Loading...

Sunday, March 9, 2014

#Pray4MH370 : Merujuk Rakaman Radar,Kemungkinan Boeing 777 Cuba Berpatah Balik - TUDM



Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak menolak kemungkinan pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 berpatah balik ke Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas dikesan dengan radar tentera.

Jeneral Tan Sri Datuk Sri Rodzali Daud pada sidang media di Hotel Sama-Sama mendedahkan wujud isyarat MH370 cuba berpatah balik berdasarkan maklumat daripada radar TUDM.

"Kami memiliki rakaman. Kami mendapati terdapat kemungkinan pesawat cuba berpatah balik," kat Rodzali hari ini.

"Ia dikesan dalam radar, kami lihat semula rakaman dan terdapat isyarat kemungkinan pesawat tersebut cuba berpatah balik...kami sedang selidik perkara ini.

"Ia diperoleh daripada radar tentera," katanya.

Menurut Rodzali, mereka cuba melakukan siasatan lebih mendalam bagi mendapatkan kepastian cubaan berpatah balik dan akan bekerjasama dengan agensi antarabangsa.

"Kami cuba bekerjasama dengan radar awam dan agensi antarabangsa untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai perkara ini," kata beliau.

Bagaimanapun, jarak sebenar MH370 yang berpatah balik tidak dapat disahkan lagi.
Sementara itu, Ketua Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata dengan pendedahan tersebut menambah persoalan memandangkan MH370 tidak pernah membuat sebarang panggilan kecemasan ke menara kawalan trafik udara.

"Biasanya apabila terdapat cubaan patah balik, bermakna pilot gagal untuk meneruskan rancangan asal.
"Biasanya selepas keputusan dibuat, ia akan direport ke ATC (menara kawalan trafik udara), tapi daripada maklumat kami dapat, tidak terdapat panggilan kecemasan dan kami masih tertanya-tanya," kata Ahmad Jauhari.

Selepas lebih 24 jam, pesawat MH370 yang hilang awal pagi semalam sehingga kini masih belum ditemui.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dari 14 negara temasuk 12 anak kapal, hilang daripada radar setelah berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 pagi semalam dalam perjalanan menuju ke Beijing, China.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi. – 9 Mac, 2014.

TMI

No comments: