Thursday, February 27, 2014

Apabila Jendral Di Kedudukan Yang Tepat, Ia Menggusarkan Pemimpin Veteran UMNO

Jadi mengapa Tun Daim Zainuddin bising?

Apa yang nyata, bekas menteri kewangan itu dalam keadaan penuh kebimbangan. Cukup bimbang sehingga beliau terus bercakap mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Secara terbuka, beliau menolak pemimpin PKR sebagai seorang gila publisiti dan sukakan perhatian. Secara terbuka juga, beliau merendah-rendahkan ketua pembangkang itu sebagai seorang yang tidak pernah mampu menyelesaikan sebarang masalah.

Rupa-rupanya penentangan Daim terhadap Anwar diteruskan dalam sesi perbincangan peribadi tetapi dengan nada lebih serius dan tidaklah begitu memandang rendah terhadap kemampuan Anwar.

Secara terbuka, beliau berkata bahawa langkah Anwar bertanding pilihan raya kecil di Kajang hanya membazirkan duit rakyat.
Mereka yang berada di kelilingnya berkata, beliau gusar akan kesan sekiranya Anwar menang di Kajang; terutamanya kemungkinan Anwar menjadi ketua eksekutif negeri paling kaya di Malaysia dengan beberapa bilion pada tangannya dan kesan segera terhadap moral ahli-ahli Umno di Selangor serta seluruh negara.
Namun, tidak dinyatakan ketakutan bahawa ia mampu menjadi  asas ekonomi yang kukuh dan landasan untuk mempamerkan kualiti kepimpinan kuat berbanding Putrajaya, nafas baru dan fokus Anwar ini boleh membawa Pakatan Rakyat (PR) untuk mengalahkan Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang – keputusan akhir yang ternyata membuatkan Daim, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin-pemimpin Umno lain dari zaman kegemilangan penswastaan tidak senang duduk.
Tambahan pula, Selangor adalah negeri perindustrian dan paling kaya serta bersebelahan dengan Kuala Lumpur yang menjadikannya sumber bagi  projek-projek infrastruktur, tawaran hartanah dan perniagaan untuk kroni dan lain-lain yang berkaitan dengan Putrajaya.
Ia menjadi penting bagi pihak yang pernah mendapat manfaat untuk memastikan Selangor kembali kepada BN. Kepimpinan Anwar di negeri ini akan menjauhkan lagi kemungkinan masa hadapan dan menjadikan Selangor sebuah lagi kubu politik seperti Kelantan bagi PAS.
Secara mudah, wujud keperluan untuk melindungi “angsa emas”.  Para jutawan yang mempunyai kaitan dengan Umno akan berusaha sedaya mungkin menghalang Anwar mengambil alih jawatan sebagai menteri besar.
Justeru, jangan terkejut jika Daim mengambil berat terhadap bagaimana persediaan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk “berperang” dengan Anwar.
Penting bagi golongan yang mendapat manfaat pada zaman Mahathir jika Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mengosongkan jawatannya.
Jelaslah, dakwaan mereka berkenaan “Langkah Kajang” sebenarnya tidak mempunyai kaitan dengan penggunaan dana awam untuk pilihan raya kecil.
Ini kerana jika mereka benar-benar mengambil berat bagaimana wang pembayar cukai dibelanjakan, mereka pasti tidak akan membenarkan konsesi tol yang berat sebelah atau tawaran untuk pengeluar tenaga bebas atau menyimpan sumber air di tangan beberapa ahli perniagaan tertentu sahaja.
Oleh itu, pertempuran di Kajang adalah pertempuran bagi menentukan siapa yang akan dapat mengawal Putrajaya pada masa hadapan. Kemenangan Anwar di Kajang boleh menyebabkan Umno kehilangan Putrajaya lambat laun nanti.  – 26 Februari, 2014.

TMI

No comments: