan polis Israel.
“Kezaliman PDRM dalam Bersih 2.0 rupanya diteruskan juga pada Bersih
3.0 walaupun Menteri Dalam Negeri sudah mengisyaratkan agar PDRM dapat
bertindak sewajarnya berlandas kepada peraturan,” katanya pada
kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Beliau berkata demikian mengulas insiden keganasan polis ke atas peserta dan golongan media.
Shuhaimi berkata, tindakan polis itu sama sekali tidak mengikut
prosedur bahkan sengaja bertindak zalim kepada peserta membuktikan
negara masih dijajah Umno.
“Tembakan gas rambang yang tidak disasarkan ke udara, malah ditujukan
agak mendatar terus ke arah para demonstran, menyaksikan ratusan
kecederaan, yang malangnya tidak mahu dimuatkan dalam berita arus
perdana.
“Kalau dalam etika perang pun perkara yang dilakukan PDRM boleh
dianggap keterlaluan dan zalim. Malah wakil antarabangsa yang dijemput
Parlimen Malaysia termasuk daripada Pakistan dan Australia menganggap
Malaysia ‘jumud’ dan ‘keterbelakang’ apabila melihat gerak gaya Umno
BN,” ujarnya.
Justeru itu, katanya KEADILAN Selangor akan menganalisa video dan
gambar Bersih 3.0 bagi membuktikan kepada awam bahawa dakwaan polis
mengatakan peserta bertindak liar adalah tidak benar.
“KEADILAN Selangor sedang dan akan terus menganalisa segala video dan
gambar daripada pelbagai sumber untuk membuktikan kepada rakyat bahawa
Bersih 3.0 adalah aman.
“Namun, ‘amarah rakyat’ dilihat sudah tidak dapat dibendung lagi.
Sudah sampai masanya apabila kezaliman dan keganasan PDRM terhadap
rakyat Malaysia berleluasa dan dibela oleh sang penguasa, rakyat pasti
menghukum Umno BN dalam PRU 13 akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment