Wednesday, July 20, 2011

19 Julai, 2011 17:11 PM

Kes Hasutan ADUN Sri Muda Disebut Semula 8 Ogos

SHAH ALAM, 19 Julai (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 8 Ogos depan untuk sebutan semula kes Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang didakwa menerbitkan artikel mengandungi ayat-ayat menghasut membabitkan Sultan Selangor di laman blognya pada 30 Dis tahun lepas.

Hakim Slamat Yahya pada Selasa menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam V. Jeya Kumar yang mewakili Shuhaimi, 43.

Timbalan Pendakwa Raya Dalira Din mewakili pihak pendakwaan sementara Amalina Abdul Rashid hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Terdahulu, Jeya Kumar memohon kes itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan Shuhaimi untuk menggugurkan pertuduhan ke atasnya di Mahkamah Tinggi di sini.

"Sepatutnya pendengaran kes di Mahkamah Tinggi telah ditetapkan pada 13 Julai lepas tetapi tarikh itu telah dilapangkan oleh Mahkamah Tinggi dan tarikh baru untuk pendengaran permohonan ditetapkan pada 21 Julai ini (Khamis).

Justeru kami pohon supaya kes ini ditangguh untuk tunggu keputusan permohonan di Mahkamah Tinggi, katanya.

Dalira pula berkata pihaknya mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes itu, Ishak Mohd Yusoff supaya mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada dua atau tiga minggu selepas 21 Julai.

Slamat kemudian menetapkan 8 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pada 7 Feb lepas, Shuhaimi mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerbitkan artikel bertajuk 'pandangan saya berasaskan undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor 1959' di laman blognya http://srimuda.blogspot.com yang didakwa mengandungi ayat-ayat yang menghasut.

Adun dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pusat Khidmat Rakyat, 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Kota Kemuning di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Pada 1 April lepas, Shuhaimi memfailkan notis usul di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini bagi mengenepikan pertuduhan terhadapnya atas alasan Akta Hasutan 1948 adalah tidak sah kerana bercanggah dengan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan.

Adun itu yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Raja mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan di blognya yang didakwa telah mempertikai keputusan Sultan Selangor memperkenan pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) yang baru.

-- BERNAMA

No comments: