Loading...

Tuesday, February 25, 2014

Semua PBT Diarahkan Proaktif Menangani Kemelut Air Ini Bersama Rakyat


SHAH ALAM 24 FEB: Kerajaan Selangor akan mengurangkan pelepasan air mentah ke empat loji bermula esok dan ini menyebabkan berlaku penjadualan pengagihan air kepada pengguna di beberapa kawasan di Lembah Klang.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pengurangan pelepasan air mentah daripada Empangan Sungai Selangor ini melibatkan Loji Sungai Rasa, Loji Sungai Selangor 1, 2, 3.
Katanya, ini akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna yang menerima bekalan air daripada loji berkenaan.
“Penjadualan pengagihan air sepatutnya dilaksanakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) selaku pemegang konsesi air pada minggu lalu menerusi Pelan Tindakan Kecemasan supaya pengguna membuat persiapan awal.
“Namun, SYABAS sehingga kini gagal mengemukakan pembentangan pelan penjadualan pengagihan dan Kerajaan Negeri dimaklumkan SYABAS enggan berbuat demikian dan mahu menyerahkan tanggungjawab itu kepada Kerajaan Negeri,” kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan media.
Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri mengarahkan Unit Perancang Ekonomi (UPEN) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berbincang untuk membolehkan Kerajaan Negeri sekali lagi ‘step in’ dalam pengurusan air SYABAS.
Katanya, penjadualan pengagihan air disebabkan pengurangan pelepasan air di empangan ini dijangka sehingga akhir Mac sekiranya keadaan cuaca panas berlanjutan seperti yang diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia.
“Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan proaktif membantu penduduk terjejas manakala pegawai pelaburan PBT perlu memantau kawasan industri bagi memastikan penjadualan memberi kesan minima kepada pengilang,” kata Abdul Khalid.
Jelas beliau, pengurangan ini akan dilaksanakan dalam empat peringkat iaitu peringkat pertama melibatkan pengurangan sebanyak 7 peratus, kedua (10 peratus), ketiga (15 peratus), dan keempat (20 peratus).
“Langkah ini terpaksa dilakukan bagi memastikan simpanan air empangan mampu bertahan sehingga akhir Mac 2014,” katanya.
Abdul Khalid berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan bekalan air mentah di Selangor dalam keadaan kritikal sehingga menyebabkan paras air di beberapa empangan menyusut dan mencapai paras berjaga-jaga.
“Sementara itu usaha melakukan pembenihan awan akan terus dilakukan pada masa yang sesuai untuk menghasilkan hujan.
“Kerajaan Selangor akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa dan berharap rakyat akan berhemah dalam penggunaan air,” katanya.
EZY

selangorku

No comments: