Loading...

Thursday, February 27, 2014

Munajat Mohon Hujan Di Dataran Kemerdekaan


Dataran Kemerdekaan Shah Alam pagi ini diiringi tangisan air mata hadirin saat mengaminkan doa memohon hujan yang dibacakan Ustaz Nazmi Abdul Karim.
Tidak kurang juga yang kelihatan begitu khusyuk dan bersungguh-sungguh saat menunaikan solat hajat Istisqa’ yang diketuai Imam Masjid Negeri, Syeikh Abdul Karim Omar Al-Fatani.
Seorang eksekutif, Zulkefli Nani 45, menyifatkan kehadiran beliau bersama anggota keluarga yang lain merupakan satu tanggungjawab yang wajib ditunaikan sebagai warga Selangor.
“Walaupun di tempat tinggal saya di Seksyen 7 masih terselamat tanpa penjadualan air dan masalah lain, namun saya rasa ini adalah tanggungjawab bersama.
“Lebih-lebih saya sendiri lihat bagaimana peritnya mereka yang mengalami masalah bekalan air selama beberapa minggu ini,” katanya yang turut menganggotai badan bukan kerajaan (NGO), Muslim Care.
Hampir 1, 000 hadirin memenuhi ruang dataran bagi menunaikan solat hajat Istisqa’ yang dianjurkan Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta Permuafakatan Pendidikan Islam Selangor (MAPPIS).
Majlis solat hajat berkenaan turut disertai Exco Negeri, Dr. Halimah Ali, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud dan Datuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.
Halimah berkata jika cuaca panas dan kering berterusan serta menyebabkan keadaan bertambah kritikal, solat hajat Istisqa’ kemungkinan akan dianjurkan di kawasan empangan.
“Kita juga melibatkan pelajar tahfiz, semoga dengan berkat doa mereka ini mudah diperkenankan Allah bagi membantu kita semua menghadapi keadaan seperti sekarang,” katanya.
ebelum ini, beberapa kawasan di sekitar Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya terputus bekalan air dan tekanan rendah disebabkan pertambahan permintaan air yang mendadak ekoran cuaca panas kering dan kekurangan hujan.
Pada 24 Februari lepas, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan program penjadualan air di seluruh Selangor bagi memastikan bekalan air berterusan.
EZY

No comments: