Friday, July 22, 2011

21 Julai, 2011 18:51 PM

Pendengaran Permohonan Adun Sri Muda Ketepikan Dakwaan Menghasut Ditunda 11 Ogos

SHAH ALAM, 21 Julai (Bernama) -- Pendengaran permohonan Anggota Dewan Undangan Negeri Sri Muda Shuhaimi Shafiei di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengenepikan pertuduhan ke atasnya di bawah Akta Hasutan 1948 ditunda kepada 11 Ogos ini.

Hakim Nor Azian Shaari menangguhkan pendengaran yang sepatutnya bermula hari ini dan meminta pihak pemohon supaya memperkemaskan notis usul permohonan mereka sebelum pendengaran diteruskan.

Pada prosiding hari ini peguam pemohon, Edmund Bon berkata anak guamnya memohon supaya Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 diisytiharkan sebagai tidak selari dengan Artikel 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bercakap dan bersuara kepada warganegara.

Selain daripada itu Shuhaimi memohon supaya pertuduhan ke atasnya mengikut Akta Hasutan itu digugurkan.

Nor Azian berkata:"Kamu boleh memfailkannya tapi adakah ia wajar, kamu memohon untuk mengisytiharkan sesetengah undang-undang itu sebagai tidak sah."



Permohonan sedemikian seharusnya meletakkan permohonan pemohon untuk menggugurkan dakwaan ke atasnya yang difailkan pada 1 April lepas sebagai teras permohonannya dan diikuti dengan fakta sokongan yang berkaitan Seksyen 4 Akta Hasutan dan Artikel 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan, kata Nor Azian.

Pada 7 Februari lepas, Shuhaimi mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menerbitkan artikel bertajuk "Pandangan saya berasaskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959" yang dikatakan mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web http://srimuda.blogspot.com di Pusat Khidmat Rakyat, 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Kota Kemuning di sini, 30 Disember lepas.

Shuhaimi didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Raja mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan di blognya yang dikatakan mempertikai keputusan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) yang baru.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwaraya Mohd Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusoff.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding itu, Ishak berkata penangguhan pendengaran itu bagi memberikan masa kepada pemohon untuk meminda notis usulnya.

-- BERNAMA

No comments: