Loading...

Tuesday, November 1, 2011

Wahai Ketua Audit Negara, betulkah nasi RM3 sepinggan?

Ooi Heng | Nov 01, 2011 04:21:04 pm

Semasa membentangkan Belanjawan Negara 2012 pada 7 Oktober 2011, Perdana Menteri - yang anak perempuannya membelanjakan kira-kira RM180 ribu untuk barangan jenama di David Jones, sebuah gedung terkemuka di Australia - memberitahu Majlis Dewan Rakyat yang sedang bersidang bahawa, untuk memperkukuh pembangunan infrastruktur asas desa secara lebih komprehensif, peruntukan RM5 bilion akan disediakan pada tahun 2012 untuk projek-projek bekalan air, elektrik dan jalan raya khususnya di Negeri Sabah dan Negeri Sarawak.

Berlandaskan konsep-konsep seperti Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA), Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dan seumpamanya, Perdana Menteri yang isterinya ghairah dengan cincin berlian, cuba melakarkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan yang prihatin terhadap pembangunan desa, Sabah dan Sarawak melalui pengumuman Belanjawan Negara 2012 yang disifatkan sebagai "Belanjawan Pilihan Raya" meskipun para pemimpin BN menafikannya.

Realiti hari ini ialah, BN bakal berdepan dengan krisis "kelangsungan hayat" (survival) memerintah apabila tiba Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13) nanti. Senario hari ini menyaksikan betapa pentingnya undi desa, Sabah dan Sarawak terhadap soal kelangsungan hayat BN. Justeru, banyak projek dijanjikan, jumlah peruntukan besar diagihkan. Namun, rekod penyampaian dan pelaksanaan serta dakwaan bazir dan penyelewengan juga mencorakkan perbualan harian rakyat Malaysia dari semasa ke semasa.

Demi kelangsungan hayat diri dan parti yang telah lama menyimpang daripada tujuan asal penubuhannya bergelar Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, Perdana Menteri - yang dirinya ketagih dengan imej cool sehingga sanggup belanja berjuta-juta untuk perkhidmatan syarikat antarabangsa demi mempersendakan golongan berpendapatan rendah dan sederhana dengan sepinggan nasi berharga RM3 - telah menaburkan pelbagai janji khususnya sekitar tempoh Pilihan Raya Negeri Sarawak dan yang terbaru melalui pengumuman Belanjawan Negara 2012 sebagai persiapan menghadapi PRU Ke-13.

Janji si anak bangsawan yang paling hangat diperkatakan malahan dikritik sebagai mengandungi elemen rasuah ialah kenyataan "you help me, i help you" yang dipopularkan oleh dirinya semasa pilihan raya kecil di Sibu dan tersirat dalam ucapan belanjawannya baru-baru ini.

Kelemahan Kerajaan Persekutuan dari segi tadbir urus dan kapasiti pelaksanaan juga dapat dirumuskan melalui pelbagai penemuan Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang hanya dikemukakan dalam Dewan Rakyat tujuh belas hari selepas dikemukakan kepada Kabinet BN yang disifatkan oleh "Guru Perlembagaan" Abdul Aziz Bari (gambar kiri) sebagai tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Memandangkan projek-projek di Sarawak melibatkan peruntukan besar merupakan janji seorang Perdana Menteri dan seorang Timbalan yang hubungan mereka diibaratkan sebagai CatDog (baca akhbar Harakah 31 Oktober – 3 November 2011) dan janji seumpama dibuat semenjak awal tahun 2010 sehingga baru-baru ini, mengapakah Laporan Ketua Audit Negara 2010 tidak menyediakan penemuan berhubung senarai projek Sarawak tersebut bagi tahun 2010? Sejauh mana tahap pelaksanaannya? Adakah majoriti projek tersebut melibatkan rundingan terus? Apakah maklum balas kerajaan terhadap kelemahan dan kecacatan yang wujud? Apa pula cadangan Ketua Audit Negara dalam hal ini?

Pembaca yang celik pasti sedar, lumrahnya "missing part" (kalau ada) lebih menarik daripada apa yang dipersembahkan. Persembahan sepinggan nasi berharga RM3 memerlukan belanja besar perkhidmatan syarikat antarabangsa. "Missing part" tak perlukan juru kamera, "silence is also an answer".

Berdasarkan jawapan yang diberi kepada ahli parlimen Seputeh Teresa Kok pada 21 Jun 2011 oleh si anak bangsawan, sehingga 30 April 2011, sebanyak 62 program/projek bernilai RM 1.18 billion telah diumum untuk dilaksanakan di seluruh Negeri Sarawak.

Namun, berdasarkan maklumat yang diperolehi Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), apabila diteliti senarai projek yang dijanjikan oleh si anak bangsawan dan Timbalannya, sehingga 1 Oktober 2011, sebanyak 310 projek bernilai RM2.3 bilion telah diluluskan untuk dilaksanakan di seluruh Negeri Sarawak.

Namun, tahap penyempurnaan projek masih tidak memuaskan. Penemuan KPRU (bukan penemuan Ketua Audit Negara) adalah seperti berikut: daripada 310 projek yang dijanjikan, projek yang belum disempurnakan melibatkan projek bernilai besar sehingga mencakupi 91.86% (bersamaan dengan RM2 bilion) daripada jumlah kos keseluruhan bagi semua projek bernilai RM2.3 bilion.

Sesungguhnya, sama ada projek berkaitan masih dalam pelaksanaan atau telah disiapkan, pelbagai kontroversi atau tuduhan yang berbangkit tidak diendahkan oleh pihak berkaitan dalam kerajaan. Kontroversi atau tuduhan yang berbangkit merujuk kepada antara lain, pembaziran yang berlaku, ketidaktelusan kerana pemberian projek secara rundingan terus dan sebagainya.

Umpamanya, projek bekalan elektrik luar bandar bagi kawasan Parlimen Serian dengan kos RM18.7 juta dengan sembilan projek melibatkan 608 buah rumah. Projek tersebut diberikan secara rundingan terus dan menimbulkan kontroversi. Dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Menteri tidak dilayan oleh Kerajaan BN.

Semenjak 21 Oktober 2009, ahli parlimen Batu Tian Chua telah mengemukakan bukti tambahan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Mohamad Shafie Apdal (gambar kiri) dalam pemberian projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Sabah dan Sarawak. Shafie didakwa sebagai menteri yang bertanggungjawab telah menggunakan kroni-kroninya sebagai "broker" untuk menganugerahkan projek BELB kepada kontraktor yang sudi memberi komisyen kepada beliau.

Kemudian, Tian Chua mendedahkan bukti mengenai dua lagi syarikat yang diberikan kontrak berjumlah RM30 hingga RM80 juta oleh BELB melalui rundingan terus, bukan melalui tender. Menurutnya, dua syarikat berkenaan iaitu Magnate Innovation Sdn Bhd dan Ternama Tabah Sdn Bhd tidak memenuhi kriteria sebagai syarikat kontraktor kerana tidak berdaftar dengan pusat khidmat kontraktor (PKK) dan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga serta tiada sijil pengiktirafan taraf bumiputera. Magnate Innovation Sdn Bhd didaftarkan pada 12 Februari lalu dengan modal hanya RM2. Manakala Ternama Tabah Sdn Bhd bermodalkan RM100.

Sehingga hari ini, kes ini tidak melihatkan sebarang perkembangan walaupun telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kini syarikat projek tersebut dimaklumkan sebagai Shorefield Sdn. Bhd. Apakah syarikat tersebut merupakan penjelmaan baharu syarikat sebelum itu yang didakwa tidak memenuhi kriteria? Pelbagai persoalan menunggu jawapan si anak bangsawan yang menabur janji tersebut.

Lebih penting ialah keutamaan diberi kepada pelaksanaan pemberian projek melalui proses pembidaan atau tender terbuka dan bukannya rundingan terus. Semasa melancarkan Pelan Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada 25 Oktober 2010, si anak bangsawan cuba melakarkan harapan baharu kepada rakyat Malaysia dengan menjanjikan pelaksanaan pemberian projek ETP melalui proses tender kompetitif (competitive tender). Izinkan saya memetik kata-katanya:

We will ensure the big projects are conducted in an open and transparent way. To ensure a level playing field, we will use competitive tender as the "default" process. Only in exceptional cases, we will resort to restricted or direct negotiations.

Terjemahannya berbunyi: Kita akan memastikan projek besar dikendalikan dengan cara terbuka dan telus. Bagi mewujudkan suasana sihat dan adil, kita akan menetapkan persaingan pembidaan sebagai proses utama. Hanya dalam kes tertentu, kita akan mengizinkan rundingan terhad atau terus.

Namun, janji si anak bangsawan bahawa projek besar akan diberikan melalui proses pembidaan nampaknya bercanggah dengan apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN. Hal ini dapat dibuktikan dengan meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Umpamanya, Kementerian Kesihatan telah menandatangani perjanjian bernilai RM92.04 juta pada November 2007 bagi projek pembinaan klinik desa dan dua unit kuarters kelas G (KD2G) meliputi 87 lokasi di seluruh negara. Enam kontraktor telah dilantik secara tender terhad untuk melaksanakan pembinaan di enam zon iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Timur, Zon Sabah, dan Zon Sarawak. Namun, Ketua Audit Negara mendapati bahawa kesemua 87 projek gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan. Sehingga tarikh akhir lanjutan masa pertama, hanya dua projek dapat disiapkan. Sehingga tarikh akhir lanjutan masa kedua, hanya 17 projek dapat disiapkan. Sehingga 31 Disember 2010, hanya 72 projek atau 84.7% dapat disiapkan.

Sesungguhnya, kekurangan ketelusan merupakan salah satu faktor utama pembaziran berlaku dalam perbelanjaan negara. Selain unjuran pembaziran yang dberikan oleh agensi atau pertubuhan yang kredible sebelum ini termasuk Pemudah dan Bank Dunia, projek-projek yang seringkali melibatkan peningkatan kos telah menjadi lumrah di Malaysia apabila diteliti laporan-laporan Ketua Audit Negara yang dikemukakan saban tahun.

Meskipun skrip para menteri dan agensi seperti SPRM cuba melakarkan persepsi bahawa Kerajaan BN akan berubah dan tindakan akan diambil. Tetapi majoriti yang silent tahu, biar si anak bangsawan mempersembahkan kepada kita semua apa yang diingatkannya dapat meyakinkan kita, tiba PRU Ke-13 nanti, kita akan tunjukkan kepada si anak bangsawan apa itu cool dengan mencipta sejarah baharu untuk tanah air yang kita cintai. Ini semangat belia zaman kini yang dipaparkan di segenap pelosok dunia. Sepinggan nasi yang berharga RM3 tidak mampu mengubah trend sebegitu.

Lagipun… wahai Ketua Audit Negara, betulkah nasi sepinggan RM3?

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

No comments: