Tuesday, October 19, 2010

Sri Muda Kini Berubah Wajah

Sunday, 10 October 2010 | Ruangan: Berita

Oleh: Nur Diyana Nawwar Ibrahim

SHAH ALAM,10 OKT: Dahulunya daerah ini hampir menjadi kawasan “padang jarak padang tekukur” gara –gara banyak masalah yang timbul di kawasan ini. Gengsterisme yang melampau, pendatang asing ,dan isu infrastruktur inilah yang sering mengecewakan penduduk Sri Muda.

Kini, Sri Muda dalam tempoh dua tahun setengah dibawah pimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat(Adun) Shuhaimi Shafie menunjukkan perubahan yang ketara berbanding kerajaan terdahulu.

Menurut Shuhaimi apa yang dicapai hari ini adalah sebagai bukti beliau mengotakan janji kepada rakyat yang mahu membawa perubahan semasa memenangi kawasan ini.

“Banyak kemajuan yang kita capai contohnya terbaru akan ada projek pembinaan masjid di Sri Muda dengan kos sebanyak RM5 juta di mana kita jangka akan siap dalam tempoh satu tahun setengah.

“Tidak terkecuali juga dengan isu yang lama kita juangkan iaitu membina sebuah pasar moden di kawasan ini juga hampir terlaksana,” katanya.

Malah Sri Muda juga menjadi tumpuan ramai pengusaha bengkel kereta menjalankan perniagaan disini sehingga ia menjadi lokasi popular bagi industri ini.

Beliau juga tidak menafikan kerjasama yang diberikan pihak berkuasa tempatan dan juga polis memainkan peranan penting menyelesaikan isu yang terdapat di Sri Muda.

Bagaimanapun Shuhaimi agak kesal dengan sikap sesetengah agensi yang masih bersifat berat sebelah hanya kerana pentadbiran pakatan rakyat.

“Biasanya apabila aduan dibuat kepada agensi atau jabatan yang berkaitan penyelengaraan infrastruktur dan juga sampah tindakannya agak lambat. Jika sikap ini berterusan tidak mustahil kelak rakyat akan meletakkan kesalahan kepada kerajaan negeri padahal mereka ini acuh tidak acuh semasa kita buat aduan atas dasar fahaman politik berbeza,” katanya.

Sementara itu bagi penduduk Sri Muda Gopala Krishnan, 33, mengakui Sri Muda melalui perbezaan ketara semasa pemerintahan dahulu dan sekarang.

Menurutnya, sebagai penduduk amat berpuas hati dengan isu keselamatan yang semakin terkawal dan menyifatkan kawasan tersebut semakin harmoni.

“Dulu kita nak keluar rumah pun takut, takkan duduk di restoran saja-saja dan tidak ada siapa pun mahu tinggal di sini kerana risau mengenai keselamatan mereka namun semua itu berubah, memang kejadian jenayah di sini banyak berkurangan dan dari segi ekonomi pun sudah berkembang,” katanya.


Selangorkini

No comments: