SHAH ALAM: Kehadiran Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang disifatkan 'bukan ADUN biasa', kata Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie.
Katanya, kedudukan 'luar biasa' Azizah akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat tertinggi parti itu dalam tempoh terdekat selaras dengan agenda 'Langkah Kajang'.
"Seperti yang diperjelaskan oleh Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah 'Langkah Kajang' akan diteruskan.
"Berilah kita beberapa waktu lagi dan bila sampai masanya, insya-Allah kita akan umumkan," katanya kepada Antarapos ketika mengulas kedudukan Azizah selepas berjaya mengekalkan kerusi DUN Kajang walau dengan jumlah majoriti undi yang berkurangan.
Bagaimanapun Shuhaimi yang juga ADUN Sri Muda enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan tidak mahu menjelaskan apa yang beliau maksudkan Azizah sebagai 'bukan ADUN biasa'.
"Kita tunggu keputusan kepimpinan, kehadiran Datin Seri Wan Azizah bukan sekadar sebagai ADUN biasa.
"Saya tak dapat nak sebutkan sekarang, memadai saya katakan kehadiran beliau (Wan Azizah) akan memberikan impak bukan sahaja di Selangor tetapi juga di seluruh negara.
"Kita harus meneliti maksud Langkah Kajang, ia adalah satu langkah yang strategik serta praktikal dan saya fikir perkara ini biarlah kita tunggu kepimpinan ulas dalam tempoh terdekat," katanya lagi.
Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang yang berlangsung semalam, Azizah menewaskan calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun dengan majoriti 5,379 undi, sekaligus mengekalkan kerusi yang dimenangi PKR sejak 2008.
Ternyata Chew juga bukan sembarangan pencabar apabila berjaya mengurangkan majoriti undi yang diraih PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, dengan 6,824 undi.
Dalam keputusan yang diumumkan malam tadi di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi, Azizah meraih undi sebanyak 16,741 manakala Mei Fun mendapat 11,362 undi.
Pengundi Melayu DUN Kajang beralih kepada Pakatan
Jelas Shuhaimi, kemenangan yang memang sudah dijangka itu disifatkan cukup bermakna kerana PKR berjaya memperoleh kemenangan di kawasan peti undi yang kalah pada PRU13.
"Kita melihat bahawa penerimaan masyarakat Melayu kepada Pakatan Rakyat pada kali ini adalah sesuatu yang cukup bermakna kerana ia menggambarkan dalam keadaan BN menggunakan semua media yang mereka kuasai untuk meraih sokongan Melayu.
"Tetapi nampaknya apa yang berlaku kita menang di kawasan majoriti Melayu yang mana sebelum ini kita kalah selain masih mampu mencatatkan peningkatan yang cukup ketara di kawasan lain juga," katanya.
Justeru beliau menyifatkan kemenangan itu akan menambahkan sokongan moral untuk menentang kezaliman yang dilakukan BN.
"Ini adalah satu kemenangan moral yang cukup besar kepada Pakatan Rakyat untuk meneruskan perjuangan menentang kezaliman dan menegakkan keadilan," katanya.
Untuk rekod PRK DUN Kajang diadakan selepas penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan tanpa sebab pada 27 Januari lalu.
Kempen kotor BN memakan diri
Mengulas lanjut, Shuhaimi berkata isu yang dibawa BN sepanjang tempoh berkempen seperti keputusan kes liwat Anwar sebenarnya memakan diri sendiri apabila PKR berjaya membuat penjelasan kepada pengundi DUN Kajang.
"Saya percaya rakyat melihat keputusan yang dibuat oleh mahkamah memberikan satu kemenangan yang besar kepada kita dan ia diterjemahkan dengan menyokong isteri kepada Datuk Seri Anwar.
"Keputusan ini adalah keputusan yang sebenarnya menyebabkan BN terjejas dengan strategi kemenangan mereka dan kita mempunyai peluang terbaik dengan menjelaskan sepenuhnya isu itu untuk membuka mata rakyat bahawa ketidakadilan telah berlaku dalam kes melibatkan Datuk Seri Anwar," katanya.