Thursday, March 27, 2014

Pray4MH370 :Kerajaan Negeri Akan Menyalurkan Bantuan Kepada Keluarga Penumpang MH370


SHAH ALAM, 26 MAC: Kerajaan Selangor akan mengkaji bentuk bantuan kebajikan yang boleh disalurkan kepada keluarga anak kapal dan penumpang pesawat MH370 yang dilaporkan berakhir di Lautan Hindi, pada 24 Mac lalu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata beliau berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi liar berhubung tragedi berkenaan sehingga melukakan perasaan mereka yang sedang meratapi kehilangan orang tersayang.
“Kerajaan Negeri merancang mengkaji bantuan kebajikan mereka, khususnya anak kapal MH370 yang berasal dari Selangor. Namun, pada masa ini kita mesti berikan ruang secukupnya kepada keluarga terbabit dan mahu mereka tahu kita bersama mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Setiasusaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.
Pada 24 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penerbangan pesawat MH370 berakhir di Selatan Lautan Hindi selepas beliau dimaklumkan wakil Cawangan Siasatan Nahas Udara (AAIB) dari Britain.
Penemuan itu, sekali gus mengakhiri pencarian selama 17 hari dengan membabitkan gerakan besar-besaran dan bantuan pelbagai negara luar.
Ketika ini, pencarian diteruskan dengan fasa mencari kotak hitam yang mampu merungkai mesteri kehilangan pesawat malang terbabit.
-NFN-

No comments: