488 views
SHAH ALAM 13 MEI : Hampir 300 rakyat berkumpul di Tol Batu Tiga dan
Sungai Rasau di sini bagi menyertai demonstrasi mendesak Kerajaan Pusat
menghapuskan kedua-dua tol terbabit.
Demonstrasi aman anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor itu
mencuri tumpuan pengguna lebuh raya itu apabila mereka membunyikan hon
sebagai tanda sokongan dan mengambil pelekat kereta dengan slogan
‘Hapuskan Tol Demi Rakyat’.
Peserta demonstrasi juga membawa kain rentang bertulis ‘Hapuskan Tol
Baru Betul’, ‘Hapuskan Tol Demi Rakyat’ selain laungan ‘Hidup Rakyat’,
‘Hapuskan tol’, ‘Undi Pakatan Rakyat Tak Bayar Tol’, dan ‘Undi BN Bayar
Tol’.
“Kami dapat simpulkan kehadiran rakyat berbilang kaum pada hari ini
sebagai gerakan rakyat secara bersepadu untuk bersama-sama mendesak
Kerajaan Pusat berhenti dari terus membebankan rakyat.
“Sedangkan pulangan modal yang sepatutunya mereka perolehi sudahpun
mereka dapatkan lama dulu,” jelas Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd
Atkin.
Turut hadir Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei dan Ketua
AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri dan MP Shah Alam Khalid Samad di Tol
Batu Tiga di sini.
Sementara di plaza tol Sg Rasau, pemimpin Pakatan Selangor dan
kira-kira 100 individu turut mengadakan sebuah lagi demonstrasi bagi
tujuan yang sama.
Kumpulan itu turut dipimpin Exco Selangor Ronnie Liu dan Dr. Yaakob
Sapari, Kapar MP S. Manikavasagam dan ADUN Kota Alam Shah M. Manoharan.
Khalid berkata kedua-dua tol tersebut sepatutnya sudah lama dihapuskan.
”Laluan ini memang sudah lama wujud dan mereka (syarikat konsesi) sekadar melebarkannya daripada dua ke enam lorong.
“Pengguna pula terus dikenakan bayaran sehingga ke hari ini selepas kira-kira dua puluh tahun kutipan tol dimulakan.
“Mengambil kira kenderaan yang semakin banyak, sehari sahaja PLUS
(Projek Lebuhraya Usahasama Berhad) mampu mengutip ratusan ribu.
Bayangkanlah untuk beberapa tahun ini, memang inilah paling mengarut
sekali,” jelasnya sewaktu ditemubual TVSelangor.
Salah seorang peserta demonstrasi mencuri tumpuan apabila beliau
mengangkat palang di satu lorong plaza tol Batu Tiga menyebabkan
beberapa kenderaan melepasinya tanpa perlu membuat bayaran.
Bagaimanapun, Dr Xavier yang berada di situ segera mengarahkan palang
tersebut diturunkan dan beliau berjanji untuk membayar ganti rugi yang
ditanggung pihak PLUS.
No comments:
Post a Comment