Tuesday, February 11, 2014

Forum Legasi Tunku Abdul Rahman


Jika Tunku Abdul Rahman masih hidup, pasti beliau akan hampa dengan elemen yang cuba memisahkan rakyat Malaysia kini.
Perdana menteri Malaysia yang pertama itu menggelar dirinya ketua negara paling bahagia di dunia; namun sekiranya beliau masih di sini, tentu beliau menjadi rakyat paling sedih, melihat ketegangan kaum di Malaysia.
Legasinya iaitu perpaduan rakyat kini terancam dan ahli panel forum memperingati hari lahir Tunku ke-111 semalam di Kajang berkata, Malaysia perlu menjamin bahawa legasi Tunku di negara ini tetap utuh demi memastikan perpaduan rakyat.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata Tunku mahukan keamanan, kasih sayang serta harmoni yang kurang diberi perhatian sejak akhir-akhir ini.
"Malaysia tidak pernah menjadi begitu terpisah, sejak 8 atau 9 bulan lalu keadaan kita semakin teruk. Forum hari ini adalah untuk memperingati apa yang kita bina selama 56 tahun demi membangunkan negara.
"Pasti Tunku mahu lihat rakyat Malaysia bersatu. Adakah Malaysia lebih bersatu hari ini atau lebih terpisah? Adakah isu perkauman dan keagamaan semakin dipolarisasikan," katanya.
Ahli politik veteran itu berkata, ketika pentadbiran Tunku dahulu, beberapa langkah sivik serta lemah lembut daripadanya kini sering dilupakan.
Datuk Ambiga Sreenevasan menggelar Tunku, perdana menteri untuk semua dan berkata, bapanya serta rakan sekerjanya adalah di antara mereka yang mendapat ilham daripada pemimpin keturunan diraja Kedah itu untuk bekerjasama membangunkan negara.
"Pada waktu itu semangat nasionalisme semakin tinggi dan apa yang mengilhamkan rakyat untuk bekerja demi negara adalah Tunku. Beliau membuat semua orang rasa selesa dan mencintai negara serta menegaskan kepentingan membangunkan negara," katanya.
Apa agaknya kata Tunku jika melihat keadaan Malaysia hari ini?
"Saya rasa Tunku masih teguh dengan pendiriannya, iaitu perpaduan adalah perkara paling penting. Beliau pasti hampa dengan cubaan untuk memisahkan rakyat. Tunku sangat membenci sifat parkauman, dan vokal mengenai isu apartheid," katanya.
Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ketika pentadbiran Tunku, bekas perdana menteri itu dilihat sebagai seorang lelaki yang bersopan santun, serta dapat menerima kritikan terhadap kepimpinan beliau dengan positif untuk membangunkan rakyat.
Berkongsi pengalaman bersama Tunku, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, Tunku pernah menganjurkan majlis makan malam yang dihadiri ahli politik.
“Beliau memberitahu mereka yang hadir, 'kamu kenal lelaki ini? Beliau pahlawan yang hebat tetapi kerana sudah penat beliau sertai Umno'. Saya hanya menundukkan diri dan tidak berkata apa-apa" katanya lalu ketawa bersama hadirin.
Anwar mengingatkan rakyat untuk selalu patuh dan kembali kepada semangat Perlembagaan Persekutuan.
"Kita mesti tabah dalam mempertahankan semangat Perlembagaan. Kita harus lebih kuat lagi dalam mematuhi prinsip Tunku yang sering dilupakan hari ini," katanya.
Anwar, yang dipecat pada 1998 daripada parti tersebut oleh perdana menteri Malaysia paling lama mentadbir, Tun Dr Mahathir Mohamad diikuti dengan penangkapan beliau berikutan kes liwat dan korupsi. Beliau dibebaskan pada 2004 selepas sabitan liwatnya diubah.
Beliau turut menyelar tindakan sekumpulan individu yang menggelar diri mereka Majlis Jemaah Islam NGO yang mengancam keselamatan ahli politik DAP, Teresa Kok, berikutan klip video Tahun Baru Cinanya.
Kumpulan itu menyembelih dua ekor ayam serta menawarkan RM1,200 kepada mereka yang berani menampar Kok ekoran marah dengan klip video yang didakwa mereka sebagai menghina kepimpinan Melayu dan Islam.
"Memang ada hak untuk kamu menyoal Kok, tetapi kamu tidak ada hak untuk menghina kebijaksanaan rakyat Malaysia dengan membenarkan orang menawarkan ganjaran untuk menampar orang lain. Ini gila namanya," katanya.
Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli, berkata walaupun parti Islamis beliau pesaing hebat Tunku, mereka selalu menghormati bekas perdana menteri itu kerana bersikap zuhud dan tidak berkonfrontasi.
Beliau berkata, ketika pentadbiran Tunku daripada pertengahan 1950-an ke 1970, langsung tidak disebut tentang ketuanan Melayu.
"Jika kita bertanya kepada Tunku sama ada beliau adalah rakyat Malaysia atau orang Melayu dahulu, beliau tentu menjawab beliau adalah rakyat Malaysia sebelum orang Melayu," katanya.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kepada peserta forum tentang Tunku seperti mana yang didengarnya daripada sahabat Tunku, terutama sekali daripada gabenor Bank Negara, Tun Ismail Mohamed Ali.
Beliau menggelar Tunku sebagai seorang yang penuh dengan integriti, dan berkata, Tunku sangat bersemangat apabila memulakan Pestabola Merdeka, Bank Pembangunan Islam, serta vokal tentang politik rantau dan ekonomi Asean.
Berkongsi pengalaman beliau, Abdul Khalid berkata, ketika beliau masih lagi seorang pelajar di Australia, beliau pergi menonton lumba kuda Melbourne Cup, dan terkejut melihat Tunku yang lengkap bersongkok berdiri di sebelah kuda yang menang pada hari itu.
"Ketika itu saya sedar beliau adalah perdana menteri saya. Kuda beliau menang Melbourne Cup," katanya. – 11 Februari, 2014.

TMI

No comments: