Monday, May 21, 2012

PRU 13: Pakatan Rakyat umum calon Jun – Azmin



KUALA LUMPUR 21 Mei: Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali menjangkakan Pakatan Rakyat (PR) bakal mengumumkan pengagihan kerusi dan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) awal bulan depan.

Menurutnya, PR akan menampilkan ramai muka baru dalam kalangan anak muda, namun calon yang mempunyai pimpinan akar umbi tidak diketepikan.

“(Pengumuman akan dibuat) minggu pertama Jun, saya kira, kita boleh membuat satu ketetapan tentang pengagihan kerusi dalam PR, saya cukup optimistik. Pengumuman calon kita tengok suasana sesuai. Parti akan menonjolkan muka baru dalam kalangan anak muda, profesional dan wanita muda untuk mewakili parti.

“Ini dalam proses akhir, yang penting kita mahu anak muda hari ini diberikan tempat dan ruang untuk mewakili rakyat dalam menggubal dasar sama ada di peringkat Parlimen atau negeri.

“Ini satu penghormatan dan pengiktirafan kita kepada anak muda untuk menentukan negara dan negeri,” katanya dipetik Sinar Harian pada sidang media selepas pelancaran Sistem Menang Pilihan Raya (SISMEP3.0) & Penyerahan Bahan Kempen PRU13 Peringkat Negeri Selangor, semalam.

Azmin berkata, Selangor adalah negeri pertama dimuktamadkan pembahagian kerusi bersama anggota PR.

“Satu mesyuarat PR khusus mengenai pembahagian kerusi beberapa hari lalu diadakan, jumlah yang bertindih terlalu kecil. Boleh dikatakan setiap negeri ada satu atau dua kerusi sahaja yang perlu diselesaikan. Ini satu pencapaian cukup positif.

“Saya gembira kerana dukungan pimpinan PR, kita dapat selesaikan dengan cara muafakat,” katanya dipetik.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dilapor berkata, senarai calon PR hanya akan didedahkan pada masa sesuai untuk mengelak perbalahan antara penyokong.
Menurutnya, keputusan mengenai calon dibuat oleh Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat dan selepas itu, Presiden atau Ketua Parti berkenaan akan menandatangani surat watikah untuk bertanding.

“Biasanya adalah penting bagi perkara ini (nama calon) dirahsiakan sehingga masa ditentukan kemudian supaya tidak terdapat perbalahan antara penyokong mereka yang disenarai dan tidak disenaraikan.

“Tradisi ini bukan sahaja untuk menentukan pilihn raya dapat dibuat dengan betul, tetapi satu strategi yang baik supaya tidak ada berlaku perselisihan antara beberapa pihak,” katanya.




No comments: