Tuesday, November 29, 2011

Penyelenggaraan Jalan dan Parit sekitar Dun Sri Muda

Kini penduduk di sekitar Jalan Kebun dan Kampung Johan Setia boleh menarik nafas lega apabila masalah jalan rosak disekitar kampung terbabit telah diatasi.


Rata-rata penduduk kampung itu yang ditemui berpuas hati dengan kerja-kerja pembaikan semula laluan tersebut yang dijalankan bermula awal bulan ini.


Kerja-kerja tersebut merangkumi kerja penurapan jalan dan penyeleggaraan parit yang disalurkan menggunakan peruntukan MARRIS melalui Dun dan PBT terlibat.



Wakil pejabat Adun Sdr Azwan sedang memerhati kerja-kerja penurapan

Sebelum ini, beberapa batang jalan di Kampung Jalan Kebun dibawah seliaan MBSA juga telah diselenggara. Antaranya Lorong Abdullah, Lorong Abdul Aziz, Lorong Haji Said di Kampung Jalan Kebun dan di Lorong Hj Muhidin dan beberapa lorong lagi di Kampung Bukit Naga.

Sementara itu, beberapa lagi projek bakal menyusul.

Monday, November 28, 2011

Ah Kau curi tumpuan
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 28, 2011
Tan Ah Kau

JOHOR BAHRU - Dewan Kongres Nasional Tahunan Keadilan Ke-8 bertempat di Pulai Springs Resort, dekat sini, semalam gamat dengan perbahasan pertama daripada wakil PKR Selangor, Tan Ah Kau.

Meraih tepukan gemuruh daripada pimpinan tertinggi, perwakilan, pemerhati bebas serta pengamal media, topik perbahasan Ah Kau bertajuk ‘Reformasi Pendidikan’ ternyata berjaya menyampaikan mesej tersirat dan tersurat.

Lagak bersahaja Ah Kau disulami ‘lawak sinis’ ketika menyampaikan perbahasan lebih 30 minit, tidak kurang hebatnya seperti seorang ‘Yang Berhormat’ sebenarnya lebih menjurus kepada pemikiran pembangkang terhadap pendidikan anak bangsa.

Ucapan perbahasannya tidak hanya mencuit kepada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) Negara, malah turut mengupas Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.

Di awal bicaranya, Ah Kau mensarankan setiap pimpinan dan perwakilan yang hadir supaya menghayati semangat ‘Hijrah’ bersempena sambutan Awal Muharam.

“Hayatilah semangat Maal Hijrah. Ia bukan soal berpindah semata-mata, tetapi kita beralih dari keadaan tidak adil kepada suasana lebih selesa.

“Menjadi hasrat kita untuk berhijrah ke Putrajaya dan ia perlu direalisasikan hasil daripada kerja kuat memperjuangkan agenda rakyat. Ini kerana PR tidak pernah mengorbankan kepentingan awam,” katanya.

Ah Kau berkata, pakatan pembangkang juga dicadangkan merangka PIPP negara baru yang lebih memberi tumpuan kepada pendidikan.

“Sedar atau tidak, anak bangsa pada hari ini, sering sahaja dijadikan ‘tikus putih’ bagi menjalankan kajian khususnya bidang pendidikan.

“Lihat sahaja soal pelaksanaan PPSMI sebelum ini. Kini, isu Auku pula hangat dibicarakan dan mangsanya adalah pelajar-pelajar. Jadi, saya mencadangkan agar satu PIPP Negara baru dirangka oleh PR,” katanya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Dasar di Selangor bakal diteruskan di Johor- Khalid Ibrahim

(Oleh: Masdar Wahid)



JOHOR BAHRU 27 Nov: Segala dasar yang diamal pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor akan dilaksana di Johor jika negeri itu ditawan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Berucap di Kongres KEADILAN Nasional ke 8 hari ini, Khalid berkata, reformasi yang dilaksana di Selangor terbukti berkesan dan memanfaatkan rakyat negeri itu.

Menurut Khalid, antara perkara pertama yang bakal dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat ialah menyelesaikan masalah air di Johor yang masih tertangguh sehingga kini.

“Sebelum berucap saya sudah periksa sekali lagi isu air di Johor dan didapati ia masih tidak diaudit dan ini antara punca mengapa masalah air di Johor sehingga kini tidak selesai.

“Jika Pakatan berjaya perintah, kita mampu menyelesai masalah ini dalam masa dua tahun, insyaallah,” katanya menggulung perbahasan menyokong ucapan dasar Presiden hari ini.

Beliau dalam pada itu memaklumkan kerajaan Selangor akan mengadakan forum bagi membincang Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang disalahgunakan Umno-BN.

“Malaysia negara kaya, tetapi mengapa masih ada rakyat miskin, kerana Umno gagal menguruskan kekayaan ekonomi negara dengan baik,” tegasnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=23676

Sunday, November 27, 2011

Kongres Nasional KEADILAN: Ucapan Dasar Timbalan Presiden

MALAYSIA TANPA UMNO



MUKADIMAH

Alhamdulillah, kita dapat berhimpun pada pagi ini dengan satu tekad untuk meneruskan agenda perubahan. Kongres tahun ini bukan sahaja merupakan acara tahunan tetapi merupakan perhimpunan yang terpenting untuk menyemak persediaan kita menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13. Ianya menjadi lebih bermakna apabila kongres ini diadakan di negeri Johor sebagai isyarat bahawa KEADILAN sudah bersedia untuk menembusi negeri yang suatu ketika dahulu merupakan fixed deposit UMNO.

Saya gembira dan berbangga kerana berada di kalangan anak muda yang berani, yang mempunyai hati dan kecekalan seperti Arjuna. Anak muda yang memiliki jiwa dan semangat perjuangan yang sentiasa bergelora seperti ‘anak jantan’.

Apa tanda (si) anak jantan?
Matinya di tengah gelanggang
Tidurnya di puncak gelombang
Makannya di tebing panjang
Langkahnya menghentam bumi

Pilihan Raya Umum ke 13 adalah sebuah medan pertempuran yang paling dashyat. Inilah medan Kuru Setre seperti yang disebut dalam Mahabrata. Pilihan Raya ini adalah penentu masa depan rakyat dan negara Malaysia. KEADILAN perlu siap siaga untuk mengambil alih tanggungjawab memimpin rakyat menuju Malaysia Baru.

Ini kerana, Pilihan Raya ini adalah Pilihan Raya untuk menyelamatkan rakyat.

Mengimbau kembali sejarah lebih sedekad lalu, ketika hampir setiap minggu rakyat berhimpun di tengah kota Kuala Lumpur. Gerakan Reformasi September 1998 adalah wahana untuk memenuhi amanah dan cita-cita murni rakyat. Reformasi yang kita laungkan ketika itu, bukanlah sekadar menumbuk langit, tetapi dengan semangat juang dan cita-cita murni untuk mengembalikan keadilan kepada rakyat dan membangunkan semula institusi kenegaraan yang telah dirosakkan oleh pemimpin UMNO yang durjana dan rakus. Daripada iltizam dan cita-cita murni kebangkitan rakyat ini telah lahir Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya mengambil pendirian politik yang progresif untuk bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan muncul sebagai sebuah parti keramat yang bernama Parti Keadilan Rakyat.

Dalam kekalutan lanskap politik negara yang berada di bawah hegemoni UMNO, politik perkauman sempit menjadi tembok untuk menghalang agenda reformasi daripada mendapat tempat dalam masyarakat. Rakyat disogok dengan pelbagai propaganda jahat untuk mencetuskan rasa takut dan curiga dalam masyarakat majmuk sehingga mereka takut untuk berubah. Meskipun rakyat Malaysia mahukan perubahan, namun mereka tetap terpasung dalam ketakutan dan kebimbangan bahawa kaum mereka tidak lagi akan mendapat keistimewaan.

Ketika masyarakat terus bergulat dengan ketakutan ini, KEADILAN telah meletakkan tanda noktah untuk menjadi sebuah parti politik yang bukan hanya mewakili satu-satu kaum, tetapi merentasi semua kaum dan keturunan yang ada di Malaysia. Slogan ‘Keadilan Untuk Semua’, ‘Ketuanan Rakyat’ dan ‘Demi Rakyat’ adalah cerminan kepada perjuangan yang dibawa, untuk menyelamatkan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama serta kedudukan sosio ekonomi.

Sebagai anggota dan pendukung KEADILAN, kita harus menginsafi betapa murninya perjuangan refomasi untuk mengembalikan hak serta keadilan kepada semua rakyat. Asas perjuangan ini telah dipasak ke bumi Malaysia dalam Deklarasi Permatang Pauh yang menyatakan tekad rakyat yang berbilang bangsa dan agama untuk melancarkan gerakan reformasi total.

Alhamdulillah kita bersyukur, perjuangan yang bersandarkan keyakinan yang tinggi bahawa kebenaran pastinya akan menang, telah menempa kejayaan dengan kemenangan lima buah negeri dalam Pilihan Raya Umum ke 12. Lebih bermakna lagi apabila terbentuknya muafakat Pakatan Rakyat yang sebelumnya dikenal sebagai Barisan Alternatif. Setelah Pilihan Raya Umum 2008, Pakatan Rakyat turut menang 9 daripada 16 Pilihan Raya Kecil yang diadakan. Rakyat Sarawak turut menyambut gelora perubahan ini dengan melakar lanskap politik baru Sarawak. Rakyat Sarawak di pedalaman tidak ketinggalan dalam agenda reformasi.

Mereka memberi kemenangan bermakna kepada KEADILAN di Ba’ Kelalan, Krian dan Batu Lintang. Hari ini, masyarakat FELDA juga telah bangkit bersama KEADILAN menyatakan keberanian mereka menentang penyelewengan yang berlaku secara terang-terangan. Ini membuktikan bahawa momentum perubahan berterusan dan masih bertiup kencang dari Perlis hingga ke Sabah.

Namun bukan hanya kejayaan itu yang harus kita banggakan. Lebih bermakna lagi apabila perjuangan gerakan reformasi dan KEADILAN sebagai sebuah gerakan dan parti politik pelbagai kaum berjaya mendapat tempat dalam hati rakyat. Ini sekaligus mengubah lanskap politik Malaysia daripada politik yang bersandarkan kepada kotak perkauman yang sempit kepada keterbukaan politik demi kemaslahatan seluruh rakyat Malaysia.

Inilah wajah baru politik Malaysia dalam sejarah dunia moden yang dipelopori oleh KEADILAN sebagai aspirasi seluruh rakyat Malaysia. Malaysia kini menuju ke arah pembentukan sistem dua parti. Melalui sistem ini rakyat akan mengalami anjakan paradigma dalam membuat penilaian politik dengan lebih rasional dan berasaskan maklumat. Justeru itu, sebarang usaha dari parti serpihan termasuk yang ditaja UMNO untuk menggugat demokrasi pastinya akan tersungkur dan ditolak oleh rakyat. Rakyat mesti menolak mereka kerana mereka bersekongkol dengan musuh demokrasi. Mereka ini tidak lebih dari kembiri politik.

Tsunami politik yang berlaku mencerminkan keazaman dan iltizam politik rakyat melakukan perubahan. Rakyat yang idealis daripada pelbagai kaum dan susun lapis hidup telah bangkit menolak diktator, perasuah dan penyalahgunaan kuasa yang telah bermaharajalela lebih 50 tahun. Kebobrokan politik UMNO sudah tidak dapat dibendung lagi, kerakusan mereka mengagihkan kekayaan rakyat kepada keluarga dan kroni memperlihatkan sikap zalim, tamak haloba, angkuh dan
tidak bertanggungjawab mereka kepada rakyat yang dipimpin.

Sekali lagi kita bersyukur kerana muafakat politik yang dibentuk melalui Pakatan Rakyat telah menjadi alternatif kepada pilihan rakyat untuk melaksanakan perubahan.

MALAYSIA TANPA UMNO

Kepercayaan bahawa hanya UMNO yang boleh membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat sebenarnya telah dimitoskan lebih daripada separuh abad. Hari ini, KEADILAN sudah bersedia untuk menerajui gerakan rakyat untuk memecahkan mitos ini. KEADILAN akan menerajui Malaysia tanpa UMNO.

Rakyat Malaysia mahukan perubahan. Anggota KEADILAN terutamanya Angkatan Muda dan Wanita menyedari bahawa parti ini adalah sebuah parti reformasi. Parti yang mahukan perubahan demi kemaslahatan rakyat. Parti yang mahu memenuhi aspirasi rakyat untuk melaksanakan keadilan sejagat.

Sudah tiada lagi harapan rakyat yang boleh disandarkan kepada UMNO. Tidak ada lagi alasan rasional yang boleh mempertahankan kerakusan serta pengkhianatan UMNO kepada rakyat. UMNO bukan sahaja sudah hilang idealisme perjuangan, tetapi juga sudah muflis nilai serta bankrup moral untuk mempertahankan hak dan
kepentingan rakyat.

Apakah perjuangan UMNO yang dibawa untuk membela nasib masyarakat Melayu dan rakyat pada hari ini? UMNO yang dikenal khususnya oleh generasi muda hari ini adalah sebuah parti tua yang anti demokrasi, anti intelektual, anti hak asasi manusia, anti pekerja, sarat dengan politik fitnah dan membudayakan rasuah. Malah UMNO pada hari ini juga anti Melayu. Sasterawan Negara Usman Awang pernah mengingatkan kita:

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun…

Apakah UMNO masih membawa pekerti Melayu seperti yang dinukilkan oleh Usman Awang? Jawapannya pasti tidak. Perjuangan UMNO pada hari ini hanyalah perjuangan untuk membela tembolok kerabat dan bukannya rakyat. Budaya politik UMNO pada hari ini adalah berteraskan politik maki hamun, cerca dan fitnah.

Peribadi Melayu yang diwariskan oleh UMNO pada hari ini adalah watak Melayu yang tidak boleh dipertahankan lagi. Malah UMNO lah yang telah membunuh ciri-ciri kemelayuan yang dianjurkan oleh Islam. Layakkah perjuangan yang menjulang perasuah dan menghalalkan fitnah digelar sebagai perjuangan Islam? Layakkah perjuangan UMNO yang sehingga kini tidak dapat menjelaskan ke mana lesapnya saham milik Melayu-Bumiputra bernilai RM 52 bilion dijulang sebagai perjuangan mempertahan ketuanan Melayu?

Sewajarnya kupasan Profesor Syed Muhammad Naquib al Attas dalam syarahan pengukuhannya “Islam dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu” diteliti dan ditelaah. Islam hadir ke rantau ini meniup nafas segar ke dalam ruh umat Melayu. Islam menjadi pendorong kepada orang Melayu untuk menjadi umat yang berakhlak tinggi,berhemah dan berilmu. Gerakan Islam bermula dengan kebangkitan literasi.

Syed Muhammad Naquib menyanggah tesis Van Leur dan Schrieke. Kedua-dua sarjana tersebut menganggap Islam sekadar membentuk lapisan nipis dalam sejarah dan kebudayaan orang Melayu. Walhal, Islam bagai cahaya yang menerangi rantau ini, membentuk tingkah laku, cara hidup dan weltanschauung (pandang dunia/worldview
) kita. Hadirnya Islam bagai “Habis Gelap Terbitlah Terang.” (meminjam judul buku Raden Adjeng Kartini)

Akan tetapi, sekarang ini, memerhati dengan teliti budaya politik yang dipelopori UMNO, maka tidak hairanlah mereka seolah-olah membenarkan tesis Van Leur dan Schrieke. Fitnah, angkuh, zalim dan rasuah menjadi sebahagian dari jasad dan ruh UMNO. UMNO kini menjadi teras kepada politik gelap.

Makanya KEADILAN sebagai wahana perjuangan murni yang mendapat dukungan generasi muda tidak boleh tergelincir dari landasan memajukan kepada khalayak budaya politik baru yang mencerahkan, berhikmah dan membebaskan. Cabaran ini semakin mendesak kerana UMNO telah menyuburkan jiwa perhambaan melalui neofeudalisme dan gagal membina jiwa merdeka.

Lihat sahaja dalam isu National Feedlot Corporation (NFC). RM 250 juta yang diperuntukkan untuk mengurangkan kebergantungan impot bahan makanan telah disalahgunakan untuk membeli kondominium mewah. Sehingga hari ini Menteri yang berkenaan masih lagi berkuasa, malah mendapat kekebalan dari Timbalan Presiden Umno. Di mana ‘Ketuanan Melayu’ yang laungkan jika hak rakyat dirampas dan diagihkan kepada Menteri untuk keluarga dan kerabat.

Rakyat miskin dibiarkan merempat sementara institusi negara meneruskan pembelaan kepada kerabat Umno yang rasuah dan melakukan penyelewengan.

Begitu juga dengan soal pengurusan ekonomi dan perbelanjaan negara yang tidak berhemah. Tatakelola yang tidak disiplin dan amanah menyebabkan rakyat diheret untuk berhadapan dengan hutang negara yang sudah melewati RM 1 trilion termasuk hutang isi rumah. Jumlah ini mewakili 53% daripada Keluaran Dalam Negara ekonomi UMNO yang cuai, tidak cekap serta ketirisan.

Umno juga mempertahankan undang-undang kuku besi yang mencabuli hak asasi manusia untuk menjamin kelangsungan kekuasaan mereka. Hak asasi yang dijamin oleh perlembagaan sebagai the supreme law of the land dicabul serta dipasung dengan kekuasaan. UMNO tidak punya iltizam politik untuk melakukan perubahan melainkan sekadar retorika politik.

Ternyata ‘transformasi politik’ Umno gagal. Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sempena Hari Malaysia. Tetapi kerajaan tetap meneruskan penahanan di bawah akta zalim ini. Dua minggu yang lalu, 13 orang ditahan di Sabah di bawah ISA. Tambah parah lagi apabila kerajaan mengumumkan bahawa akta yang akan digubal untuk menggantikan ISA tetap menggunapakai elemen tahan tanpa bicara yang bertentangan dengan fundamental liberties.

Kini, kita dilemparkan dengan Akta Perhimpunan Aman yang dibentangkan di Parlimen. Akta yang jelas bertentangan dengan hak untuk berhimpun yang dijamin oleh Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan. Jelas, ruang demokrasi semakin disempitkan oleh tirani tua yang semakin nazak.

Begitu juga dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Seksyen 15 (5) (a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Malangnya pemimpin UMNO meremehkan keputusan ini dan berkeras menafikan hak asasi mahasiswa.

Sistem pendidikan negara diambang keruntuhan. Bagaimana tradisi ilmu dapat berkembang dengan kondusif dan subur sedang kebebasan akademik para mahasiswa dan pensyarah dinafikan. Tambah malang lagi apabila mahasiswa dan pensyarah ditekan daripada berkata benar untuk menyampaikan ilmu.

(Dia lah yang menciptakan manusia. Dia lah yang telah membolehkan manusia [bertutur] memberi dan
menerima kenyataan)

Ayat ke 4 surah Ar Rahman ini mengungkapkan anugerah Allah SWT kepada manusia. Esensi kemuliaan insan, atau Jawhar al Insanniyyah itu antaranya kekuatan pengungkapan, hak untuk menyampaikan dan menyatakan kebenaran. Oleh kerana itu kemahuan pemerintah untuk membelenggu hak kebebasan rakyat untuk bersuara bukan hanya bercanggah dengan Perlembagaan tetapi juga bercanggah dengan pesan al Quran.

Jika UMNO dibiarkan terus kekal berkuasa maka generasi muda sebagai harapan kepada masa depan negara tidak akan muncul sebagai generasi yang berwibawa dan unggul dalam sebuah negara moden.

Inilah realiti Malaysia pada hari ini. Perdana Menteri memperdayakan rakyat dengan pemberian palsu. Di mana nilai seorang pemimpin negara jika tidak boleh berpegang kepada janjinya. Sedangkan pepatah Melayu menyebut lembu dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya.

Dari tuan pergi-pergi,
Eloklah menebang buluh bambu,
Dari pegang kata Perdana Menteri,
Lebih baik pegang tali lembu.

KEADILAN sebagai parti yang sentiasa memperjuangkan nasib rakyat harus menggalas tanggungjawab dan harapan rakyat seluruhnya untuk mempunyai kehidupan baru yang jauh lebih baik di negara sendiri.

KEADILAN dan Pakatan Rakyat telah membuktikan keunggulannya mentadbir beberapa buah negeri. Pentadbiran yang berteraskan disiplin dan amanah menjamin keharmonian dan kesejahteraan seluruh rakyat. Kekayaan dari penghasilan negeri telah diagih kepada seluruh rakyat tanpa sebarang prasangka dan diskriminasi untuk memastikan hak rakyat dikembalikan kepada mereka. Prinsip KEADILAN jelas. Khazanah negeri adalah hak rakyat dan bukan kurniaan Sang
Penguasa.

Ketua Audit Negara mengesahkan bahawa prestasi ekonomi di negeri-negeri Pakatan Rakyat adalah baik. Analisis Audit melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa kedudukan Wang Tunai Negeri Selangor yang merupakan aset Kerajaan Negeri menunjukkan peningkatan yang ketara pada tahun 2010 berjumlah RM 301.07 juta (48.8%) menjadi RM 918.27 juta berbanding RM 617.20 juta pada tahun 2009. Peningkatan baki Wang Tunai pada akhir tahun 2010 adalah disebabkan jumlah penerimaan iaitu RM 1,753.44 juta adalah lebih tinggi berbanding pembayaran berjumlah RM 1,452.37 juta iaitu lebihan sejumlah RM 301.07 juta memandangkan Kerajaan Negeri telah berjaya menurunkan perbelanjaan mengurus sebanyak 24.9% berbanding tahun 2009.

Kerajaan Negeri Selangor juga membuat bayaran balik sejumlah RM 253.16 juta termasuk anuiti tahun semasa RM 79.70 juta. Ini bermakna Kerajaan Negeri membayar pinjaman prinsipal berjumlah RM 173 juta.

Pengurangan hutang secara mendadak sebanyak RM173.46 juta ini sudah tentu akan menghasilkan penjimatan kepada rakyat dan mengurangkan beban hutang rakyat dengan Kerajaan Persekutuan kerana caj anuiti tahunan berjumlah RM 17 juta dalam tahun 2011 dapat dijimatkan.

KEADILAN dan Pakatan Rakyat tuntas memperjuangkan hak rakyat. Buku Jingga adalah bukti dokumen Pakatan Rakyat untuk memartabatkan rakyat dalam bidang sosio ekonomi. Inilah keyakinan rakyat bahawa KEADILAN mempunyai keupayaan untuk menerajui Malaysia tanpa UMNO.

ANAK MUDA PENERAJU DEMOKRASI TULEN

Pilihan Raya Umum ke 13 adalah demi rakyat. Generasi muda mempunyai tanggungjawab besar untuk melakar sebuah negara yang demokratik. Maka, Angkatan Muda dan Wanita harus menggembleng usaha dan kekuatan untuk memastikan agenda reformasi berjaya. Perjuangan cita-cita murni rakyat untuk melakukan perubahan harus diterajui oleh KEADILAN. Pakatan Rakyat berikrar untuk bersama-sama rakyat demi merealisasikan cita-cita murni ini.

Kita harus menjadi peneraju kepada cita-cita murni rakyat untuk membentuk sebuah negara madani yang demokratik. Reinhold Niebuhr menyebut: “Man’s capacity
for justice makes democracy possible; but man’s inclination to injustice makes democracy necessary.” (Kemampuan manusia untuk berlaku adil menjadikan
demokrasi itu satu kemungkinan, tetapi kecenderungan manusia kepada kejahatan menjadi demokrasi itu satu kewajiban).

Ungkapan ini disebut oleh beliau dalam bukunya ‘Children of light and children of darkness’. Siapakah ‘children of light’ dan siapa pula ‘children of darkness’? ‘Children of light’ atau anak-anak pencerahan ini adalah anak muda dan wanita di hadapan saya yang berjuang untuk demokrasi, hak asasi dan berjuang untuk menegakkan keadilan sejagat. Anak-anak kegelapan atau ‘children of darkness’ adalah UMNO yang anti kepada demokrasi, anti kepada kebebasan, anti kepada keadilan sejagat dan bersekongkol untuk meneruskan hegemoni yang mencengkam kehidupan rakyat.

Justeru saya menyeru Angkatan Muda dan Wanita merangkul bakat serta potensi generasi muda yang mahu bersama kita. Kita wajar meneladani Liu Bei yang tajam mengesan bakat Zhuge Liang. Zhuge Liang menyertai perjuangan Liu Bei sedangkan umurnya baru sekitar 20 an. Oleh itu, Angkatan Muda dan Wanita perlu menyediakan ruang untuk bakat ini berperanan dengan lebih berkesan. Terbukti dalam kisah Zhuge Liang tadi, beliau tiada tandingannya sebagai strategis
biarpun dalam usia yang muda. Pimpinan Angkatan Muda dan Wanita perlu menelaah karya besar San Guo Yan Yik (Kisah Tiga Negara).

Saya telah menerima senarai cadangan calon-calon yang dikemukakan oleh Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Wanita dan Angkatan Muda. Saya berasa amat gembira kerana anak-anak muda diberikan kepercayaan untuk ditampilkan sebagai calon. Saya akan mengangkat perkara ini kepada Presiden dan Biro Politik supaya anak muda dan wanita diberikan peranan penting dalam Pilihan Raya Umum ke 13.

Usaha terdesak Perdana Menteri UMNO yang mengisytiharkan “perang cyber” terhadap KEADILAN dan Pakatan Rakyat dengan melancarkan Konvensyen Media Sosial menunjukkan keterdesakan pemerintah untuk meraih sokongan anak muda.

Usaha terbaru ini hanya memperlihatkan kepada kita kedangkalan Perdana Menteri dan penasihat medianya. Mereka gagal menanggapi lanskap media sosial dan mengapa anak muda tuntas menggunakan wahana ini untuk menyuarakan pendirian mereka. Warga media sosial tidak mahu diperalat untuk politik fitnah dan maki hamun.

Kekuatan berfikir, keteguhan imaginasi dan sikap kritis warga media sosial perlu diraikan. Mereka bersama gelombang reformasi semata-mata mahu memastikan Malaysia yang lebih baik untuk semua. Mereka sedar rakyat dan negara ini berhak kepada yang lebih baik. Maka tidak hairanlah warga media sosial begitu bersemangat menyuarakan pendirian mereka kerana di situlah mereka bebas bersuara mengkritik kebejatan yang berleluasa.

Justeru, KEADILAN harus bersedia untuk menjadi sebuah parti hati nurani rakyat. Dengan cita-cita luhur untuk membangunkan sebuah negara yang demokratik, kita harus melaksanakannya dengan memberi pemahaman serta menjalankan kegiatan advokasi melalui penubuhan yayasan-yayasan politik untuk membangunkan demokrasi dalam negara. Paling membanggakan apabila Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif awal dengan memperuntukkan geran sebanyak RM 5 juta untuk program pengukuhan demokrasi.

Kita perlu membawa agenda yang lebih besar untuk membangunkan nilai demokrasi di Asia. Generasi muda harus lebih peka. Dunia kini, kita dilanda gelombang pendemokrasian sejagat. Ini bermakna masyarakat sejagat sudah mengambil pendirian untuk tidak lagi berkompromi dengan musuh demokrasi. Kita perlu mengubah dasar luar negara yang bersikap non-intervention kepada Dasar Pembangunan Demokrasi Asia. Inilah iltizam KEADILAN atas keyakinan kita bahawa perjuangan demokrasi adalah perjuangan untuk memartabatkan kemuliaan insan.

PENDIDIKAN SEBAGAI AGEN PENCERAHAN

Ronggowarsito, pujangga besar Keraton Jawa dan anak didik Pesantren Ponorogo pernah meramalkan akan tiba suatu zaman yang dikenali sebagai zaman edan; zaman kegilaan. Edan atau zaman kekalutan ini diungkapkan pujangga besar Jawa itu dalam kumpulan syairnya yang dikenali sebagai Serat Kalathida.

51. Beginilah bunyinya bait ke tujuh Serat Kalathida yang dinukil Ronggowarsito:

Amenangi jaman édan,
éwuhaya ing pambudi,
mélu ngédan nora tahan,
yén tan mélu anglakoni,
boya kéduman mélik,
kaliren wekasanipun

Menyaksikan zaman gila,
serba susah dalam bertindak,
ikut gila tidak akan tahan,
tapi kalau tidak mengikuti (gila),
bagaimana akan mendapatkan bagian,
kelaparan pada akhirnya

Sudah hampir dua abad ramalan itu dinukil Ronggowarsito. Kini kita menyaksikannya sendiri bagaimana kegilaan dan kekalutan menguasai zaman kita. Kita menyaksikan bagaimana keadilan cuba dibungkam dan kezaliman dijulang dan diagungkan.

Kita lihat bagaimana yang memperjuangkan kebenaran difitnah dan dinista manakala para pendusta diangkat sebagai wira. Yang lebih malangnya buat negara dan bangsa ini, kita menyaksikan bagaimana “mediocrity” berleluasa. Mediocre dan philistinism membudaya dan mengakar dalam masyarakat. Inilah bukti kita hidup di zaman edan, zaman kegilaan.

Walaubagaimanapun kita harus sedar, “mediocrity” atau “Ke-laihan” ini tidaklah muncul secara tiba-tiba. Kekalutan dan kegilaan lah yang membenarkan “Ke-laihan” ini. Sebagaimana yang disampaikan kepada kita oleh Ronggowarsito, “ikut gila tidak akan tahan, tapi kalau tidak mengikuti (gila), bagaimana akan mendapatkan bagian,” sesungguhnya tepat memperihalkan muslihat, tipu daya dan ugutan UMNO ke atas rakyat Malaysia.

UMNO tidak punya cita-cita untuk memastikan anak muda berfikiran kritis dan bebas. Bagi memastikan kelangsungan hegemoni, suara anak muda wajib dibungkam dan minda mereka harus dipasung. Ini kerana kebebasan dan keberanian untuk berfikir adalah musuh kepada kepada UMNO.

Menyedari keampuhan daya fikir sebagai senjata membongkar mitos hegemoni UMNO, Dr. Mahathir menjadi dalang memastikan AUKU dilaksana. Undang-undang bejat ini, berselindung di sebalik alasan mahukan para mahasiswa menumpukan perhatian kepada pelajaran semata-mata ternyata merupakan suatu pembohongan. Berpuluh-puluh tahun selepas AUKU dilaksanakan, ternyata Dr. Mahathir mahu melumpuhkan daya fikir anak muda. Beliau sedar anak muda yang kritis pasti enggan bersama kekuasaan yang korup dan menindas.

Kesan “mediocrity” yang membudaya itu ternyata bukan sahaja menjejaskan pembangunan mahasiswa kritis malah telah dengan sengaja mencipta iklim ketakutan, “climate of fear,” agar dunia akademik diam membisu dari menyatakan kebenaran. Inilah antara dosa terbesar Dr. Mahathir kerana dengan sengaja mahu memperbodoh masyarakat. Beliau mahukan rakyat iyakan sahaja titahnya. Rakyat dipaksa merajakan Dr. Mahathir.

Dunia akademik yang lesu pastinya menjejaskan mutu pendidikan. Buktinya tiada universiti Malaysia yang disenaraikan Times Higher Education 400 Top World University Ranking untuk tahun 2011/2012. Sedangkan National University of Singapore berada di kedudukan 40 terbaik dari 400 universiti seluruh dunia.

Marilah sekali lagi kita menjenguk pesan pujangga besar Ronggowarsito. Ternyata pujangga itu tidaklah meninggalkan kita terkontang-kanting, gantung tidak bertali tanpa penyelesaian. Beliau memberi saranan bagaimana mahu berhadapan dengan tipu daya UMNO dalam baris akhir bait tersebut. Ronggowarsito mengungkapkan “Seuntung manapun orang gila, masih lebih untung orang yang berwaspada.”

Menyedari hakikat ini, kita perlu melakukan reformasi terhadap sistem pendidikan di negara ini. Pendidikan sememangnya menjadi teras kepada pembangunan demokrasi dan masa depan negara bangsa yang lebih baik. Melalui sistem pendidikan yang bebas dan tidak dikongkong oleh kekuasaan politik, maka perkembangan ilmu akan berlangsung dengan baik sekaligus menjadi agen pencerahan kepada rakyat.

Pencerahan yang secara mudah membawa maksud menggalakkan perkembangan pemikiran untuk berlangsung. Kita tidak mahu sistem pendidikan yang hanya melatih generasi muda untuk menghafal dan mengingat secara teknikal. Kita mahu pendidikan yang melatih perkembangan ilmu dan daya fikir melalui tesis, anti tesis dan sentesis yang dilontarkan. Ianya selari dengan slogan pencerahan; ‘Sapere Aude’ atau beranilah menggunakan kefahaman sendiri.

Keberanian berfikir untuk membongkar pembelengguan jiwa dan minda adalah antara langkah pertama untuk keluar dari segala bentuk eksploitasi manusia ke atas manusia. Eksploitasi atau gerakan pembodohan, pembutaan dan pembisuan ini perlu ditentang sekerasnya untuk membebaskan rakyat dari zulumat atau kegelapan.

Falsafah pendidikan yang berteraskan kekuasaan politik sebagaimana yang berlaku pada hari ini hanya melahirkan mahasiswa dan pensyarah yang pasif serta mengabaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat. Sedang golongan ini adalah golongan yang seharusnya menyebarkan idea dan memperkembangkan ilmu di kalangan masyarakat, kekuasaan politik hadir untuk menafikan suara dan kebijaksanaan mereka melalui akta-akta yang zalim dan tidak rasional.

Kerana takutkan pensyarah seperti Profesor Dr. Abdul Aziz Bari dan mahasiswa UKM4 menyatakan kritikan terhadap pemerintah maka mereka dikongkong dari berbicara dengan bebas. Ini mengingatkan saya kepada sajak Taufik Ismail yang berjudul “Takut 66, Takut 98”:

Mahasiswa takut pada dosen
Dosen takut pada dekan
Dekan takut pada rektor
Rektor takut pada menteri
Menteri takut pada presiden
Presiden takut pada mahasiswa

Akibatnya kita akan memiliki generasi muda yang pasif. Walhal, seharusnya generasi muda yang mendapat pendidikan universiti adalah agen kepada perubahan.

Alhamdulillah, kita dapat lihat pada hari ini generasi muda serta pensyarah sudah mulai bangkit menyatakan kebenaran. Biarpun masih ada lagi segelintir profesor kangkung yang memperalatkan akademik untuk survival kerjaya mereka, namun kita yakin generasi muda dan sebahagian besar ahli akademik yang lain mempunyai pertimbangan rasional dan kritis untuk meneruskan perjuangan mereka menuntut kebebasan akademik dan autonomi kampus.

Sistem pendidikan yang hanya memberi penekanan terhadap kecemerlangan akademik harus berubah kepada sistem pendidikan yang berupaya melahirkan masyarakat yang inovatif dan mempunyai daya saing yang tinggi. Kita mahu melahirkan generasi muda yang dikenal sebagai generasi tweakers seperti yang diungkap oleh
Malcolm Gladwell dalam rencana The Tweaker: The Real Genius of Steve Jobs.

Dunia yang serba canggih dengan teknologi hari ini tidak akan bermakna tanpa penghayatan kita bahawa segalanya berlaku melalui sebuah proses panjang yang mengerah segenap daya fikir dan imaginasi manusia. Maka menjadi tanggungjawab sistem pendidikan kita untuk melahirkan insan-insan seperti Steve Jobs yang boleh berbangga dengan Apple dan Pixar atau George Lucas dengan siri Filem Star Wars.

Fikiran inilah yang dibawa oleh Malcolm Gladwell dalam rencana di Majalah The New Yorker. Apa yang menjadi perhatiannya ialah kekuatan yang mendasari serta berjaya membangun generasi yang kita kenal sebagai Generasi Tweakers; generasi yang kukuh kekuatan daya ciptanya, berani serta yakin untuk bersaing dengan
sesiapa sahaja namun tidak tercabut dari akar budayanya. Inilah tema sebenar yang harus dibawa oleh sistem pendidikan kita untuk menempuhi cabaran pada masa akan datang sebagai sebuah negara moden.

MELAKAR KEMENANGAN RAKYAT

Pilihan Raya Umum ke 13 adalah Pilihan Raya Umum yang penting buat rakyat Malaysia. Kesemua jentera dan kekuatan harus digerakkan sekarang sebagai penerus kepada momentum yang sedia ada. Sekali lagi kita harus ingat bahawa Pilihan Raya ini bukanlah semata-mata untuk kemenangan KEADILAN tetapi Pilihan Raya ini adalah Pilihan Raya untuk rakyat. Kemenangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat bermakna kemenangan rakyat menentang kezaliman dan kebobrokan UMNO.

Selaku mereka yang tergolong sebagai generasi muda, Angkatan Muda dan Wanita KEADILAN perlu menjadi conscience of majority and minority. Menjadi dhamir rakyat. Kita perlu memastikan supaya gerakan perubahan oleh rakyat terus berlanjutan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang. Generasi muda perlu menyatakan tekad untuk menerajui perubahan yang bakal berlaku.

Keyakinan kita, rakyat menuntut perubahan. Tidak ada rakyat yang mahu mempertahankan kebejatan yang berlaku. Inilah zeitgeist atau semangat zaman. Nilai dan semangat ini pastinya diterajui oleh generasi muda khususnya pada zaman ini. Zaman dimana generasi muda menerajui perubahan yang berlaku.

Mutakhir ini kita dikejutkan dengan satu gerakan yang menggelar diri mereka ‘occupy’. Anak muda di kota- kota besar seperti New York, London dan Portland menyatakan protes terhadap elit korporat dan kekuasaan yang membolot khazanah negara. Mereka membawa slogan bahawa mereka mewakili 99% rakyat. Manakala hegemoni yang terus menerus membolot khazanah negara hanya terdiri dari 1% sahaja.

Ini merupakan cerminan bahawa anak muda menuntut supaya peranan mereka untuk melakukan perubahan diiktiraf. Semangat inilah, semangat zaman, zeitgeist yang sedang membara dalam jiwa generasi muda hari ini.

Begitu juga Arab Spring yang membuktikan bahawa generasi muda mampu menggerakkan perubahan untuk rakyat. Keazaman dan tekad mereka untuk menuntut keadilan, kebebasan dan demokrasi adalah nilai yang seharusnya dikongsi bersama oleh generasi muda di Malaysia. Biarpun jarak kita jauh beribu batu, namun kita harus punya keyakinan bahawa nilai ini tetap akan dikongsi bersama dengan tekad bahawa zaman ini adalah zaman perubahan.

Malah Kung Fu Tze dalam Lun Yu menukilkan “si hai zhi nie jie xiong di” yang bermakna ‘empat lautan terbentang luas, semua manusia bersaudara’. Maka yakinlah bahawa kita tidak keseorangan dalam perjuangan menuntut perubahan ini.

Kita semua sedang menelusuri liku-liku yang sama. Namun kita perlu terus memastikan agar perubahan ini terlaksana. Biarpun pelbagai serangan yang dilakukan oleh Umno untuk memastikan agar perjuangan kita untuk membela nasib rakyat ini terencat, kita harus terus mara dengan yakin.

Peringatan keras untuk Umno, apa pun konspirasi untuk memenjarakan Saudara Anwar Ibrahim, kami anak-anak muda dan wanita berikrar akan bangkit meruntuhkan tembok kezaliman penjara untuk membebaskan Anwar Ibrahim. Pakatan Rakyat telah sepakat bahawa Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri Malaysia yang ke 7.

KEADILAN dan Pakatan Rakyat sudah bersedia. Kita sudah ada Dasar Bersama, kita sudah ada Buku Jingga, kita sudah ada Belanjawan Pakatan Rakyat. Kita sudah bersedia ke Putrajaya. istiqamah, pintu kebenaran akan terbuka luas dan kita perlu memimpin rakyat untuk terus melaksanakan perubahan.

Yakinlah teman-teman seperjuanganku,

Malaysia tanpa Umno adalah Malaysia yang
demokratik
Malaysia tanpa Umno adalah Malaysia yang
makmur
Malaysia tanpa Umno adalah Malaysia yang
aman dan harmoni
Malaysia tanpa Umno adalah Malaysia yang
bebas
Malaysia tanpa Umno adalah Malaysia Baru
milik rakyat

Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Gombak.

Ucapan Dasar Timbalan Presiden ini disampaikan pada 25 November 2011 di Kongres Nasional Tahunan Keadilan ke-8 yang diadakan di Pulai Spring Resort, Johor Bahru.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=23522

Wednesday, November 23, 2011

Wang tunai RM54,900 nanti pemancing di Cyberjaya


2011/11/23

CYBERJAYA: Hadiah wang tunai RM54,900, 40 hamper dan 6500 kemeja-T menanti pemancing dalam Pertandingan Memancing GP Selangor pusingan kesembilan di Taman Tasik Cyberjaya, di sini, Ahad ini.

Pertandingan itu anjuran kerajaan Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Cyberview Sdn Bhd, dikendalikan oleh Wakjali Event Management selaku pengurus acara. 
 
Ia menawarkan hadiah wang tunai RM30,000 untuk juara, kedua RM12,000 dan ketiga RM6,000. Pemenang keempat menerima RM1,500, dan kelima RM700. Pemenang keenam hingga kesembilan menerima RM250, kesepuluh (RM200) dan kesebelas hingga ke-20 (RM150). 
 
Penganjur turut menawarkan empat cabutan bonanza wang tunai RM500 setiap satu, 20 cabutan bertuah dan 500 kemeja-T untuk peserta yang mendaftar awal.

Yuran penyertaan RM80 satu joran dan setiap peserta dibenar mendaftar dua joran saja dan layak menang satu hadiah bagi setiap pusingan.

Turut diadakan ialah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun dan EON Auto Fiesta yang menawarkan servis percuma kepada pemilik kenderaan Proton, pandu uji kereta, diskaun untuk model terpilih, pemeriksaan keselamatan kenderaan percuma dan pemberian baucar bernilai RM50 untuk temujanji servis kenderaan.

Kaunter pendaftaran dibuka di MPSepang bermula hari ini hingga Jumaat, manakala kaunter 24 jam di Taman Tasik Cyberjaya bermula jam 10 pagi, Sabtu ini.
Bagi memastikan lokasi pertandingan tidak menghampakan peserta, penganjur melepaskan satu tan ikan patin dan tongsan ke Tasik Cyberjaya yang disempurnakan Pembantu EXCO Pemodenan, Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Selangor, Shuhaimi Shafiei.

Turut hadir Penolong Setiausaha MPSEPANG, Ismail Muhamad; Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat dan Kewangan Cyberview, Izatul Arini Mohd Ariff Albakri; Pengarah Urusan Wakjali Event Management, Md Zali Kasran dan Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan Edaran Otomobil Nasional (EON), Mohd Zainan Ayob.

Suhaimi berkata, GP Selangor yang sudah memasuki fasa akhir akan menutup tirainya di Tasik Shah Alam pada 18 Disember ini.

“Di Shah Alam, penganjur menawarkan hadiah bernilai RM130,000 kepada pemenang dengan penyampaian hadiah utama Grand Slam sebuah kereta Proton Saga manakala juara pusingan akan menerima RM40,000,” katanya.

Pertanyaan mengenai pertandingan ini hubungi 013-3588206, 016-2937741 dan 013-3838655.

Monday, November 21, 2011

Pemeriksaan Perubatan Percuma

Program ini dirancang khas oleh MBSA dan MPP Zon 12 untuk golongan pendapatan rendah yang tinggal di sekitar Shah Alam di Dewan MBSA, Seksyen 27, Shah Alam pada 20/11/2011.












Friday, November 18, 2011

SAF 2011 sasar RM11j

SAF 2011 sasar RM11j
Oleh : NURULFATIHA MUAH
Tarikh : November 5, 2011
potong reben

SHAH ALAM – Selangor Agro Fest (SAF 2011) yang dijadualkan berlangsung 28 November ini dijangka mampu menarik sejuta pengunjung dengan anggaran jualan keseluruhan mencecah RM11 juta.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Selangor, Yaakob Sapari berkata, kehadiran pengunjung dijangka bertambah menerusi peningkatan aktiviti promosi dan publisiti di semua saluran media dan penyebaran iklan.

“Kita anggarkan nilai jualan tunai karnival itu sekitar RM7 juta dengan purata pembelian RM5 bagi seorang pengunjung, manakala nilai kontrak pembelian pula dianggarkan mencecah RM4 juta,” katanya dalam ucapan pelancaran Selangor Agro Fest 2011 di Plaza Alam Sentral, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Shuhaimi Shafiei.

Yaakob berkata, program itu adalah tanggungjawab sosial Kerajaan Negeri untuk membantu usahawan baru dalam industri asas tani (IAS) dan industri kecil sederhana (IKS), dengan menyediakan ruang niaga bagi memperluaskan rangkaian perniagaan mereka.

“Usahawan berpeluang menjalankan pemadanan perniagaan di antara pemborong, pembeli, pengedar, pengeluar atau pembekal, disamping mempromosikan dan menjual produk mereka untuk menembusi pasaran lebih besar.

“Ia secara tidak langsung dapat memberi maklumat kepada pengunjung mengenai teknologi pembangunan ekonomi pertanian di Selangor, selain mendedahkan pelaburan dalam bidang ini menerusi pameran teknologi oleh jabatan atau agensi, pihak swasta dan perkhidmatan kaunter perundingan,” katanya.

Menurutnya, pelbagai keluaran pertanian boleh didapati di karnival itu, antaranya produk segar, bahan-bahan tanaman, ternakan atau akuakultur dan produk IAS.

Karnival pertanian itu akan diadakan tujuh hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam, di Stadium Melawati, Seksyen 13, di sini.

SAF 2011 adalah kesinambungan Program Selangor Ria anjuran Kerajaan Negeri yang sebelum ini diadakan setiap tahun, sejak 2008.

Namun, konsep dan pendekatan program dipinda dengan menumpukan penglibatan usahawan pertanian, penyertaan Jawatankuasa Kemajuan dan Kesematan Kampung serta Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) mini.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pameran agensi pertanian, jualan produk pertanian, acara kebudayaan, forum, seminar, konvensyen, persembahan artis, kuiz dan sukaneka.


Majlis Kahwin Anak Bekas Calon Batu Tiga

Majlis bersanding ini berlangsung di Dewan Bukit Naga, MBSA pada 16/10/2011 petang. YB Shuhaimi Shafiei turut hadir sebagai tetamu jemputan dan menepong tawar.






Majlis Pelancaran Memoir Dr. Syed Husin Ali

Majlis ini disempurnakan oleh YB Dato Seri Anwar Ibrahim dengan turut hadir Sasterawan Negera Pak Samad dan veteran Dr. Sanusi Osman pada 16/11/2011 di Shah Alam Convention Center.








Thursday, November 17, 2011

Penyelewengan Satim dan Barisan Nasional Dibongkar MB

Oleh Naeem Raffi
15/11/2011
1580 View
Share


SHAH ALAM, 15 NOV : Sesi penggulungan Belanjawan Selangor 2012 hari ini menjadi gempar berikutan pendedahan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung pelbagai salah guna kuasa Barisan Nasional Selangor membabitkan kehilangan jutaan ringgit yang turut melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Satim Diman.

Selain Satim, Abdul Khalid juga mendedahkan usaha pengambilan tanah oleh bekas menteri Besar Selangor, isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta pemimpin politik setempat bagi mendapat beberapa lot tanah dikawasan elit.

Dalam sesi penggulungan itu, Khalid mendedahkan Ketua Pembangkang, Satim Diman telah membuat beberapa transaksi berhubung penjualan tanah di Science Park 2 semasa pentadbiran BN dulu.

Tanah tersebut merupakan tanah milik kerajaan negeri yang telah diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk tujuan pembangunan pendidikan sains.

Menurut Khalid, pemberian tanah tersebut bagaimanapun dijual oleh Satim dengan harga murah kepada Nikmat Inai Sdn Bhd, di mana Satim adalah salah seorang pemegang saham dan Ahli Lembaga Pengarah.

"Belum selesai syarikat Satim membayar belian kepada PKPS, atas kuasa politik yang beliau pegang, tanah itu dijual kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan harga berlipat kali ganda.

"Inilah berjayanya Satim Diman menjadi orang tengah untuk mengaut untung atas angin atas dasar Bumiputera,"jelas Khalid.

Sidang DUN yang masuk hari kelima hari ini turut digemparkan dengan pendedahan Khalid berhubung tanah Revolusi Hijau di Alam Perdana yang melibatkan bekas Menteri Besar dan isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta pemimpin politik setempat membolot beberapa lot tanah.

"Tanah ini telah menjual kepada Barisan Elit untuk taman penindustrian walaupun tanah itu masih berstatus pertanian.

"Meskipun Barisan Elit tidak boleh memulakan projek perindustrian, namun yang berkuasa adalah orang berkepentingan maka projek tersebut dijalankan sedangkan rakyat Selangor kerugian puluhan juta hasil bayaran premium," katanya.

Selain itu, ladang seluas 12,000 ekar di Sabah yang dikatakan dijual oleh PKPS pada 2006. Ladang ini djual RM8,000 seekar kepada syarikat Bumiputera.

Namun seperti juga kes Science Park 2, Khalid berkata, ladang ini dijual pula kepada Rimbunan Hijau, syarikat yang ada kaitan dengan parti komponen BN.

Mengulas lanjut salahlaku pembangkang ini, Khalid menjelaskan Kerajaan Negeri pada akhirnya berjaya memaksa Barisan Elit Sdn Bhd membayar RM29 juta untuk menukar syarat dari pertanian kepada perindustrian.

"Tiga contoh ini menunjukkan Umno-BN sentiasa menggunakan isu Bumiputera dan memperjuangkan hak Melayu namun mereka adalah dalang yang menghakis hak kepentingan rakyat Selangor,"kata Khalid lagi.

Beliau yang juga Adun Ijok berkata sejak Mac 2008, kerajaan Pakatan Rakyat telah mengamalkan reformasi dalam pentadbirannya yang amat mementingkan ketelusan, kecekapan dan pertanggungjawaban serta bersih dari amalan rasuah dan kronisma.

Kesan dari reformasi ini, kata Khalid telah memberi keuntungan yang berlipat kali ganda berbanding pentadbiran terdahulu, malah mampu mengembalikan hasil negeri untuk rakyat Selangor.


Tuesday, November 15, 2011

Hasil Negeri Lebih Tinggi Dibawah Pakatan

Hasil Negeri Lebih Tinggi Dibawah Pakatan Oleh Mohd Hafiizh Mokhtar
14/11/2011
287 View
Share


SHAH ALAM 14 NOV : Geran Selangorku yang mencecah RM300 juta ringgit ternyata mengejutkan bekas pentabiran Barisan Nasional Selangor yang lama dan mereka tidak habis menyoal bagaimana Kerajaan sekarang mampu menyediakan jumlah yang begitu besar.

Malah ADUN BN di dalam perbahasan bajet 2012 sering kali menuduh berlakunya salahurus tadbir di anak syarikat kerajaan negeri seolah-olah tidak mungkin jumlah itu mampu dihasilkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda Suhaimi Shafiei menjelaskan geran ini dikumpul dari hasil keuntungan anak-anak syarikat kerajaan negeri yang kini lebih cekap dan lebih menguntungkan, selepas bebas dari kepentingan ahli-ahli politik.

"Meraka yang bertanya ini sebenarnya terkejut. Semua hasil negeri dari sumber tanah, pasir, bahan batuan, hutan dan sebagainya kita kembalikan kepada rakyat. Dibawah pentadbiran terdahulu keuntungan anak-anak syarikat kerajaan negeri dimasukkan dalam Hasil Disatukan pada jumlah yang kecil. Dalam perjalanan kepada kerajaan negeri itu, banyak ‘tol-tol' yang perlu dibayar."

Kerajaan Negeri Selangor mempunyai tidak kurang dari 50 anak syarikat. Sasaran ditetapkan dimana mereka perlu menyerahkan sebahagian keuntungan mereka kepada kerajaan negeri dalam bentuk royalti dan dividen.

Jelas Suhaimi dasar telus dan bertanggungjawab membolehkan royalti ini dikembalikan sepenuhnya kepada rakyat, melalui Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti Tabung Warisan Anak Selangor dan Skim Mesra Usia Emas.

"Kumpulan Semesta pada tahun 2011 setakat 30 Oktober sudah memberi royalti lebih dari RM18 juta ringgit."

"Semasa pemerintahan lama, paling tinggi yang pernah mereka dapat dalam setahun adalah RM3.5 juta. Kita mengatasi mereka dengan lebihan RM15 juta.

Dari sudut perniagaan pula, keuntungan Kumpulan Semesta mencecah RM28 juta daripada sasaran RM30 juta ringgit. Dicampurkan dengan royalti, kita berada di hadapan sebanyak 10 kali ganda."

Suhaimi menegaskan belanjawan pro-rakyat seperti Belanjawan Selangor 2012 mustahil dirumus dibawah pemerintahan lama. Katanya Belanjawan Selangor 2012 menuntut iltizam kuat untuk mengagihkan kemewahan Selangor kepada rakyat terbanyak.

"Apabila kita mengambil alih kerajaan selangor, kita kesan perjanjian-perjanjian perniagaan yang amat berat sebelah dirangka untuk memberi keuntungan kepada kroni terlibat."

Beliau menambah Pakatan Rakyat perlu mengambil langkah-besar untuk memperbetul kepincangan-kepincangan yang berlaku sepanjang Selangor diperintah Barisan Nasional.

"Pernah suatu ketika kerajaan negeri tidak mempunyai rekod hutang atau jumlah perkongsian modal usahasama anak-anak syarikat kerajaan negeri dan syarikat-syarikat terlibat."

Kes hutang Talam Corporation yang kini berjaya dialihkan menjadi sumber pendapatan lumayan disebut Suhaimi sebagai contoh hasil-kerja kerajaan Pakatan yang berhemah.

"Walaupun yang kita ambil-alih hutang itu, tetapi sebenarnya untuk masa jangka panjang ia adalah aset berharga. Nilai hutang dahulunya RM398 juta ringgit, hari ini nilai aset dinilaikan hampir RM600 juta ringgit."

Tegasnya bukan sahaja keuntungan anak-anak syarikat negeri diserahkan semula melalui MES, tetapi juga setiap hutang turut dikejar untuk dipulangkan kepada rakyat Selangor.

ends


Monday, November 14, 2011

Jamuan Deepavali Dun Sri Muda



Jamuan Makan Malam Perayaan Deepavali Dun Sri Muda yang diadakan di Dewan Taman Sri Muda berlangsung dengan penuh meriah. Seramai hampir 3000 tetamu daripada pelbagai kaum turut hadir dalam majlis ini. Adun Sri Muda, YB Shuhaimi Shafiei yang turut hadir pada Majlis berkenaan melahirkan rasa bangga kerana kehadiran yang sungguh menggalakkan, beliau berkata masyarakat dalam Dun Sri Muda yang mempunyai pelbagai kaum, sewajarnya perlu saling hormat menghormati antara satu sama lain.


Sifat toleransi antara kaum sudah wujud sejak merdeka lagi walaupun pelbagai tohmahan serta momokan dari pihak tidak bertanggungjawab ternyata ianya tidak sedikitpun menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini terutama di Sri Muda, dengan adanya majlis seumpama ini maka semangat perpaduan antara kaum mampu diterapkan malah akan lebih erat lagi.


Turut hadir memeriahkan Majlis ialah Exco Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, YB Yaakob Sapari,


Jutaan Terima Kasih kepada semua petugas dan seluruh ahli jawatankuasa Program dalam menjayakan Majlis Jamuan Deepavali Dun Sri Muda 2011. Terima kasih juga kepada seluruh hadirin yang hadir,

Prestasi Kewangan Negeri Selangor Lebih Baik Berbanding Negeri-Negeri BN

SHAH ALAM, 11 NOV : Laporan Ketua Audit Negara 2010 merumuskan bahawa pengurusan kewangan dan perbelanjaan Negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat adalah lebih memuaskan berbanding negeri-negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional.

Malahan Ketua Audit Negara menegur pentadbiran di negeri-negeri seperti Terengganu dan Pahang supaya memperbaiki pengurusan kewangan mereka, kata Adun Bukit Antarabangsa Azmin Ali.

Di dalam perbahasan beliau di sidang DUN, Azmin berkata keupayaan Pakatan menguruskan sumber kewangan dan berbelanjaan dengan baik serta perbezaan gagasan itu dengan pendekatan BN perlu dilihat oleh rakyat.

"Saya pada hari ini membawa laporan audit ketua negara bagi negeri Terengganu sebuah negeri yang mempunyai hasil mahsul yang melimpah ruah ditadbir oleh Umno Barisan Nasional. Rumusan untuk audit bagi negeri itu ialah pada tahun 2010 ialah kerajaan negeri Terengganu perlu merancang perbelanjaan dan kewangan dengan cekap dan berhemah tanpa perlu menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

"Saya juga ingin merujuk kepada laporan audit negara bagi negeri Pahang, sekali lagi sebuah negeri yang mempunyai hasil mahsul yang lebih besar ditadbir oleh Umno , rumusan ketua audit negara ialah agar disyorkan kerajaan negeri Pahang agar mengamalkan perbelanjaan yang berhemah serta mengutip hutang agensi kerajaan negeri berjumlah RM228.8 juta dan menjelaskan bayaran balik hutang kerajaan Persekutuan," katanya.

Azmin berkata lagi, teguran terhadap pengurusan kewangan yang diberikan oleh Ketua Audit Negara terhadap negeri pimpinan Umno-BN itu tidak terdapat dalam laporan Ketua Audit Negara 2010 bagi negeri Selangor.

Justeru, ini jelas membuktikan bahawa mekanisme pengurusan kewangan negeri Selangor adalah pada tahap terbaik katanya.



Sidang Dewan Negeri Selangor : Umno Kota Raja Rampas Tanah Rakyat

Ng: Umno Kota Raja Rampas Tanah Rakyat
10/11/2011
685 View
Share


ADUN Sekinchan Ng Suee Lim mendedahkan bagaimana Umno bahagian Kota Raja telah mendapat tanah seluas empat ekar di Shah Alam dengan harga murah semasa pentadbiran Barisan Nasional.


Pendedahan itu dibuat semasa Ng membahaskan ucapan bajet Selangor 2012 pada sessi DUN 10 November.



Google Search

Google

advertisement


Wednesday, November 9, 2011

BELANJAWAN 2012 SELANGOR DARUL EHSAN

Wednesday, 09 November 2011 | Ruangan: Rencana

Ucapan pembentangan

BELANJAWAN 2012 SELANGOR DARUL EHSAN

‘SELANGORKU: HASIL NEGERI UNTUK RAKYAT’

Oleh

Y.A.B. TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Pada

MESYUARAT KETIGA PENGGAL KEEMPAT

DEWAN NEGERI SELANGOR KE-12 TAHUN 2011

Tempat

DEWAN UNDANGAN NEGERI SELANGOR

BANGUNAN ANNEX SHAH ALAM

Hari dan Tarikh

RABU, 09 NOVEMBER 2011

===========================================================================================

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim. Segala puji bagi ALLAH Subhanahu Wata’ala, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasalam, keluarga serta sahabat-nya.

Sidang Dewan yang dihormati,

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.

1) Sempena hari berbahagia ini, saya mohon mencadangkan agar Rang Undang-Undang bertajuk “Suatu Enakmen bagi penggunaan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi tahun 2012, dan peruntukan wang itu bagi perkhidmatan pada tahun tersebut” dibacakan untuk kali kedua. Terima kasih.

2) Alhamdulillah, marilah kita mengucapkan syukur kepada ALLAH Subhanahu Wata’ala kerana diizinkan-Nya untuk bersama hadir di dewan yang mulia ini. Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua Ahli Yang Berhormat dan seluruh rakyat Malaysia yang beragama Hindu serta Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada Ahli Yang Berhormat dan seluruh umat beragama Islam. Bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya ingin membentangkan Belanjawan Negeri Selangor 2012 dan tema pada tahun ini adalah “Selangorku: Hasil Negeri untuk Rakyat”.

3) Pada Mac tahun hadapan genaplah empat tahun dan bermula tahun kelima pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri Selangor. Dalam tempoh itu, saya percaya banyak perkara telah dilalui. Ambillah kebaikan sebagai pendorong kekuatan kita untuk mempertahankan kemuliaan insan dan menjadikan kehidupan yang ada semakin baik berbanding sebelumnya. Jadikanlah kelemahan sebagai satu peringatan bahawa kita memerlukan penambahbaikan berprinsip, bertanggungjawab serta bernas untuk membolehkan agenda reformasi berjalan dengan baik khususnya di negeri Selangor.

4) Baru-baru ini Ketua Audit Negara telah membentangkan Laporan Audit Negara 2010. Kerajaan Negeri Selangor ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih atas usaha gigih yang telah dilakukan. Sebarang teguran dan cadangan pembaikan yang dikemukakan sedang dilihat dan akan diambil tindakan sewajarnya.

5) Dari Laporan Audit tersebut, saya yakin rakyat boleh menilai keutamaan yang diberikan Kerajaan Negeri Selangor. Menggunakan hasil negeri untuk rakyat tentulah jauh lebih baik daripada korupsi dan pemberian projek yang hanya menguntungkan segelintir pihak.

Laporan juga menyerlahkan ketirisan tidak kurang dari 30% dari keseluruhan peruntukan Bajet Persekutuan dan telah berlaku dalam pelbagai bentuk. Ia seolah-olah Laporan Audit 2009 tidak langsung diambil iktibar oleh kementerian, jabatan dan agensi-agensi berkenaan. Lebih malang lagi apabila laporan turut melaporkan terdapat pengkhianatan terhadap golongan yang paling memerlukan seperti para petani, nelayan dan penternak.

6) Sejak 2008, Kerajaan Negeri Selangor telah berusaha agar reformasi pentadbiran, perniagaan dan pembangunan dapat dijalankan. Pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat tidak bergerak dalam ruang vakum, sebaliknya perlu bergerak dengan apa yang ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu.

7) Di peringkat awal, pentadbiran baharu ini dikejutkan oleh data kewangan bilamana peruntukan untuk wakil rakyat telah habis digunakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-12. Ini bermaksud peruntukan bagi tahun 2008 itu telah dihabiskan sebelum bulan Mac 2008. Namun kita lalui saat getir tersebut dengan selamba dan akhirnya kita berjaya tanpa sebarang prejudis terhadap kepentingan rakyat.

8) Pentadbiran baharu juga mendapati banyak perkara lain yang memerlukan reformasi dan ini diambil sebagai cabaran. Ini telah dilakukan melalui sasaran dua objektif penting iaitu menjadikan badan kerajaan sebagai institusi yang berintegriti tinggi dan pengukuhan struktur kewangan negeri. Dua objektif ini tentulah mudah disebut tetapi secara realitinya memerlukan iltizam politik (political will) untuk melaksanakannya dan kesabaran sebelum mendatangkan hasil. Sesungguhnya kegemilangan sebuah tamadun tidak dibina dalam sehari dua, sebaliknya boleh runtuh dengan sekelip mata jika tanggungjawab dan amanah diabai dan dikhianati.

Sidang dewan yang dimuliakan,

9) Sebelum membentangkan Belanjawan 2012 ini, eloklah dijelaskan di sini tentang dua objektif yang dinyatakan tadi. Dalam hal menjadikan pentadbiran kerajaan sebagai sebuah institusi berintegriti tinggi, beberapa pendekatan telah diambil misalnya dengan penggubalan Enakmen Kebebasan Maklumat (FOIA) dan pengenalan tender terbuka untuk persaingan sihat dalam perniagaan.

10) Berkaitan pengukuhan infrastruktur kewangan pula, kita boleh merujuk kepada Laporan Audit Negara 2010 yang telah merumuskan kedudukan kewangan negeri Selangor sebagai memuaskan. Baki Kumpulan Wang Disatukan pada tarikh 31 Disember 2010 mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Akaun Hasil Disatukan telah mencatatkan lebihan pada tahun 2010 dan prestasi pembayaran hutang awam adalah sangat baik.

11) Saya ingin mengumumkan di Dewan yang mulia ini bahawa Simpanan Tunai Selangor telah mencecah RM1,212 ( Satu Ribu Dua Ratus Dua Belas ) juta. Jumlah ini merupakan simpanan tertinggi yang pernah dicapai sejak 28 tahun yang lalu. Daripada jumlah ini, RM946.65 juta dalam bentuk simpanan cair (liquid reserve) dan selebihnya dalam bentuk simpanan amanah (trust reserve).

(Lampiran 1 – Laporan Kedudukan Kewangan Kerajaan Negeri Selangor seperti pada 30 September 2011 dibekalkan kepada Sidang Dewan).

12) Ada pihak yang cuba memperlekeh kejayaan ini dengan menyatakan bahawa kononnya jumlah tunai yang banyak ini tidak semestinya baik kerana dalam ekonomi, “adalah lebih baik simpanan ini digunakan untuk mendorong kesan berganda (multiply effects)”.

13) Sukacita saya jelaskan bahawa Simpanan Tunai yang tinggi ini adalah penting untuk memberi keyakinan kepada pelabur dalam dan luar negeri, juga kepada bank-bank dan para kontraktor akan keupayaan kerajaan negeri mentadbir dan membuat pembayaran. Simpanan tunai yang selesa juga akan membolehkan Negeri Selangor menghadapi sebarang risiko serta situasi tidak menentu (volatility). Apatah lagi bajet Kerajaan Persekutuan gagal menyediakan pelan tindakan bagi menghadapi kemuncupan ekonomi dunia.

14) Apa yang lebih penting pada saya ialah pencapaian ini berjaya direalisasikan melalui pengurusan kewangan yang baik seperti tertera dalam Laporan Audit Negara 2010. Pada masa yang sama kita dapat meneruskan pelbagai program pembangunan dan kebajikan rakyat. Ini terbukti apabila sejumlah lebih RM500 juta hasil negeri telah diterjemahkan kepada pelbagai jenis program kebajikan di bawah Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sejak Mac 2008.

(Lampiran 2 – Laporan Ringkas Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor).

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan seluruh Ahli Dewan yang dimuliakan,

EKONOMI GLOBAL, SERANTAU DAN MALAYSIA

15) Ekonomi global mulai tumbuh pada kadar sederhana dan perlahan pada suku kedua tahun ini. Ini ditandai oleh ketidakstabilan ekonomi di peringkat serantau, tekanan kewangan dan isu pengangguran. Selain itu, bencana alam seperti Tsunami dan gempa bumi turut mempengaruhi aktiviti perdagangan. Isu hutang negara Amerika Syarikat dan Eropah mempengaruhi dana yang boleh dilaburkan di luar negara kerana para pelabur lebih cenderung membuat pelaburan di dalam negara. Ini bermaksud dana untuk pembangunan akan berkurangan.

16) Namun, prospek ekonomi global Bank Dunia menjelaskan bahawa secara umumnya krisis ekonomi global tidak lagi menjadi daya utama yang menentukan corak aktiviti ekonomi di negara-negara membangun. Prospek ini sekaligus memberi maksud pertumbuhan ekonomi setempat kini terletak kepada faktor sektoral dan produktiviti di setiap negara.

17) Untuk tahun 2011 ini, Institut Penyelididikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berada pada kadar 4.6 peratus. Unjuran ini dijelaskan berikutan tinjauan suku ketiga yang menunjukkan kesan perkembangan ekonomi global kepada pertumbuhan eksport di Malaysia.

18) Sehingga suku kedua 2011, sektor pembuatan tumbuh pada kadar 2.1% dan ia didorong oleh industri domestik. Sektor ini telah menerima kesan ketara akibat bencana alam.

19) Sektor perkhidmatan yang diliberalisasikan terus menjadi penyumbang utama kepada KDNK negara dengan sumbangan sebanyak 58.4% sehingga suku kedua 2011. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1% berbanding tahun sebelumnya dan ia dijangka tidak terjejas dengan persekitaran ekonomi yang tidak menentu. Subsektor perniagaan dan hartanah, kewangan dan insurans, perniagaan borong dan runcit serta komunikasi dan perhubungan menunjukkan peningkatan dan kestabilan.

20) Sektor pertanian pula tumbuh sebanyak 6.9% sehingga suku kedua tahun ini. Pencapaian ini didorong oleh subsektor kelapa sawit dan getah yang menerima permintaan tinggi di pasaran global. Pertumbuhan subsektor kelapa sawit yang mencecah 22.3% disumbangkan oleh hasil tinggi kualiti minyak daripada pengekstrakan buah kelapa sawit yang segar. Faktor hujan dan banjir di Thailand juga turut mengalih permintaan daripada negara itu kepada negara kita.

PERTUMBUHAN SELANGOR

21) Selangor adalah penyumbang utama kepada petunjuk ekonomi negara. Sejak tahun 2008 hasil negeri terus cuba ditambah dan Selangor telah menyumbang lebih dari 20% dari keseluruhan jumlah pelaburan dalam negara. Sehingga suku kedua tahun ini, KDNK negeri tumbuh pada kadar 5.0%.

SEKTOR UTAMA

22) Sektor Utama Pertanian diunjurkan tumbuh sebanyak 5.2% untuk tahun 2011 didorong oleh peningkatan subsektor Tanaman Kelapa Sawit, Perikanan, Agro Pertanian dan juga Ternakan. Pengeluaran minyak kelapa sawit bagi negeri Selangor pada suku kedua juga meningkat sebanyak 18.7% berbanding suku sebelumnya kerana pertambahan permintaan domestik dan luaran.

23) Sektor Utama Perlombongan didorong oleh Subsektor Kuari yang diunjurkan mengalami peningkatan minimum 0.1% bagi tahun 2011 berbanding tahun 2010 berikutan peningkatan dalam Sektor Pembinaan.

SEKTOR PERINDUSTRIAN

24) Subsektor Pembinaan diunjurkan tumbuh secara positif pada kadar 4.8% bagi tahun 2011. Ini berdasarkan perancangan pembinaan perumahan, rekreasi, bangunan komersil dan juga kerja-kerja baik pulih.

25) Sektor Pembuatan yang diunjurkan meningkat sebanyak 0.5%, daripada 32.4% kepada 32.9%, sekaligus membentuk sumbangan sektor Perindustrian kepada KDNK negeri Selangor sebanyak 37.7%.

SEKTOR PERKHIDMATAN

26) Sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada KDNK negeri Selangor iaitu sebanyak 57.4%. Nilai ditambah terbanyak disumbang oleh Subsektor Perdagangan Borong dan Runcit, Penginapan dan Restoran dengan unjuran pertumbuhan sebanyak 5.7% bagi tahun 2011. Sementara itu, Subsektor Kewangan, Insurans, Hartanah dan Perkhidmatan Perniagaan pula mengalami peningkatan dengan pertumbuhan nilai ditambah sebanyak 4.1%. Sektor Kecil Perkhidmatan Lain dianggarkan mengalami pertumbuhan sebanyak 4.0% dan Sektor Perkhidmatan Kerajaan pula diunjurkan mencapai pertumbuhan pada kadar 3.7%.

Dato’ Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

STRATEGI BELANJAWAN 2012

27) Selangor kini memasuki era baru dengan membentangkan Belanjawan Reformasi yang melibatkan pendapatan kerajaan negeri dan hasil dividen dari Syarikat Kaitan Kerajaan (GLC). Saya bentangkan dahulu Belanjawan Berimbang hasil pendapatan kerajaan negeri dengan tema ‘Selangorku: Hasil Negeri untuk Rakyat’.

28) Belanjawan 2012 ini adalah kesinambungan kepada ‘Hasil Negeri Untuk Rakyat’ yang menjadi tema tahun lalu dengan beberapa penyesuaian tambahan berdasarkan perkembangan semasa. Antara penyesuaian penting yang diambil kira ialah Pelan Tindakan dan Visi untuk Tiga Tahun yang dinamakan Agenda Selangorku. Dokumen ini telah dilancarkan semasa Sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia di peringkat negeri Selangor pada 16 September 2011.

29) Belanjawan 2012 adalah berdasarkan Empat (4) Strategi Utama, iaitu:

i. Meningkatkan kecekapan pentadbiran,

ii. Meningkatkan kualiti asas kehidupan keluarga dan masyarakat,

iii. Melestari pembangunan, dan

iv. Mendorong masyarakat berilmu, berakhlak mulia dan hidup sihat.

30) Semua strategi ini mengambil kira keperluan holistik pembangunan fizikal dan manusia, pengukuhan prinsip serta kecekapan, ketelusan dan kebertanggungjawaban pengurusan dan keseimbangan antara pelbagai elemen bagi membolehkan hasil optimum dapat dicapai. Reformasi dari segi pengurusan dan penggunaan akan terus diusahakan sehingga ia menjadi budaya bersama.

MENINGKATKAN KECEKAPAN PENTADBIRAN

31) Kecekapan pentadbiran adalah penting bagi mendorong lebih banyak produktiviti dihasilkan. ‘Padang permainan’ ekonomi dunia kini menuntut lebih penghargaan bagi setiap masa dan tenaga yang dikeluarkan. Jika kita gagal memahami dan bertindak selaras dengan perubahan ‘padang permainan’ ini, kita bukan sahaja akan tertinggal bahkan berkemungkinan berdepan dengan masalah kuasa beli yang merosot meskipun berlaku kenaikan gaji. Sebagai contoh, kenaikan gaji di negara kita sejak 15 tahun lalu adalah pada kadar 2.6% berbanding dengan kenaikan harga barang meningkat berkali ganda daripadanya.

32) Di samping itu, kita perlu mengambil iktibar daripada Laporan Audit Negara yang mendedahkan ketirisan berterusan dalam ekonomi negara. Kita dapat melihat bagaimana wang dibazirkan dengan cara yang tidak sepatutnya, malah sangat diragukan. Perkara ini bukan perkara baharu, akibatnya rakyat semakin kecewa kerana kesalahan lama tetap diulang, kerana kerajaan mengambil mudah apa yang dibentangkan oleh laporan tersebut. Harga belian bekalan yang tidak munasabah menunjukkan perancangan yang tidak teliti, membazir dan curang.

33) Jelaslah bahawa cabaran yang ada cukup besar. Justeru pada tahun ini kita telah mengukir sejarah apabila kita menggunakan pendekatan rundingan sebelum Belanjawan 2012 ini dirangka dan seterusnya diunjurkan. Jika dahulu Dialog Belanjawan dibuat di peringkat negeri serta bersama para penggerak industri, Belanjawan 2012 pula melibatkan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor bertemu rakyat di setiap kawasan kerajaan tempatan dan mendengar serta mendapatkan pandangan mereka tentang keutamaan yang diperlukan di kawasan masing-masing untuk dianalisa dan dipertimbangkan dalam Belanjawan 2012.

34) Kerajaan Negeri Selangor percaya pengurusan yang cekap adalah pengurusan yang mendekati pelanggan-pelanggan serta pihak-pihak berkepentingan yakni rakyat jelata sebelum perancangan menyeluruh dilakukan.

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan seluruh Ahli Dewan yang dihormati,

35) Dalam memperihalkan Belanjawan ini, pendekatan yang mahu diambil perlu diubah. Lazimnya, Belanjawan dilihat dalam konteks perlaksanaan setahun. Pandangan ini tidaklah salah tetapi dalam hal belanja pembangunan, ia mesti diunjur melebihi tempoh setahun. Ini penting kerana rancangan untuk pembangunan lazimnya memerlukan gerak kerja yang lebih panjang tempoh masanya.

36) Termasuk dalam soal kecekapan pentadbiran ini ialah pengurusan sumber negeri secara bijaksana. Ini melibatkan hasil dan agihan perbelanjaan mengikut keperluan. Seperti yang telah disebutkan di awal ucapan tadi, Selangor cukup bertuah kerana mempunyai banyak sumber dan hasil. Kerajaan Negeri Selangor percaya sekiranya hasil ini diuruskan dengan berhemah, ia dapat memberi lebih pulangan kepada semua. Sekiranya tidak, ia hanya akan memperkaya segelintir pihak.

37) Penyumbang utama Hasil Kerajaan Negeri Selangor ialah kutipan cukai dan urusniaga berkaitan tanah oleh Pejabat Tanah Daerah (PTD) dan Pejabat Tanah Galian Selangor (PTGS). Kutipan ini meliputi sehingga 68% keseluruhan hasil negeri dalam tempoh setahun. Kerajaan Negeri Selangor akan berusaha menambah hasil pasir dan juga sumber lain dengan menjalankan tadbirurus yang baik.

38) Selari dengan slogan Selangorku, Kerajaan Selangor mahukan seluruh rakyat negeri ini memiliki tanah dan rumah kediaman. Bukan tinggal sebagai setinggan dan duduk merempat di negeri sendiri. Kita telah memperkenalkan skim pemberian geran dengan memperbaiki sistem pemilikan tanah di mana Pejabat-pejabat Daerah Tanah dan Galian akan mengenalpasti rakyat yang tinggal di tanah-tanah TOL (temporary occupancy license) lebih dari 10 tahun untuk diberi hakmilik kekal dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

39) Ribuan geran tanah telah berjaya dikeluarkan bagi maksud ini. Namun terdapat juga golongan yang kurang mampu dan gagal membayar premium yang dikenakan.

40) Kerajaan Negeri Selangor telah melakukan reformasi dengan memperkenalkan Skim Pemilikan Tanah Kerajaan untuk tujuan pembinaan kediaman persendirian di mana rakyat mempunyai pilihan samada membayar keseluruhan harga premium dan mendapat diskaun 30% ATAU memilih untuk membayar premium RM1,000 dahulu dan bakinya hanya perlu dijelaskan apabila hartanah tersebut dijual.

41) Alhamdulillah, reformasi dalam pemilikan tanah ini telah disambut baik oleh orang ramai dan Kerajaan Negeri Selangor berharap lebih banyak masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama sebelum ini dapat diselesaikan secara tuntas.

42) Walaupun Selangor telah diisytihar sebagai negeri maju pada 2005, namun kita merasakan prasarana pentadbirannya belum lagi menunjukkan kita sebuah negeri maju. Timbunan fail-fail di pejabat tanah tidak kurang dari 2 juta fail. Justeru Kerajaan Negeri Selangor telah menempa sejarah dengan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memindahkan fail-fail tanah ke dalam bentuk elektronik. Usaha ini sedang berjalan lancar dan InsyaAllah akan dapat diselesaikan pada tahun hadapan. Sebaik sahaja selesai urusan pemindahan ini, kita akan memperkenalkan konsep ‘dari pejabat tanah ke rakyat (from land office to the people).

43) Melalui sistem ini semakan hak milik boleh dilakukan melalui internet dan kakitangan pejabat tanah akan turun padang untuk bertemu rakyat, khususnya di kawasan kampung bagi menyemak status pemilikan mereka. Saya yakin konsep pergi kepada pelanggan (from office to the people) ini penting, bukan sahaja dapat mengurangkan kerenah birokrasi malah dapat meringankan kos yang ditanggung rakyat. Kaedah ini pasti akan berkembang pada masa akan datang dan Selangor berbangga menerajuinya. Untuk tahun 2012, peruntukan berjumlah RM6 juta akan diberikan bagi pembangunan infrastruktur teknologi maklumat.

44) Sehingga akhir September tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor mengutip sebanyak RM26.9 juta melalui cukai hiburan. Peningkatan sebanyak 2.13% berbanding kutipan tahun lalu pada tempoh yang sama. Jumlah hasil cukai hiburan pada tahun lalu sehingga Disember 2010 berjumlah RM32.5 juta.

45) Terimaan bukan hasil bagi tahun 2011 ialah sebanyak 168.8 juta, meningkat sebanyak 4.72% berbanding terimaan pada tempoh yang sama bagi tahun 2010.

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Sidang Dewan yang dihormati,

46) Setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmahnya tersendiri. Begitulah juga dengan isu air yang hangat diperkatakan sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor. Apatah lagi kebanyakan dari yang cuba memberi komen, saranan dan ugutan tidak mempunyai sebarang kredibiliti dan pengetahuan dalam isu air ini. Dalam pada kita kesal kerana kepincangan yang telah didedahkan dalam pengurusan air di negeri Selangor ini dipandang ringan oleh Kerajaan Persekutuan, namun kita bersyukur akhirnya seluruh rakyat memahami isu sebenar, punca dan akibat daripadanya.

47) Izinkan saya mengambil sedikit masa menerangkan isu ini dengan lebih mendalam. Penswastaan industri air di Selangor bermula pada tahun 1994 dengan operasi rawatan oleh Puncak Niaga, diikuti oleh SPLASH, ABASS dan akhirnya SYABAS pada Disember 2004, hanya memberi lebih manfaat kepada syarikat konsesi berbanding rakyat negeri Selangor. Selepas kelemahan operasi SYABAS didedahkan dalam Laporan Audit Negara pada tahun 2008, satu notis telah dihantar kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberitahu penamatan konsesi SYABAS. Namun ia tidak dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan.

48) Sejak mengambil alih pentadbiran pada tahun 2008, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha membolehkan penstrukturan industri air dibuat untuk manfaat rakyat negeri ini.

49) Sejak itu dan sehingga Januari tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor telah membuat tiga tawaran untuk mengambil alih dan menstrukturkan semula industri air di Selangor dan ia telah diterima oleh ABASS dan SPLASH. Puncak Niaga dan juga SYABAS kekal menolak tawaran ini. Meskipun terdapat kelemahan dalam pengurusan SYABAS, misalnya dalam pelaburan penukaran paip, kenaikan tarif air yang tentunya boleh menambah beban rakyat Selangor cuba diusulkan. Jika kita mengambil kira kadar kenaikan tarif air pada tahun 2009 dan 2012, setiap isi rumah di Selangor akan berdepan dengan kenaikan bil air sehingga 71% berbanding kadarnya pada tahun 2008 sekiranya Kerajaan Negeri Selangor bersetuju dengan cadangan kadar kenaikan tarif tersebut.

50) Kini, rakyat cuba dimomokkan pula dengan kemungkinan Selangor menghadapi masalah air menjelang tahun 2014. Kerajaan Negeri Selangor memandang serius perkara ini kerana sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, nasihat oleh pakar industri air telah diambil. Berdasarkan unjuran pertumbuhan penduduk, jumlah penggunaan air dan kapasiti pengeluaran air, bekalan air yang ada mampu menampung keperluan seluruh Lembah Klang adalah sehingga 2019. Momokan kepada rakyat untuk mendesak Kerajaan Negeri Selangor bersetuju dengan Projek Penyaluran Air Mentah adalah keterlaluan dan tidak bertanggungjawab kerana kajian berkaitan sumber lain serta pengurangan kadar air tanpa hasil (non-revenue water) tidak dilakukan.

51) Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak hakikat bahawa Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor boleh memberikan tambahan kepada bekalan air yang diperlukan, namun biarlah ia dibuat dengan lebih teliti agar ia dapat dilaksanakan dengan baik dan telus. Tuntutan Kerajaan Negeri Selangor dalam hal pengurusan dan bekalan air yang tidak memuaskan oleh SYABAS dan Puncak Niaga mesti turut diambil kira.

52) Malangnya kerajaan Persekutuan nampaknya lebih sanggup membela kroni perniagaan berbanding rakyat Selangor. Namun ia tidak mematahkan semangat kita untuk terus menjaga kepentingan rakyat Selangor. Kerajaan Negeri telah melantik Juru Perunding Kejuruteraan; Tetuan Erinco Sdn Bhd untuk melakukan carian, semakan dan penandaan ke atas semua asset air Selangor dan seterusnya melakukan nilaian terhadap aset-aset tersebut. Harus diingat, aset-aset negeri ini telah digunakan secara percuma oleh kroni yang mendapat konsesi air sedangkan rakyat pula yang dibebankan dengan caj yang tinggi.

53) Pada Jun 2011 maka selesai penilaian yang dilakukan oleh firma tersebut dan nilai asset air rakyat Selangor berjumlah RM12,000 ( Dua Belas Ribu ) juta. Inilah yang saya maksudkan sebentar tadi bahawa setiap perkara yang berlaku itu ada hikmah disebaliknya. Pertarungan antara rakyat Selangor, Syarikat Konsesi Kroni dan Kerajaan Persekutuan akhirnya telah memberi kita makluman bahawa rakyat Selangor mempunyai harta air berjumlah RM12 ribu juta. Harta yang selama ini tidak dipedulikan kerajaan terdahulu dan sewenang-wenangnya digunakan oleh syarikat kroni ini adalah milik rakyat Selangor.

54) Nilai aset air negeri ternyata jauh lebih tinggi daripada aset air pemegang konsesi. Oleh kerana itu, Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan Program Pemberian Air Percuma 20 meter padu sebagai satu pendekatan memulangkan hasil negeri untuk rakyat. Ini bererti jika setiap isi rumah menggunakan 20 meter padu atau lebih setiap bulan, Kerajaan Negeri Selangor membayar sebanyak RM11.40 sebulan atau RM136.80 setahun untuk mereka. Pemberian ini sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan bagi isi rumah, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.

55) Meskipun kita telah membuktikan rakyat Selangor mempunyai lebih hak terhadap pengurusan air namun nampaknya Persekutuan masih mahu terus memihak kepada syarikat kroni; SYABAS dan Puncak Niaga. Pada Mei 2011, Kerajaan Negeri Selangor telah menghantar surat kepada Kerajaan Persekutuan dan mencadangkan satu model holistrik penstrukturan semula industri air Selangor. Model ini akan menyaksikan Agensi Bertujuan Khas Negeri (State Special Purpose Vehicle) menguruskan industri air ini secara meluas, daripada rawatan sehingga kepada agihan, pengeluaran bil serta khidmat pelanggan dan memajakkan aset air kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB); agensi yang ditubuhkan untuk memiliki seluruh aset air negara.

56) Dengan industri air negara telah distrukturkan melalui pengenalan Akta Industri Perkhidmatan Air (2006), cadangan Kerajaan Negeri Selangor memerlukan persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan kuasanya seperti yang terdapat dalam Akta tersebut untuk mengarahkan semua syarikat konsesi menyertai rundingan dengan Kerajaan Negeri Selangor untuk pengambilalihan.

57) Kerajaan Negeri Selangor juga menawarkan rundingan diletakkan di bawah arbitrasi antarabangsa dan sebarang keputusan yang terhasil akan diterima sebagai keputusan akhir. Namun, Kerajaan Persekutuan tidak mahu berbincang mengenainya. Malah, mesyuarat terakhir antara Kerajaan Persekutuan dan pegawai Kerajaan Negeri pada September 2011 menunjukkan mereka hanya berminat untuk mendesak Projek Pemindahan Air dan tidak mahu berbincang tentang isu penstrukturan industri air yang memberi manfaat kepada semua pengguna di Selangor.

58) Selain menolak perbincangan ini, Kerajaan Persekutuan turut membiayai Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB), sebuah syarikat dalam senarai bursa yang pemegang saham majoritinya ialah SYABAS dan Puncak Niaga. Pembiayaan ini dilakukan melalui subsidiari milikan penuh PAAB yang telah menandatangani persetujuan pada 1 November 2011 untuk membeli bon yang dikeluarkan oleh Puncak Niaga pada nilai nominal RM546,875,000 daripada PAAB. Puncak Niaga Holdings Berhad menggunakan dana yang diterima daripada pembelian semula bon yang dikeluarkan pada tahun 2001.

59) Kerajaan Negeri Selangor percaya bahawa sebarang perbincangan tentang masa depan Projek Pemindahan Air perlu dibincangkan bersama penstrukturan industri air di Selangor. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, pada Oktober 2011 kerajaan Selangor telah melantik syarikat juruperunding HALCROW untuk membuat audit kewangan dan teknikal ke atas SYABAS. Apa yang mahu ditegaskan ialah Kerajaan Negeri Selangor tidak dapat menerima Projek Pemindahan Air dijalankan bersama industri air yang lemah dan pada kadar yang membebankan rakyat.

60) Sekiranya cadangan Kerajaan Negeri Selangor diterima, kenaikan tarif sebanyak 71% yang dicadangkan oleh SYABAS boleh dielakkan. Di bawah cadangan Kerajaan Negeri Selangor juga, Agensi Bertujuan Khas Negeri hanya akan melaksanakan peningkatan pada kadar 12% sahaja bagi penjimatan dan mengelakkan pembaziran. Justeri, kenaikan tarif hanya akan berlaku pada kadar minima yang boleh dibiayai bersama.

61) Untuk makluman Tuan-tuan Yang Berhormat, lebih 1.2 juta isi rumah menerima pemberian air 20 meter padu ini dan jika kita mengambil jumlah isi rumah seramai empat hingga lima orang, bermakna hampir seluruh penduduk di Selangor menerima sumbangan ini.

Dato’ Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

MENINGKATKAN KUALITI ASAS KEHIDUPAN KELUARGA DAN MASYARAKAT

62) Strategi seterusnya ialah meningkatkan kualiti asas hidup keluarga dan masyarakat. Selain daripada Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), pemilikan tanah dan rumah serta kemudahan asas untuk pelbagai kegiatan kemasyarakatan akan diberikan perhatian. Turut menjadi keutamaan dalam strategi ini ialah menambahbaik perkhidmatan pembersihan di setiap kawasan.

63) Antara penemuan diperolehi dalam dialog Belanjawan di peringkat Kerjaaan Tempatan ialah keperluan menambahbaik kerja-kerja pelupusan dan pengangkutan sampah. Kerajaan Negeri Selangor telah membuat keputusan agar Kerajaan Tempatan mengambil alih kerja-kerja pembersihan yang selama ini dilakukan oleh Alam Flora sejak sekitar 10 tahun yang lalu.

64) Sebagai langkah pengukuhan, Kerajaan Negeri Selangor telah meminta pihak SIRIM untuk menilai seluruh proses gerak kerja yang dilakukan sebelum ini dan mencadangkan penambahbaikan yang boleh diambil. Pemberian tender juga akan melalui saringan oleh kumpulan profesional. Kerajaan Negeri Selangor berpendapat, kegagalan Alam Flora untuk memberikan perkhidmatan yang memuaskan bercanggah dengan tujuan sebenar penswastaan. Sebahagian peranannya sebagai ‘orang tengah’ hanya merugikan operator sebenar dan juga rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan. Justeru, tindakan untuk mengambil alih ini adalah perlu sehingga satu disiplin persaingan sebenar dalam sistem pengurusan sampah dapat dicapai. Ini bukanlah masalah baru di Malaysia tetapi ia semakin menunjukkan masalah sebenar akibat dari amalan kronisme.

65) Bagi tahun 2012, sebanyak RM7 juta akan diperuntukkan untuk pemuliharaan tapak pelupusan sampah Kubang Badak, Air Hitam, Sungai Kembong, Pulau Ketam dan Sungai Kertas. Peruntukan ini juga akan disalurkan untuk rehabilitasi Sungai Kembong.

66) Untuk menyokong kebersihan kawasan dan keperluan tempat kegiatan masyarakat juga, peruntukan sebanyak RM3 juta akan diberikan bagi Program Zon Bersih, pembaikan kemudahan awam di PBT, termasuk taman permainan dan rekreasi. Untuk infrastruktur asas di PBT, peruntukan sebanyak RM2 juta akan disediakan.

67) Dalam aspek lain, usaha meningkatkan kualiti asas kehidupan ini juga akan dijalankan melalui Program Kerajaan Perihatin. Sejumlah RM4 juta akan diperuntukkan untuk kos tambahan bina baru dan baik pulih rumah di samping bantuan bencana alam, bekalan makanan asasi, penyelenggaraan rumah PPRT, baik pulih lif rumah kos rendah dan penyerahan kunci pemilikan rumah. Peruntukan sebanyak RM500 ribu lagi akan disediakan bagi memperbaiki dewan orang ramai sedia ada.

68) Kerajaan Negeri Selangor percaya bahawa rumah sebagai tempat tinggal adalah penting kerana ia merupakan satu daripada keperluan asas hidup manusia. Justeru, perumahan pada kadar harga patut perlu disediakan. Menurut satu kajian berkaitan rumah mampu milik oleh Bank Negara Malaysia bahawa harga rumah meningkat daripada 5.9 kali ganda pendapatan pada tahun 1989 kepada 10.9 kali ganda pendapatan pada tahun 2010. Jika ini terus dibiarkan, ia boleh meningkat lebih tinggi.

69) Saya juga maklum tentang laporan manipulasi oleh pemaju yang tidak mahu menjual rumah dalam pembinaan dengan alasan ianya telah dibeli dan hanya menjualnya selepas siap di mana harganya telah meningkat. Sekiranya ada bukti nyata dapat ditemui, Kerajaan Negeri Selangor tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Ini penting kerana kita semua mesti belajar daripada salah urus di Amerika Syarikat sehingga memberi kesan kepada ekonomi global.

70) Semasa tempoh awal pentadbiran selepas Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor telah dimaklumkan bahawa terdapat 140 projek perumahan dibiarkan terbengkalai. Kelemahan yang berlaku dalam pentadbiran dahulu ini tentulah sesuatu yang sangat mendukacitakan dan tidak wajar dibiarkan berulang. Justeru, inisiatif telah diambil untuk memulihkannya. Setakat ini 23 projek pemulihan telah dilaksanakan melibatkan 9179 buah rumah.

71) Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberi fokus kepada penyediaan rumah mampu milik selepas berjaya menyelesaikan Projek Perumahan di Bukit Botak, satu lagi masalah berlarutan yang ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu tanpa penyelesaian.

72) Rumah mampu milik dengan keluasan 850 hingga 1000 kaki persegi ini dikhususkan kepada golongan berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan. Dianggarkan PKNS akan membina sebanyak 11,000 unit rumah setiap tahun. Projek sulungnya telah pun dilancarkan di Bangi beberapa bulan lalu.

73) Apa yang mahu saya jelaskan di sini, rumah mampu milik yang akan dibina ini akan dijual pada harga sekitar RM100,000 ke RM150,000. Ini adalah jauh lebih murah berbanding rumah mampu milik yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan yang dijual melebihi RM200,000.

74) Saya mahu tegaskan di sini bahawa jika kita jujur dan mahu menguruskan ekonomi dengan lebih baik, perbezaan ketara yang ditunjukkan melalui projek ini tidak harus berlaku. Saya percaya produktiviti rakyat akan bertambah lebih baik sekiranya mereka tidak dibebankan dengan kos sara hidup yang tidak bergerak selari dengan kenaikan gaji. Lebih malang lagi jika kos ini dibebankan kepada mereka hanya untuk memperkaya sejumlah pihak yang dilindungi oleh dasar-dasar tempang.

75) Kerajaan Negeri Selangor juga akan berusaha memastikan hanya mereka yang layak sahaja diberikan peluang untuk membeli rumah mampu milik ini. Kita tidak mahu mengulangi kecuaian lama di mana rumah untuk rakyat termiskin telah dibeli oleh orang yang jauh lebih besar kemampuannya dan kemudian disewakan kepada golongan sasar sebenar. Sikap demikian adalah pengkhiantan dan tidak wajar dibiarkan.

76) Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM4 juta untuk memasang kamera litar (CCTV) di kawasan-kawasan strategik dengan pencahayaan yang baik untuk tujuan peningkatan keselamatan dan pencegahan jenayah.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua dan Sidang Dewan,

MELESTARIKAN PEMBANGUNAN

77) Melestarikan pembangunan adalah strategi ketiga untuk Belanjawan 2012. Ia bermaksud pembangunan yang mengambil kira aspek alam sekitar, khazanah seni-budaya dan jurang antara luar bandar dan bandar.

78) Selain daripada pembangunan kualiti asas kehidupan yang dinyatakan sebelum ini, program alam sekitar yang bersifat penyelidikan dan pendidikan akan dilaksanakan melalui peruntukan sebanyak RM400 ribu. Pemuliharaan bio-kepelbagaian pula akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM50 ribu.

79) Kerajaan Negeri Selangor juga ingin mengumumkan bahawa Teater Diraja Selangor telah dipulihkan dan akan boleh beroperasi pada bulan Disember nanti insyaAllah. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Selangor berbesar hati untuk menambah peruntukan kebudayaan sebanyak RM500 ribu bagi tujuan ini. Program-program kebudayaan yang dimaksudkan di sini termasuk aktiviti seni dan teater serta dialog dan kolokium.

80) Kawasan-kawasan bersejarah di Kuala Langat, Kuala Selangor dan Hulu Selangor juga akan ditambah baik dengan peruntukan sebanyak RM3.2 juta. Tambahan sebanyak RM500 ribu akan diberikan untuk pembangunan muzium di Istana Bandar, Jugra dan RM2.8 juta lagi bagi menaiktaraf Muzium Sultan Alam Shah.

81) Dalam aspek pembangunan desa dan luar bandar, termasuk Kampung Baru, Kampung Bagan dan Kampung Tersusun, peruntukan berjumlah RM12.5 juta akan disediakan. Ini melibatkan penyediaan pusat pengumpulan hasil dan juga ekonomi desa di samping memperkasa ilmu dan kemahiran masyarakat desa. Termasuk dalam peruntukan ini ialah baik pulih infrastruktur jalan di luar bandar, pembangunan kecil di kampung baru, kampung bagan serta kampung tersusun dan latihan kepada para penggerak di kawasan-kawasan terbabit. Tambahan sebanyak RM500 ribu juga disediakan untuk pembangunan pinggir bandar.

82) Dalam aspek pembasmian kemiskinan, RM2 juta akan diperuntukkan kepada kumpulan sasar yang layak. Program pembangunan ekonomi bagi petani, nelayan dan penternak pula akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2.2 juta. Ini tidak termasuk peruntukan sebanyak RM500 ribu bagi tujuan kebajikan. Program Pembangunan Pekerja Ladang akan diperuntukkan sebanyak RM300 ribu.

83) Pembangunan lestari juga mengambil kira kawasan dan produk untuk dinikmati melalui pelancongan. Bagi tujuan promosi dan pembangunan produk pelancongan termasuk kraf tangan, sebanyak RM4.7 juta diperuntukkan. Industri kampung pula akan diberikan peruntukan sebanyak RM2 juta dan promosi Industri Kecil dan Sederhana akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM300 ribu. Ini tidak termasuk galakan untuk satu kampung satu produk yang akan diperuntukkan sebanyak RM100 ribu.

84) Sebagai insentif kepada jawatankuasa penduduk yang aktif, Kerajaan Negeri Selangor berhasrat memperkenalkan pelekat kenderaan untuk pengecualian bayaran di parkir milik Kerajaan Tempatan masing-masing. Semoga insentif ini dapat memudahkan mereka untuk bergerak dan menjalankan urusan kepentingan setempat.

85) Selain itu, latihan untuk jawatankuasa penduduk akan diberikan dengan penekanan kepada kemahiran kepimpinan, kemahiran berfikir dan juga pendedahan kepada konsep Pembangunan Komuniti Berasaskan Aset (Asset-Based Community Development (ABCD). Konsep ini penting dalam usaha pembangunan lestari di mana penghakupayaan dapat berlaku dengan penglibatan aktif penduduk menggunakan aset setempat secara optimum. Saya yakin sekiranya seluruh kemahiran ini diaplikasikan, ia akan mendorong banyak penyelesaian dengan cekap.

Dato’ Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

MENDORONG MASYARAKAT BERILMU, BERAKHLAK MULIA DAN HIDUP SIHAT

86) Seterusnya sebagai strategi keempat, Kerajaan Negeri Selangor akan mendorong masyarakat berilmu dan berakhlak. Hasrat ini penting kerana sesungguhnya sistem itu tidak akan bergerak sendiri melainkan digerakkan oleh manusia. Maka, sistem yang baik memerlukan masyarakat yang berilmu dan berakhlak sebagai pemacunya.

87) Program Pendidikan yang memuatkan antara lain Pusat Tusyen Rakyat dan Program Pendidikan Tinggi untuk mahasiswa negeri Selangor akan menerima peruntukan sebanyak RM4 juta, dengan masing-masing akan mendapat RM2 juta.

88) Selain daripada itu, Program SPIES akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM3 juta dan Program Generasi Idaman Selangor (GEMS) akan melibatkan perbelanjaan RM1 juta. Sebagai penambahbaikan kepada program ini, Kerajaan Negeri Selangor akan menilai modul dan impaknya kepada para peserta yang telah mengikuti siri latihan terdahulu. Penilaian terhadap kos perunding latihan di bawah program ini juga akan disemak semula.

89) Bagi Tabung Pendidikan untuk Anak Pekerja Ladang, peruntukan berjumlah RM 1 juta akan diberikan. Masyarakat Orang Asli juga akan diperuntukkan sebanyak RM100 ribu untuk pembangunan mereka. Program-program untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), anak yatim dan kanak-kanak akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1 juta. Ini tidak termasuk peruntukan sebanyak RM2 juta bagi pembasmian kemiskinan dengan pemberian khusus sebanyak RM100,000 kepada anak-anak pesawah padi.

90) Untuk menggalakkan fungsi agama dan budaya sebagai sumber pendidikan akhlak, bantuan pendidikan yang diberikan untuk Sekolah Agama, Sekolah Tamil dan Sekolah Cina sebanyak RM16 juta setahun diteruskan. Selain daripada itu, rumah ibadat bagi agama dan kepercayaan bukan Islam juga akan menerima peruntukan sebanyak RM3 juta.

91) Seterusnya, Projek Pembangunan Belia akan menerima peruntukan sebanyak RM3.5 juta. Peruntukan lain yang banyak dikaitkan dengan anak muda juga ialah Pembangunan Sukan, melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4 juta. Pusat latihan belia di Bukit Lagong juga akan ditambah baik dengan peruntukan sebanyak RM100 ribu.

Ahli-ahli Dewan Yang Dimuliakan,

92) Kerajaan Negeri Selangor juga berhasrat untuk memberi latihan bagi kemajuan wanita dan keluarga melalui peruntukan sebanyak RM500 ribu. Adalah diharapkan melalui seluruh bantuan ini, wanita akan lebih berperanan dalam pembangunan keluarga dan masyarakat.

93) Bagi program latihan dan pembangunan usahawan serta latihan teknikal, sebanyak RM2.25 juta akan diperuntukkan.

94) Kerajaan Negeri Selangor juga berhasrat untuk menambah baik kualiti perkhidmatan kerajaan melalui peruntukan latihan sebanyak RM500 ribu. Ini tidak termasuk semua kemudahan teknologi yang ditingkatkan serta perbelanjaan mengurus dan penyelidikan. Bagi meringankan beban sara hidup yang tinggi akibat kenaikan harga barang dan tangga gaji yang tidak seimbang, saya juga ingin mengumumkan bonus sebanyak setengah bulan gaji dengan pemberian minima sebanyak RM500 kepada seluruh kakitangan awam di negeri Selangor, termasuk kakitangan di Kerajaan Tempatan.

95) Berkaitan dengan kepentingan membaca, saya juga ingin memaklumkan bahawa Perpustakaan Awam Negeri Selangor telah pun siap untuk digunakan dengan tarikan yang pelbagai, termasuk dewan seminar dan juga perkhidmatan Teater. Saya juga berharap para perkumpulan ilmu boleh memanfaatkan ruang ini untuk beraktiviti. Sumbangan semua pihak untuk memastikan Perpustakaan canggih dengan kos binaan sebanyak RM70 juta ini dapat diselenggara dengan baik serta dapat memuatkan buku-buku rujukan terbaik juga sangat dialukan.

96) Selain itu, perpustakaan desa dan daerah akan turut dimajukan, khususnya di Klang dan Tanjung Karang dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

97) Kerajaan Negeri Selangor akan menggerakkan semua syarikat yang dimiliki kerajaan untuk membuat inovasi dalam operasi mereka, di mana keuntungan yang diperolehi boleh membantu pertumbuhan dan program kerajaan negeri. Sebagai contoh, sebelum ini Kumpulan Semesta telah diberi tanggungjawab mengendalikan kelulusan perlombongan pasir dan perolehan sebanyak RM10 juta disumbangkan kepada warga usia emas dalam program ‘Jom Shopping’ selepas membuat kutipan royalti sekitar RM35 juta sehingga April tahun ini. Kita menjangka kutipan royalti ini akan bertambah pada tahun hadapan memandangkan banyak projek pembangunan telah diumumkan di peringkat Persekutuan dan akan dibuat di peringkat negeri.

98) Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) akan diteruskan pada tahun ini. Ini melibatkan Program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dengan peruntukan RM 7.5 juta, Hadiah Anak Masuk Universiti sebanyak RM7.7 juta, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sebanyak RM20.7 juta, RM50 ribu untuk Pusat Khidmat Sehenti, RM2.5 juta untuk Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang, RM1 juta untuk Skim Kesihatan Wanita dan RM3 juta untuk Elaun Anak ke Nurseri. Ini akan dibiayai oleh hasil negeri. Selain itu, pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu akan tetap diteruskan dan dibiayai oleh dividen syarikat milik kerajaan negeri.

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Sidang Dewan,

99) Program-program yang saya sebutkan sejak tadi adalah sebahagian daripada apa yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun hadapan. Dengan jumlah peruntukan yang terbatas, saya ingin mengulangi sekali lagi kepentingan kualiti membuat keputusan dan menyelesaikan masalah di semua peringkat agar setiap perbelanjaan yang bakal dikeluarkan memberi hasil yang optimum.

Ahli Dewan Yang Dimuliakan,

BAGAIMANA REFORMASI TELAH MEMBERI MANFAAT KEPADA RAKYAT SELANGOR.

100) Bertahun-tahun lamanya pentadbiran kerajaan negeri Selangor dan syarikat-syarikat pautan kerajaan (GLC) diurus secara tidak teratur dan tidak berdisiplin hingga telah mewujudkan suasana yang bermasalah dengan amalan rasuah, perjanjian usahasama yang berat sebelah dan pemberian projek kepada kroni yang hanya menguntungkan segelintir orang tetapi merugikan rakyat secara keseluruhannya.

101) Sejak Mac 2008, kerajaan Pakatan Rakyat telah mengamalkan reformasi dalam pentadbirannya yang amat mementingkan ketelusan, kecekapan dan pertanggungjawaban serta bersih dari amalan rasuah dan kronisma.

102) Kini, setelah empat tahun amalan reformasi, jelas memberi keuntungan yang nyata dan kita percaya ini adalah masa yang sesuai untuk memberi faedah yang dituai dari pentadbiran yang bersih dan telus kepada rakyat Selangor.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

103) Justeru itu, Kerajaan Negeri berbesar hati untuk mengumumkan “Geran Selangorku” dengan peruntukan sebanyak RM300 juta yang akan digunakan pada tahun 2012 untuk faedah rakyat Selangor.

104) Geran ini berasaskan dana sumbangan dividen daripada GLC Negeri serta keuntungan daripada operasi MBI yang berjaya mendapatkan hutang-hutang lapuk dari Syarikat Talam Corporation. Begitu juga hasil dari penstrukturan semula projek Canal City dan pengenalan polisi pemberimilikan tanah mengikut harga pasaran. Jika dahulu keuntungan ini hanya dimanfaatkan oleh rakan kongsi usaha sama yang berat sebelah serta kroni orang-orang yang berkuasa, kali ini habuan besar ini akan kita agihkan kepada rakyat Selangor. Ini sekali gus membuktikan bahawa pentadbiran tanpa rasuah dan kronisma serta pengurusan yang cekap dan tiada ketirisan telah memberi manfaat kepada rakyat Negeri Selangor. Inilah hasil reformasi yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat selama ini.

105) Geran ini akan diuruselia oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI) kerana MBI adalah kenderaan yang paling sesuai untuk menjalankan tanggungjawab ini. Sebagai pemerbadanan yang memegang pelaburan dalam GLC Negeri, MBI mempunyai kuasa penyeliaan ke atas semua GLC Negeri dan oleh itu dapat menyelaras kutipan dana untuk geran ini. Oleh kerana pengurusan MBI adalah bersepadu (integrated) dengan pentadbiran kerajaan negeri, ia mampu untuk memastikan geran di urus dengan baik dan teratur.

106) Program-program yang akan dilaksanakan melalui Geran Selangorku ini adalah seperti berikut:

i. Pengenalan gaji minima

Bagi syarikat milik kerajaan negeri, pengumuman telah dibuat sempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia bahawa gaji minima akan diperkenalkan pada kadar RM1,500 gaji kasar (gross income). Ini akan dimulakan oleh syarikat milik kerajaan negeri yang prestasi kewangannya stabil seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Worldwide. Bagi syarikat milik kerajaan negeri yang prestasi kewangannya belum stabil, dana sebanyak RM10 juta akan disediakan untuk menampung syarikat kerajaan negeri yang tidak berupaya menampung kos untuk dasar ini.

Kerajaan Negeri Selangor akan berusaha meningkatkan produktiviti negeri dan syarikat yang dimiliki supaya ia layak melaksanakan gaji minima. Pemberian gaji minima ini akan disokong oleh produktiviti pekerja yang akan diselaras agar bersesuaian dengannya. Ia bertujuan untuk meningkatkan kemuliaan insan dan tidak diberikan secara unilateral. Hasrat sebenar bukanlah untuk menabur wang tetapi untuk memberi tambahan pengetahuan dan kemahiran kepada pekerja yang berpendapatan rendah. Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan mereka tidak lagi bergantung kepada pemberian pada masa akan datang tetapi mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang cukup untuk bersaing dan boleh diguna untuk mencapai gaji yang lebih baik.

ii. Program Memperkasakan Wanita

Geran terhad dengan peruntukan sebanyak RM30 juta akan disediakan untuk Program Memperkasakan Wanita. Ia bertujuan untuk mendorong kesetaraan jantina, membasmi kemiskinan dan membantu penyelesaian pelbagai isu berkaitan wanita. Ini termasuk program keusahawanan sosial (social enterprise) untuk mereka. Keusahawanan sosial adalah pendekatan yang kian popular di dunia di mana strategi niaga digunakan untuk mencapai tujuan sosial yang lazimnya hanya dilakukan oleh yayasan atau badan kebajikan.

iii. Program Keusahawanan Muda

Generasi muda juga akan diberi peluang menambah nilai perniagaan mereka melalui geran terhad sebanyak RM50 juta. Tumpuan akan diberikan kepada inovasi yang boleh memberi kelebihan bandingan (comparative advantage).

iv. Pembinaan Infrastruktur Sukan

Kemudahan infrastruktur sukan akan ditambah dan juga ditingkatkan berdasarkan keperluan dengan peruntukan RM30 juta.

v. Program Sokongan Pendidikan

Sebanyak RM30 juta akan disalurkan untuk sokongan pendidikan kepada sekolah-sekolah yang sangat memerlukan bantuan khususnya dalam menyediakan kemudahan asas bagi pendidikan. Kerajaan Negeri Selangor percaya bahawa isu ini memerlukan perhatian khas semua pihak kerana jurang yang pelbagai dalam masyarakat hanya boleh ditangani dengan lebih baik jika pendidikan berkualiti dapat disediakan.

vi. Program Dari Kebajikan Kepada Pekerjaan (From Welfare to Work)

Sebagai satu inisiatif untuk meningkatkan taraf hidup rakyat ini terutama bagi golongan yang bergantung dengan bantuan kebajikan maka satu program akan diatur untuk mereka keluar dari kepompong tersebut. Hasrat Kerajaan adalah melahirkan rakyat Selangor yang bermaruah dan berjati diri. Peruntukan sebanyak RM20 juta akan diberi dalam bentuk penempatan latihan vokasional dan kemahiran lain bagi membolehkan peserta mendapatkan pekerjaan.

vii. Program Jangkaan Kehidupan Bandar (Urban Living)

Kerajaan Negeri Selangor juga percaya perubahan corak pembangunan juga penting untuk ditelah. Ia melibatkan kajian tentang kualiti dan kuantiti pertumbuhan persekitaran dan hubung kait dan integrasi kawasan dengan kawasan lain serta corak ekonomi dan sosial setempat. Adalah penting untuk kita semua menjangka kehidupan pada masa akan datang agar adaptasi dapat dilakukan dengan lebih baik dan tidak berlaku kejutan dalam rancangan pembangunan serta budaya. Pada masa yang sama, alternatif perkampungan bandar (rubanisasi) juga boleh diteroka sebagai pilihan.

viii. Program Pembasmian Rasuah dan Penyelewengan

Menganggap Rasuah sebagai sebagai satu musuh utama bagi Negara tidak memadai andai tiada usaha untuk menanganinya. Statistik bahawa Malaysia berada di tangga ke 56 indeks rasuah amat mengerikan. Justeru, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Program Pembasmian Rasuah dan Penyelewengan. Sebanyak RM15 juta akan diperuntukkan untuk masyarakat madani menggerakkan program ini dalam bentuk geran terhad. Pelapor kes rasuah dan penyelewengan di dalam agensi Kerajaan Negeri Selangor yang berjaya dibuktikan juga akan diberikan hadiah oleh Kerajaan Negeri Selangor.

ix. Program Pengukuhan Demokrasi

Kerajaan Negeri Selangor juga percaya bahawa demokrasi harus mencerminkan kuasa rakyat dalam membuat pilihan adil dan bebas. Kuasa ini yang seharusnya ditunjuk melalui proses pilihan raya yang Adil dan Bebas sangat penting kerana rakyat berhak mendapat sebuah kerajaan yang baik untuk masa depan generasi akan datang. Justeru, peruntukan sebanyak RM5 juta akan disediakan bagi geran terhad dalam mengukuhkan Proses Pilihan Raya yang Adil dan Bebas di Malaysia. Ini melibatkan aktiviti kesedaran dan juga latihan sukarelawan serta pemantau pilihan raya.

x. Program Pengukuhan Budaya

Pengukuhan budaya dalam masyarakat Malaysia adalah sangat penting kerana elemen budaya sarat dengan nilai tinggi berkaitan kehidupan dan kemanusiaan. Justeru, peruntukan sebanyak RM3 juta akan diberikan dalam bentuk geran terhad kepada para aktivis budaya untuk merancakkan aktiviti di negeri ini.

xi. Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar

Untuk pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, RM3 juta akan diperuntukkan bagi Projek Konservasi Bakau serta Projek Pemeliharaan Permatang Kuartza Klang Gates yang merupakan permatang kuartza terpanjang di dunia.

xii. Program Peningkatan Kualiti Hidup Rakyat.

Peruntukan sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk mengkaji dan merancang program meningkatkan taraf kesihatan rakyat Selangor terutama warga emas dan orang kelainan upaya.

xiii. Program Dari Pejabat kepada Rakyat.

Sejumlah RM20 juta diperuntukkan kepada program bagi memastikan rakyat mudah mendapat perkhidmatan dari kerajaan negeri. Ini termasuk perkhidmatan on line di pejabat-pejabat tanah. Program ini juga bertujuan menggerakkan pejabat-pejabat tanah kepada rakyat bagi menggantikan cara konvensional dimana rakyat akan berpusu-pusu ke pajabat tanah untuk urusan tanah mereka. Ini termasuklah membuat semakan/carian hinggalah kepada membayar cukai-cukai tanah. Perkara ini penting kerana pada kebanyakan masa nilai cukai yang mahu dibayar jauh lebih rendah berbanding kos pengangkutan dan kos penyelenggaraan. Dengan cara ini akan mampu mengurangkan belanja mengurus yang akhirnya membawa kepada pengurangan terhadap cukai.

xiv. Penggerak Pembangunan Luar Bandar.

Peruntukan sebanyak RM22 juta diperuntukkan kepada program penggerak pembangunan Luar Bandar yang mana program ini mensasar kepada penduduk luarbandar yang berpendapatan kecil seperti petani dan nelayan. Program ini termasuk antara lain pembinaan infrastuktur dan program pemasaran hasil petani dan pekebun kecil.

xv. Program Peningkatan Kemahiran Penjawat Awam.

Penjawat awam harus meningkatkan kemahiran mereka setara dengan sektor swasta. Justeru Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi program latihan dan kursus bagi meningkatkan tahap kemahiran dan kecekapan penjawat awam.

xvi. Program Penerangan maklumat Negeri.

Peruntukan sejumlah RM10 juta diperuntukkan bagi memberi penerangan kepada rakyat tentang polisi dan program-program kerajaan negeri serta meningkatkan tahap informasi rakyat Selangor.

Xvii Pembaikan Infrastruktur.

Sejumlah RM50 juta telah diperuntukkan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat terutama para pengguna kemudahan awam. Ini termasuk dana bagi pembaikan jalanraya dan juga perparitan di seluruh negeri.

Dato’ Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

PERUNTUKAN BELANJAWAN 2012

107) Berbalik kepada peruntukan belanjawan daripada hasil negeri, izinkan saya membentang jumlah dan pecahannya untuk negeri Selangor bagi tahun 2012.

108) Hasil Cukai bagi tahun 2012 dianggarkan bertambah sebanyak RM574,674,000, berbanding RM530,980,000 pada tahun lalu. Ini menunjukkan pertambahan sebanyak 8.23% atau RM43,694,000.

109) Bagi Hasil Bukan Cukai, pertambahan dijangka sebanyak RM187,439,380 atau 40.12%, daripada RM467,164,360 kepada RM654,603,740.

110) Namun, Terimaan Bukan Hasil dijangka berkurangan daripada RM431,855,640 kepada RM370,722,260, iaitu sebanyak RM61,133,380 atau –14.16%.

111) Dengan jumlah anggaran hasil untuk tahun 2012 ini, saya ingin mencadangkan RM1,600 juta atau RM1.6 billion sebagai jumlah peruntukan bagi Belanjawan 2012, iaitu kenaikan sebanyak 11.89% berbanding RM1,430 juta atau RM1.43 billion jumlah Belanjawan 2011.

112) Daripada jumlah ini, RM1,000 juta atau RM1 billion akan diperuntukkan untuk belanja mengurus dan RM600 juta diperuntukkan untuk belanja pembangunan.

113) Daripada RM1 billion belanja mengurus, agihan dibuat untuk emolumen sebanyak 32.3% atau RM323,085,383; bekalan dan perkhidmatan sebanyak 37.1% atau RM371,387,272; aset sebanyak 0.8% atau RM8,079,568, pemberian dan kenaan bayaran tetap sebanyak 28.4% atau RM284,182,697 dan belanja lain sebanyak 1.5% atau RM13,265,080.

114) Sementara itu, daripada jumlah RM600 juta belanja pembangunan yang akan diagihkan kepada sektor-sektor utama, Sektor Infrastruktur akan diperuntukkan sebanyak 68% atau RM411,091,860; Sektor Sosial sebanyak 17% atau RM100,060,130; Sektor Ekonomi sebanyak 14% atau RM84,240,010 dan Sektor Perbandaran sebanyak 1% atau RM4,608,000.

115) Dengan mengambil kira Geran Selangorku sebanyak RM300 juta dan Belanjawan Berimbang sebanyak RM1.6 billion, belanjawan penuh Selangor bagi tahun 2012 ialah sebanyak RM1.9 billion.

Sidang Dewan yang dimuliakan,

116) Belanjawan 2012 Negeri Selangor adalah Belanjawan berimbang dengan hasrat yang tinggi untuk memastikan setiap perbelanjaan yang dikeluarkan dapat diterjemahkan nilainya. Ia berbeza dengan Bajet Persekutuan yang banyak bersifat pemberian sekali (one-off). Sebaliknya Belanjawan 2012 ini dirancang untuk menekankan aspek kelestarian melalui peningkatan kemahiran serta pembangunan infrastruktur. Dalam jangka panjang Belanjawan ini dijangka akan mengurangkan penggantungan berterusan rakyat kepada bantuan kerajaan. Kerajaan Pusat pada masa yang sama mengamalkan budaya meminjam untuk berbelanja sedangkan reformasi yang diamalkan kerajaan Selangor bukan sahaja bijak berbelanja tetapi juga bijak mencari sumber pendapatan baharu.

117) Selangorku adalah mesej bahawa negeri ini adalah milik kita bersama. Hasil Negeri untuk Rakyat adalah mesej untuk kita bekerja dengan penuh tanggungjawab.

118) Saya memohon kepada ALLAH Subhanahu WaTa’ala agar kita semua diberikan petunjuk dan hidayah, kekuatan dan kesetiaan untuk melaksanakan keadilan kepada semua.

Dato’ Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

119) Demikianlah pembentangan Belanjawan 2012 Negeri Selangor. Semoga dengan amanah dan tanggungjawab yang dipikul dengan baik dapat menjadikan negeri ini sejahtera dan diampuni Allah Subhanahu WaTa’ala (Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur).

Saya dengan ini mohon mencadangkan. Terima kasih.