Friday, October 29, 2010

Peruntukan Pembangunan Luar Bandar Dijangka Meningkat

Wednesday, 27 October 2010 | Ruangan: Berita

Oleh MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

SHAH ALAM, 27 Okt- Kerajaan Negeri Selangor bercadang menambah peruntukan pembangunan luar bandar di seluruh daerah negeri ini berjumlah RM8 hingga RM10 juta dalam belanjawan negeri akan datang.

Menurut Pembantu Exco Pembangunan Luar Bandar Selangor, Shuhaimi Shafie, usaha ini bertujuan menampung kos penyelenggaraan dan projek pembangunan kecil di setiap
daerah yang semakin meningkat.

“Kerajaan negeri berikan setiap daerah peruntukan pembangunan kecil, walaupun jumlahnya tidak banyak, tetapi sekurang-kurangnya dapat memulakan kerja-kerja baik pulih kawasan-kawasan yang bermasalah, seperti banjir,” kata Shuhaimi.

Shuhaimi bercakap pada Program Turun Padang Lawatan Wakil Menteri Besar Selangor bersama Penghulu, Ketua Kampung dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah dan Tanah Klang hari ini.

Katanya, pada masa ini setiap daerah di Selangor hanya diperuntukkan RM600,000 setahun.

Dengan penambahan peruntukan ini, segala aduan dan rungutan penduduk setempat dapat diatasi segera, sekali gus memenuhi tahap kepuasan perkhidmatan, khususnya penduduk luar bandar.

“Harapan kita, peruntukan ini sedikit banyak dapat membantu menyelesaikan masalah yang dikemukan ketua kampung, sekali gus meringankan beban mereka,” kayanya.

No comments: