SHAH ALAM, 10 FEB: Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar disifatkan tidak layak bercakap isu kuasa orang nombor satu negeri kerana beliau sendiri pernah terpalit perebutan kuasa jawatan itu dengan Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Shuhaimi Shafei berkata Noh hilang kelayakan untuk mempertikaikan jawatan Menteri Besar antara Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Noh tidak layak mempertikaikan soal kuasa kerana beliau bukan orang yang sesuai berada di posisi itu kerana pernah berebut dengan Md Zin.
“Jadi, jika orang yang terpalit dengan isu sama ia nampak logik tetapi untuk Noh beliau hilang kelayakan itu,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, semalam.
Shuhaimi turut menyifatkan kenyataan Noh itu juga adalah untuk mengganggu pimpinan Pakatan Rakyat (PR) kerana laluan Barisan Nasional (BN) menjadi sukar di negeri itu jika Anwar berjaya di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.
Sehubungan itu, BN cuba melakukan propaganda untuk memburukkan PR supaya tidak bersatu.
“Soal berkenaan Anwar menjadi Menteri Besar tidak berbangkit. Fokus kita adalah PRK Kajang dan apa yang diutarakan adalah melambangkan kegusaran BN jika Anwar menang, jadi mereka bermain politik untuk mengacau pimpinan PR,” katanya.
Semalam, Noh meramalkan negeri itu akan berlaku krisis perlembagaan jika Anwar dilantik menjadi Menteri Besar menggantikan Abdul Khalid.
Katanya, tidak mustahil akan berlaku pertembungan antara kuasa politik dan sultan dengan menggambarkan Anwar memberikan kenyataan membelakangkan institusi beraja dan pemimpin PR lain.
Mengulas lanjut, Shuhaimi berkata, PR mempunyai persefahaman untuk memperkukuhkan intitusi raja berdasarkan perlembagaan, tetapi BN bertindak terlebih dahulu yang mengurangkan kuasa raja dan tidak membela raja.
“Mereka sebenarnya yang melakukan semua perubahan dalam Dewan Rakyat dan Negeri. Bercakap pada perkara yang belum berlaku, kalau betul Anwar membelakang raja tentu beliau boleh melakukan perkara itu ketika dalam BN,” katanya.
-NFN-
No comments:
Post a Comment