PKR : Tiada bantahan calon presiden, timbalan dan naib | |||
|
Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR tidak menerima sebarang bantahan terhadap calon yang bertanding jawatan presiden, timbalan, naib presiden serta Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Ibu pejabat parti menetapkan 18 hingga 20 Oktober untuk menerima bantahan terhadap calon-calon yang akan bertanding dalam pemilihan PKR mulai hujung bulan ini. JPP juga tidak menerima sebarang bantahan bagi calon-calon jawatan dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK). Hanya satu bantahan diterima bagi pemilihan Wanita, iaitu terhadap seorang calon yang bertanding untuk Majlis Pimpinan Wanita Pusat. Timbalan setiausaha agung PKR, Sharifah Shahidah Syed Kamarulzaman (atas, kanan) berkata calon berkenaan didakwa berkempen dengan "mengutuk calon" yang bertanding. "Saya tidak mahu mendedahkan identitinya. Kita sedang menyiasat bantahan ini kalau ada asasnya," katanya ketika dihubungi Malayskini petang ini. Manakala empat orang lagi menarik daripada bertanding jawatan dalam MPP, termasuk ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah yang akan mempertahankan jawatan naib presiden. Tiga lagi yang menarik ialah timbalan pengerusi PKR Selangor, Syed Shahir Syed Mohamud; bekas pemimpin Hindraf, K Vashanta Kumar dan calon Ketua Wanita Animah Ferrar. Sharifah Shahidah berkata selepas tempoh bantahan tamat semalam, secara rasminya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (atas, kiri) mengekalkan jawatan presiden tanpa bertanding. Bagi jawatan timbalan presiden pula, ia akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara dua naib presiden - Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub - serta penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim. Penyandang jawatan ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin pula akan dicabar oleh ahli MPP, Badrul Hisham Shaharin Jawatan timbalan ketua AMK pula bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara ketua AMK Selangor Khairul Anuar Ahmad Zainudin dengan ADUN Teja, Chang Lih Kang. Manakala sebelas calon akan bertanding tiga jawatan naib ketua AMK. Penyandang jawatan ketua Wanita, Zuraidah Kamaruddin yang juga ahli parlimen Ampang, akan dicabar oleh dua calon - Animah Ferrar dan Suraya Sudin. Manakala penyandang jawatan timbalan ketua Wanita, Rodziah Ismail yang juga exco kerajaan Selangor akan dicabar oleh Asmah Abdul Kadir. Sembilan calon akan bertanding merebut tiga jawatan naib ketua Wanita. Mereka termasuk ADUN Rawang, Gan Pei Nei dan timbalan speaker DUN Selangor, Haniza Talha. Sementara itu, Sharifah Shahidah berkata, senarai muktamad calon-calon yang bertanding akan dikeluarkan pada Ahad ini. Sumber: Malaysiakini | |||
No comments:
Post a Comment