Loading...

Tuesday, November 1, 2011

Tidak ada pilihan raya sehingga tuntutan Bersih dipenuhi- Azmin

(Oleh: Nabihah Hamid)

KUALA LUMPUR 1 Nov : Pakatan Rakyat menggesa Jawatan Khas Parlimen (PSC) mengemukakan saranan kepada kerajaan supaya pilihan raya tidak diadakan sebelum proses penambahbaikan dijalankan.

Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali berkata, PSC juga perlu meneliti lapan tuntutan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bagi tujuan itu.

“Kita mahu jawatankuasa (PSC) kemuka saranan kepada kerajaan supaya tak ada pilihan raya sehingga Jawatankuasa memberikan maklum balas dan cadangan bertujuan menambah baik proses pilihan raya.

“Kami membawa lapan tuntutan Bersih dan berharap jawatankuasa memberi ruang yang luas kepada (Pengerusi Bersih) (Datuk) Ambiga untuk kemukakan hujah menyokong lapan tuntutan, yang mewakili 60 NGO dan berharap jawatankuasa ini bebas dari tangan-tangan politik,” kata Ahli Parlimen Gombak itu.

Lapan tuntutan Bersih itu ialah membersihkan senarai undi, reformasi undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minima 21 hari, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor.

Sehubungan itu kata Azmin, Wakil Pakatan Rakyat dalam PSC akan memanggil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai saksi pertama dalam mesyuarat ketiga mereka esok.

“Kita tidak mahu jawatankuasa (PSC) ini dijadikan helah untuk lengah-lengahkan reformasi pilihan raya,” tambah Azmin pada sidang media di Parlimen hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu wakil Pakatan dalam PSC – Dr Hatta Ramli (Pas) dan Anthony Loke (Dap).

Sementara itu Anthony Loke berkata, SPR tidak boleh memberi alasan untuk tidak menghadirkan diri ke mesyuarat esok kerana PSC telah memberi notis kepada mereka.

“Seperti yang kita sedia maklum sebahagian besar masalah tak perlu kepada pindaan perlembagaan kalau SPR serius untuk melakukan reformasi pilihan raya,”

“SPR jangan beri alasan untuk kata mereka tidak tahu. Kita (PSC) telah beri banyak notis beberapa kali. Esok sudah mesyuarat ketiga,” kata beliau.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=22414

No comments: