Monday, October 4, 2010

Apabila Muhyiddin 'Tersungkur...'

Apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melabelkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat kepada kaum Melayu, malah melakukan dosa kering, tidak pula beliau memikirkan isu sopan santun atau azab membuat tuduhan liar semata-mata kerana mencari sokongan politik.

Begitu juga dengan pelbagai label yang dilemparkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad terhadap Anwar, pemimpin-pemimpin PAS serta DAP ketika beliau menerajui negara dan selepas “bersara’ dari politik.

Justeru, ramai orang akan tersenyum diri apabila Muhyiddin tiba-tiba bercakap mengenai nilai akhlak dengan mengkritik Azmin kerana menyifatkan Tun Mahathir sebagai pemimpin yang tersungkur di Australia. (Mahathir dimasukan di Hospital di Melbourne kerana jangkitan paru-paru).

Azmin membuat komen itu ketika menegaskan beliau akan menentang Perkasa , yang didokong kuat oleh Mahathir, kerana pertubuhan bukan kerajaan itu mengamalkan politik perkauman sempit.

Muhyiddin tentunya tahun bahawa perkataan tersungkur itu tidaklah mempunyai konotasi yang buruk seperti pengkhianat atau pun pengamal dosa kering.

Namun beliau merasa terpanggil untuk mengkritik Azmin kerana Mahathir telah banyak berjasa kepada negara.

Rekod Tun Mahathir akan sentiasa membawa tafsiran yang berlainan.

Beliau dilihat sebagai negarawan oleh sesetengah pihak.

Tidak kurang pula akan merujuk kepada pemerintahan beliau sebagai era di mana rasuah, kronisme dan penyelewengan kuasa berleluasa.

Apa pun, komen Azmin selaku naib presiden Parti Keadilan Rakyat hanyalah adalah dalam konteks komitmen beliau untuk menentang politik Perkasa yang disokong oleh Mahathir.

Pemimpin-pemimpin Umno seperti Muhyiddin tidak boleh terlaku pantas membuat tuduhan terhadap Azmin tanpa memeriksa diri mereka.

"Kita dalam politik, kita mesti ada nilai moral dan akhlak dan sebagai manusia kita juga mesti hormat menghormati,” kata Muhyiddin ketika “menasihati” Azmin.

Ke mana agaknya nilai moral dan akhlak Muhyiddin apabila beliau melabelkan pihak lain sebagai pengkhianat bangsa dan melakukan dosa kering semata-mata kerana mempunyai perbezaan politik dengan Anwar.

Mungkin Muhyiddin sendiri yang tersungkur, lalu beliau alpa atas keperluan pemimpin untuk muhasabah mengenai sopan santun diri sebelum menunding jari kepada pihak lain.

(Coretan Radzi Razak)

No comments: